Persoalan belum terjawab...

Setiap hari yang dilalui menambahkan lagi persoalan difikiran ini. Entah kenapa saya suka sangat berfikir tentang pelbagai persoalan disekeliling saya terutamanya kejadian alam ini.

Saya selalu bayangkan sekiranya saya berada di dalam sebuah perpustakaan saya akan mampu mendapat jawapan kepada setiap persoalan ini. Namun begitu belum tentu semua persoalan ini akan terjawab. Saya juga bayangkan betapa seronoknya jika saya bertemu dengan seseorang yang mampu menjawab segala persoalan ini tanpa perlu saya mengkaji sendiri.

Persoalan kali ini ialah umat Islam menggunakan kalendar hijrah dalam menentukan amal ibadat, sedangkan kalendar tersebut sentiasa berubah-ubah tidak seperti kalendar masihi yang tetap. Jika kita melihat perubahan musim dalam kalendar masihi kita akan dapati bahawa ia seolah-olah tetap, setiap kali datang bulan Jun bermulalah kepanasan di sini, begitu juga setiap kali Januari menjelma, kami akan merasa kesejukan yang amat sangat.

Namun sekiranya kita mengira mengikut kalendar hijri perubahan musim ini adalah tidak tetap, mungkin tahun ini kita puasa dalam musim luruh, tahun depan akan puasa pada musim panas pula, dan begitulah seterusnya. Bila fikir sekali lagi...betapa Allah swt Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya. Ini kerana apabila amal ibadat dilakukan pada musim yang berbeza, ia membantu umat Islam melaksanakannya dengan tenang. Ini kerana kita tidak akan terikat dengan perspektif tertentu berkaitan perkara ini.

Mungkin tahun ini kita melaksanakan haji dalam musim sejuk, sepuluh tahun akan datang kita akan melaksanakan haji pada musim panas. Jadi salahkah anggapan orang yang pergi ke Makkah pada musim panas, bahawa cuaca di Makkah panas, sedangkan orang yang ke sana pada musim sejuk akan memberitahu bahawa cuaca di Makkah sejuk?

Apakah hikmah daripada segala perubahan yang berlaku disekeliling kita? Apakah kita ingin diingatkan bahawa laksanakanlah ibadah yang ditentukan ke atas kamu walau apapun keadaan disekelilingmu. Ataupun Allah ingin memberitahu kepada kita bahawa tidak ada sesuatu yang tetap dalam kehidupan ini, segala-galanya boleh berubah dengan ketentuan-Nya.

Sesungguhnya Allah Maha berkuasa atas setiap sesuatu. Ya Allah berikanlah kekuatan dan  keyakinan untukku jalani kehidupan dialam ini mengikut syariat-Mu.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman