Awal Muharram dihati Kita.

Awal Muharram akan bermula sehari dua lagi, pelbagai perkara yang saya fikirkan disaat ini. Apakah membuat perancangan baru ataupun meneruskan matlamat lama yang masih belum tercapai.

Bila menyebut awal Muharram ramai yang seronok kerana dapat bercuti, tapi dalam masa yang sama berapa orangkah yang masih menggunakan kalendar ini dalam hidup seharian. Tidak ramai yang dapat memberitahu tarikh hijri dengan tepat apabila ditanya, malah tidak ramai yang menghafal bulan-bulan Islam jika dibandingkan dengan tahun masihi.

Sebenarnya bagi orang Islam, banyak amalan bergantung kepada kalendar hijri, termasuklah puasa hari-hari putih, iaitu 13,14 dan 15 haribulan hijri. Jika kita tidak mengambilkira kalendar hijri, memang kita akan terlepas daripada melakukan amalan sunat pada hari-hari tersebut.

Begitu juga kita akan terlepas daripada menghayati pelbagai sirah Rasulullah yang amat elok untuk dihayati kembali. Jadi bermulanya awal Muharram kali ini, seeloknya kita cuba menghayati kembali cerita 'hijrah Rasulullah' yang dijadikan titik permulaan kalendar ini.

Banyak pengajaran yang akan kita perolehi sekiranya kita melihat apa yang berlaku sebagaimana kita didedahkan dengan slot "Hari ini Dalam Sejarah" yang memokuskan kepada apa yang telah berlaku pada tarikh tersebut. Jadi kita cuba tukarkan slot tersebut kepada apa yang pernah berlaku dalam sejarah Islam pada tarikh tersebut.

Rasanya tentu seronok menghayati Sirah berdasarkan tarikh sebegini, kemudian kita menceritakannya kembali. Sememangnya itulah yang telah dilakukan oleh generasi terdahulu, pelbagai sambutan diadakan bersempena dengan tarikh-tarikh tertentu seperti hari asyura, maulud, isra mikraj serta pelbagai lagi sambutan.

Apakah sambutan-sambutan ini dilakukan untuk mengingatkan kita tentang sejarah Islam, akan tetapi setelah ia dinyatakan sebagai 'bidaah', umat Islam melupakan hari-hari penting dalam Islam. Memang tidak dinafikan terdapat pelbagai kesan positif daripada amalan tersebut jika kita lihat dari sudut agama. Malah ketika itu umat Islam berpeluang berkumpul serta mengeratkan hubungan silaturrahim sesama penduduk kampung. Itulah yang indahnya Islam sewaktu waktu dulu, akan tetapi tiada lagi kenangan untuk anak-anak kita berkaitan dengan Islam kecuali hariraya dan puasa.

Umat Islam mula mencari tarikh-tarikh baru yang berkaitan dengan diri dan keluarga, maka lahirlah sambutan hari lahir, ulangtahun perkahwinan dan pelbagai lagi yang ternyata tidak mampu meninggalkan kesan seperti pengalaman menghadiri sambutan hari-hari kebesaran Islam.

Apakah umat Islam perlu kembali menghidupkan tarikh-tarikh penting dalam versi baru, agar generasi baru dapat merasai adanya sesuatu yang bernilai dalam Islam? Satu persoalan yang sudah lama tetapi diingati semula setiap kali bermula Awal Muharram.

Selamat Menyambut Awal Muharram, apakah hijrah kita pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun lepas. Moga Allah merahmati kita semua.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas