Berhati-hati menyebarkan Hadis

Bersempena Awal Muharram ramai yang menulis mengenai amalan yang digalakkan pada pada akhir dan awal tahun hijri. Dari situ keluarlah pelbagai hadis berkaitan dengan amalan membaca doa awal dan akhir tahun termasuklah fadhilat-fadhilatnya.

Ramai penulis blog yang  memasukkan doa-doa tersebut yang kemudiannya akan disalin dan diletakkan diblog lain. Sememangnya ramai yang berminat untuk membuat kebaikan, akan tetapi apalah maknanya jika usaha tersebut hanya menyebarluaskan lagi hadis-hadis yang tidak diketahui asalnya.

Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan kalendar tahun hijrah dimulakan pada zaman Saidina Umar Al-Khattab, iaitu selepas kewafatan Rasulullah saw, jadi dari mana datangnya hadis berkenaan kelebihan doa akhir dan awal tahun? Itulah persoalannya.

Memang tidak salah untuk kita berdoa kerana Doa itu senjata Mukmin, akan tetapi bila ia disertakan dengan kaifiat dan fadhilat tertentu, maka lain jadinya. Kita digalakkan berdoa sepanjang masa, akan tetapi persoalannya ialah apabila kita meyakini cara yang kita lakukan tersebut sebagai sunnah.

Jadi janganlah kita termasuk ke dalam golongan yang dinyatakan oleh Rasulullah saw didalam hadis mutawatir :
من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعدة من النار
Barangsiapa yang sengaja melakukan pembohongan ke atasku, maka dia telah menempah satu tempat di dalam neraka.

Ini kerana terdapat banyak hadis maudu' dan tidak diketahui asal-usulnya tersebar luas dan digunakan didalam buku-buku agama dinegara kita. Cara terbaik untuk kita lakukan ialah dengan cara merujuk kepada orang yang ahli dalam bidang tersebut.

Jadi pastikan kesahihan hadis sebelum kita menyebarkannya, begitu juga pastikan amalan yang kita lakukan bersumberkan sunnah yang sahih, agar kita termasuk ke dalam golongan yang mengamalkan sunnah Rasul tercinta. Berhati-hatilah selalu bila bercerita tentang sunnah Rasul. Ini juga peringatan buat diri sendiri.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas