Fakta yang Mengelirukan

Apabila membaca buku, jurnal dan sebagainya kita akan bertemu pelbagai fakta yang akan kita ambil sebagai panduan. Ada fakta yang betul, ada yang mengelirukan malah banyak fakta yang masih perlu diperjelaskan lagi.

Jika kita meneliti fakta yang digunakan didalam buku-buku lama, banyak fakta sama yang diulang. Malah jika kita membaca buku-buku agama, kebanyakan fakta disalin tanpa diolah terlebih dahulu. Oleh sebab itu apabila membaca buku kita akan bertemu perkara sama diulang oleh berbagai-bagai penulis. Itulah situasi yang berlaku dalam bidang penulisan.

Bila berbicara mengenai fakta yang disalin tanpa diolah semula, saya teringat pengalaman ketika mengumpul maklumat untuk menulis tesis Phd dahulu. Memandangkan tajuk yang saya pilih ialah mengenai adat di Malaysia, agak susah untuk mencari buku-buku mengenainya, jadi pembacaan saya banyak difokuskan untuk meneliti tesis ilmiah pelajar universiti.

Jadi disitu saya telah bertemu pelbagai tajuk dibawah topik 'adat' serta kajian yang dilakukan oleh pelajar universiti. Sayangnya kebanyakan tulisan berdasarkan kepada tulisan sebelumnya, hinggakan saya dapat mengagak dari mana datangnya ayat-ayat tersebut. Bukan sekadar fakta yang disalin akan tetapi susunan ayat juga ditiru bulat-bulat, yang mana semuanya berdasarkan tulisan pelajar yang paling senior hinggakan ada yang berasal daripada tesis yang ditulis pada tahun awal 60-an, kemudian ditiru oleh pelajar kemudiannya.

Masa itu saya terfikir, mengapa terjadi begitu? Yang membezakan antara tesis mereka hanyalah tempat kajian dilakukan.

Pada masa yang sama saya juga bertemu dengan beberapa orang pelajar lain yang membuat kajian ataupun menyalin kajian, hanya Allah yang tahu. Ini kerana setiap orang pelajar cuma menggunakan sebuah tesis sahaja yang diletakkan dihadapan mereka dan menyalin daripada mula-mula masuk perpustakaan hinggalah saya meninggalkan perpustakaan tersebut.

Bayangkan perkara yang sama saya lihat berulangkali, setiap kali saya mengunjungi perpustakaan tersebut. Alhamdulillah saya berjaya meneliti dan membaca beberapa buah tesis, membuat penelitian dan membaca, akan tetapi pelajar disana cuma bertemankan satu tesis lama sebagai panduan. Mungkin itulah penyebab isi tesis yang dihasilkan adalah sama daripada tahun 60-an, 70-an, 80-an, dan seterusnya.

Itu adalah cerita fakta yang disalin tanpa diolah terlebih dahulu.

Ketika berbincang dengan suami tentang buku-buku akademik dalam bidang agama, kami membuat kesimpulan bahawa banyak fakta cuma disalin tanpa diolah terlebih dahulu. Oleh sebab itu kita akan dapati contoh yang sama diulangpakai oleh penulis yang berbeza dan buku yang berbeza, seolah-olah hanya ada satu contoh hukum yang dapat dihasilkan daripada kaedah yang diajar.

Mungkin itulah penyebab kejumudan dikalangan pelajar bidang agama. Perkara ini berlaku dimana-mana tanpa sempadan, Arab, Melayu semua sama. Agak susah untuk kita bertemu dengan orang yang mahu berfikir tentang apa yang berlaku didalam bidang ini. Malah disesetengah tempat pensyarah yang cuba menjelaskan dengan penjelasan baru akan diberi lebel tertentu.

Fenomena terbaru pula, wujudnya pelbagai idea dan fakta yang mengelirukan ditulis dan disiarkan dipelbagai blog. Sebagai contoh apabila saya membaca tentang Imam Syafii, saya telah bertemu pelbagai fakta yang berbeza, ada yang menulis Imam Syafii menghafal quran ketika berumur 4 tahun, 7 tahun serta pelbagai lagi.

Dalam masa yang sama ada yang menceritakan bahawa Imam Shafii adalah anak yatim semenjak kecil, ibunyalah yang mendidik beliau...tup tup timbul pula fakta pengakuan bapa Imam Shafii tentang kebijaksanaan beliau. Apakah kebijaksanaan Imam Shafii telah diakui ketika baginda masih bayi ataupun berlaku kekeliruan disitu?

Bayangkan apa yang saya fikirkan disaat itu, apakah orang yang menulis pernah mengkaji dengan betul? Itulah juga penyebab saya takut untuk bercerita tentang fakta, bimbang berlaku kesilapan dalamnya. Jadi dalam membaca disitu dan disini, saya bertemu pelbagai jenis fakta yang bercelaru, yang perlu dihalusi terlebih dahulu. Mungkin itulah sebabnya setiap refered jurnal diserahkan kepada orang yang pakar untuk dihakimi terlebih dahulu sebelum dicetak.

Bagi saya, idea tetap idea, jika kita berpeluang untuk berbincang dengan orang yang lebih pakar adalah lebih baik, agar kita dapat menjaga idea tersebut serta dapat dikembangkan dengan cara yang lebih kemas. Dengan cara begitu, kita dapat mengelakkan daripada menulis fakta yang mengelirukan pembaca.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman