Memberi Selagi Terdaya...

Alhamdulillah hujung minggu lepas yang sempat menziarahi seorang sahabat, Muslimah India yang begitu gigih berdakwah kepada masyarakat India Muslim disini.

Walaupun kehidupan beliau tidak sesenang mana, tapi saya begitu kagum dengan semangat beliau dalam melaksanakan misi dakwah beliau. Moga Allah memudahkan segala urusan beliau dalam menyampaikan ilmu.

Setiap kali menziarahi beliau, motivasi saya terus naik, akan tetapi kemudian turun balik dan sejuk...nampak gaya saya kenalah selalu menziarahi beliau agar memontum saya terus stabil.

Apa yang nak saya kongsikan disini ialah kegigihan beliau menyusun program, menyampaikan ilmu, mencari pelajar serta menyediakan pengangkutan percuma. Rasanya saya masih begitu jauh ketinggalan dalam menyampaikan dakwah, moga Allah memudahkan urusan dakwah ini.

Dengan semangat yang berkobar-kobar beliau cuba menyampaikan kefahaman beliau tentang Islam kepada masyarakat India disini, yang mana ia bukanlah satu tugas yang mudah.

Ini kerana wujudnya pelbagai puak serta kefahaman, serta sikap cantas-mencantas sesama mereka. Kemudian wujud pula masalah lain dengan kumpulan wanita Pakistan yang juga begitu cergas dalam berdakwah.

Sepatutnya wanita India dan Pakistan boleh duduk bersama-sama dalam dakwah kerana mereka menggunakan bahasa yang sama iaitu Urdu, akan tetapi realitinya amat berbeza.

Selalunya pendakwah-pendakwah ini amat skeptikal terhadap cara penyampaian dakwah kontemporari sepertimana yang dibawa oleh sahabat saya ini. Ini kerana beliau selalu menyelitkan informasi semasa dengan menjemput penceramah lain seperti doktor wanita, serta cuba mencari penjelasan sains dalam topik yang dibawa.

Dalam masa yang sama beliau berdepan dengan masalah minat masyarakat India disini dalam perkara-perkara keagamaan untuk anak-anak mereka. Ini kerana sistem persekolahan India disini begitu padat dengan program, serta begitu mementingkan pencapaian pelajar. Jadi pengisian agama dianggap menyusahkan ibubapa sedangkan itulah asas kehidupan muslim.

Walaupun segala program yang dianjurkan adalah percuma akan tetapi penyertaan kurang menggalakkan. Masyarakat muslim hari ini rela menghabiskan duit untuk bayaran tuisyen daripada menghantar anak-anak mereka mendalami agama.

Kadang-kadang terasa sedih dengan keadaan umat Islam hari ini, yang ternyata begitu memburu nikmat dunia serta melupakan pengisian rohani. Begitu juga anak-anak dibesarkan dalam keadaan kosong pengisian rohani, apakah yang akan berlaku kepada generasi umat Islam akan datang?

Itulah realiti semasa "ummah"...jika kita hanya melihat Melayu, yang seolah-olah layu, maka didunia luar juga Islam semakin layu.

"Ummah Islam" hari ini perlukan suntikan tenaga daripada insan-insan yang tidak mudah hilang semangat dalam menyampaikan misi dakwah. Insan yang sanggup memberi selagi terdaya inilah yang akan mampu menyelamatkan generasi baru umat Islam.

Ummah itu bukan sekadar melayu, tetapi berbagai-bagai kaum didunia ini yang masing-masing menghadapi masalah menentang arus globalisasi hari ini.

Moga Allah menyatukan hati-hati kami dalam menyampaikan dakwah Islam, moga golongan 'ghurabaa' ini terus diberi kekuatan. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016