Undang-undang Baru di sini

Alhamdulillah hari ini saya berkesempatan menulis lagi, saja ingin berkongsi mengenai satu pindaan undang-undang disini berkaitan pekerja asing.

Sebenarnya disini ada satu jenis visa yang dikeluarkan yang memberi kebenaran untuk warga Oman membawa masuk pekerja asing untuk bekerja dengan mereka atas nama "Free Visa". Biasanya mereka dibenarkan untuk bekerja dikebun-kebun, kedai-kedai serta pelbagai tempat lain, dengan syarat pekerja asing tersebut bekerja ditempat yang tertulis didalam visa mereka.

Malangnya ramai orang-orang disini menyalahgunakan kebenaran tersebut dengan membawa masuk ramai pekerja asing untuk melakukan kerja sendiri termasuklah menjadi pembantu rumah separuh masa. Pekerja-pekerja ini melakukan kerja dipelbagai tempat kemudian mereka terpaksa membayar kepada orang yang membawa mereka masuk (kafil) dalam jumlah tertentu.

Ekoran dari situ terdapat pelbagai masalah timbul, yang mana kadang-kadang pekerja ini tidak mendapat layanan yang sepatutnya, kadang-kadang bekerja seperti hamba yang dibayar kurang daripada gaji yang sepatutnya mereka dapat. Dalam masalah ekonomi hari ini, tidak ramai yang mahu menggaji mereka, maka timbullah masalah sosial.

Jadi untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah meminda undang-undang serta melakukan serbuan ke premis-premis tertentu serta menangkap pekerja yang bekerja ditempat lain daripada apa yang tertera didalam visa mereka. Kebanyakan mereka daripada Pakistan, India, Sri Lanka dan Bangladesh. Dalam masa yang sama kerajaan memberi peluang untuk mereka pulang secara sukarela ke negara masing-masing sehingga akhir tahun ini.

Sekiranya mereka tertangkap, mereka akan dikenakan denda serta akan dipenjarakan dalam tempoh tertentu, kafil mereka juga akan didenda malah majikan tempat mereka bekerja juga akan dikenakan denda. Kemudian mereka terpaksa mengeluarkan belanja untuk menghantarpulang pekerja-pekerja tersebut.

Akan tetapi sekiranya mereka pulang secara rela segala perbelanjaan akan ditanggung oleh kerajaan. Agak-agak macam usaha kerajaan Malaysia beberapa tahun lepas untuk mengurangkan kebanjiran pendatang asing. Begitulah keadaan disini yang memang mempunyai ramai pekerja asing dalam semua sektor.

Menurut laporan, pekerja yang masuk melalui free visa "azd" lebih daripada 125,000 orang. Jadi bayangkan berapa ramai orang yang melakukan kerja-kerja sampingan disini. Jadi apakah pekerjaan yang akan dilakukan sendiri oleh orang Oman?

Ramai warga asing menganggap bahawa kerja orang Oman yang paling popular adalah menjadi pemandu van dan teksi. Ini kerana terdapat begitu ramai warga asing yang memerlukan pengangkutan awam. Malah kebanyakan orang Oman melakukan kerja sampingan memandu teksi, termasuklah pemandu bas sekolah yang memandu dalam waktu senggang antara mengambil dan menghantar pelajar sekolah.

Agaknya selepas undang-undang ini betul-betul dilaksanakan, akan berkuranglah sedikit jumlah orang-orang India dan Pakistan di sini.

Itu belum masuk orang-orang yang datang sebagai pelawat mencari pekerjaan disini. Jika dilihat didalam iklan mencari kerja dalam akhbar-akhbar disini penuh dengan iklan orang-orang India mencari pekerjaan. Jadi dimanakah orang-orang Oman? Jika segala pekerjaan diberikan kepada warga asing dengan alasan gaji yang lebih murah, apa yang akan jadi kepada warga Oman suatu hari nanti?

Rasanya itulah tindakan sepatutnya dilakukan oleh kerajaan untuk menjaga kemaslahatan rakyat negara ini.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016