Cerita Hujung Minggu

Cuti hujung minggu di Oman ialah Khamis dan Jumaat, sekiranya ada cuti lain maka akan diganti pada hari-hari sebelum ataupun selepas hujung minggu. Ini akan menjadikan cuti tersebut lebih panjang dan memberi peluang kepada anak rantau kembali ke kampung masing-masing untuk bersama-sama keluarga tercinta.

Kadang-kadang cuti umum lain digabung menjadikan satu masa cuti yang agak panjang, jadi kita mesti mendengar pengumuman cuti yang selalunya dinyatakan berdekatan tarikh cuti tersebut. Sebagai contoh cuti raya haji digabung sekali dengan cuti hari kemerdekaan Oman menjadikan cuti tersebut seminggu. Itulah cara kerajaan disini memberi cuti kepada penduduknya, dalam usaha menjaga hubungan kekeluargaan penduduknya.

Hari ini kami masih bercuti untuk mengantikan cuti Maal Hijrah, jadi hujung minggu kali ini 3 hari, pelbagai aktiviti boleh dijalankan. Ramai yang bercuti ke tempat lain, tetapi bagi kami memadai berada disini serta meneruskan aktiviti hujung minggu bersama-sama rakan dan jiran.

Alhamdulillah bila dah dimulakan aktiviti sebegini, ia amat menyeronokkan terutama bagi anak-anak. Inilah masa untuk mereka menunjukkan kemahiran masing-masing mencipta aktiviti sendiri. Biasanya anak yang sulung merancang aktiviti sesama mereka, kemudian ia akan disertai oleh adik beradik.

Pada kali ini mereka mengadakan perlawanan bolasepak antara keluarga, kemudian diselangi dengan aktiviti nasyid bersama-sama. Kami ibu-ibu merasa seronok melihat (dari jauh) anak-anak menonjolkan bakat masing-masing dihadapan bapa mereka. Biasanya anak-anak akan menyibuk dikawasan ibu masing-masing tapi kali ini kesemua mereka mengadakan aktiviti bersama bapa. Alhamdulillah atas kerjasama para bapa yang tidak lokek melayan anak-anak seperti anak mereka sendiri.

Ketika ini kumpulan kami disertai oleh keluarga-keluarga dari Mesir, Sudan, Jordan dan Malaysia. Masa inilah peluang saya untuk melihat kemahiran anak-anak berkomunikasi dalam bahasa Arab bersama-sama kawan mereka. Alhamdulillah mereka mampu mengajak kawan mereka untuk menggunakan bahasa fushah. Itulah yang dikehendaki oleh ibubapa lain, peluang untuk anak-anak mereka mempraktikkan bahasa fushah bukan senang untuk diperolehi jika mereka cuma bergaul sesama sendiri.

Begitu juga para ibu yang sememangnya mahir dalam bahasa Arab, tetapi memerlukan tempat untuk mempraktikkan bahasa fushah. Bak kata surirumah Sudan yang berkelulusan MA: "Saya tidak boleh menggunakan bahasa fushah bila berkomunikasi dengan orang Sudan, kerana saya akan dianggap meninggi diri, jadi saya berpeluang mempraktikkannya bersama-sama disini".

Alhamdulillah hujung minggu kali ini anak-anak saya semakin yakin diri untuk menonjolkan bakat masing-masing. Bila pulang ke rumah mereka menyambung aktiviti melukis untuk pertandingan peringkat sekolah-sekolah negeri Oman. Jadi aktiviti mereka agak padat pada hujung minggu kali ini, dengan dua lukisan yang perlu disiapkan.

Namun begitu mereka begitu seronok dan menghitung hari untuk aktiviti hujung minggu hadapan. Semoga ukhwah yang terjalin sesama kami dirahmati Allah.

Dalam masa yang sama, kami (surirumah) berpeluang berjalan-jalan mengelilingi taman tersebut sambil melihat aktiviti lain. Pada kali ini ada pameran berkenaan Aids diadakan, dengan pelbagai gerai disediakan termasuklah gerai kumpulan Yoga yang pernah saya temui semasa Mahrajan awal tahun ini. Sememangnya kumpulan itu amat aktif menyebarkan idea mereka. Sekali lagi diri ini diingatkan agar memikirkan suatu program pengisian sebagaimana yang dilakukan oleh kumpulan Yoga tersebut. Moga Allah memudahkan segala-galanya.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?