Hadis Pilihan (Persaudaraan Islam)

Firman Allah SWT yang bermaksud "Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara" dan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri" amat meninggalkan kesan yang mendalam ke dalam hati saya. Sesungguhnya hadis inilah diantara hadis yang mula-mula saya pelajari semasa di sekolah menengah dulu. Namun amat sukar untuk mencari orang yang dapat memenuhi ciri-ciri yang diceritakan dalam hadis ini. Hadis ini memang mudah dan ringkas untuk dihafal tapi amat berat untuk dipraktikkan.

Siapakah saudara yang disebutkan dalam hadis ini? Apakah saudara kandung, kaum kerabat ataupun lebih luas lagi, iaitu saudara seagama. Sememangnya kita semua bersaudara, Islam dan bukan Islam semua bersaudara kerana kita asal dari punca yang sama iaitu Nabi Adam dan Hawa tapi kita yang telah menyempitkan pengertian ini dengan mengira kaum kerabat sahaja saudara kita. Sekiranya kita faham konsep ini, maka pengertian persaudaraan ini amatlah luas, tidak akan timbul soal kaum, puak dan sebagainya, yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa diantara kita.

Tahukah kita setakat mana kita mengasihi diri kita? Sekiranya kita mempunyai tahap esteem diri yang tinggi, maka kasih sayang kita terhadap diri amatlah tinggi, sehubungan dengan itu kita sanggup berusaha keras untuk mencapai impian kita, tapi ia berlaku sebaliknya bagi orang yang beresteem diri rendah. Cuma kita sendiri yang dapat menilai diri kita. Jadi apakah kita mampu mengasihi saudara kita sebagaimana kita mengasihi diri kita ini?

Dalam kehidupan hari ini, kita lebih terdedah untuk berpuak-puak dan berkumpulan mengikut jenama masing-masing, malah sesetengahnya terlalu taksub kepada puak mereka, sehingga susah untuk bertolak ansur. Tuduh-menuduh dan kata-mengata adalah terlalu biasa dalam menegakkan kumpulan masing-masing. Apakah sifat ini termasuk dalam hadis di atas?

Bagi orang yang ingin menghidupkan pengertian hadis diatas, perkara utama yang perlu dia lakukan adalah mengasihi diri sendiri, tunaikanlah segala tanggungjawab diri sendiri, kemudian jagalah hubungan kita sesama manusia dalam erti kata yang sebenar. Ini kerana ramai umat Islam sekarang tidak mampu menjaga hubungan sesama manusia, terlalu ramai yang berpura-pura, dan tidak boleh bertolak ansur sesama mereka. Tidak mungkin mereka tidak tahu tentang hadis ini dan banyak lagi hadis-hadis lain mengenai persaudaraan sesama Islam.

Amalan berpuak-puak ini boleh didapati dimana-mana sahaja, amat jarang sekali terdapat orang yang sanggup bersikap terbuka menerima persahabatan dari semua orang yang ditemuinya, sedangkan Allah SWT telah menjelaskan bahawa DIA menjadikan manusia berpuak-puak dan pelbagai bangsa supaya kita berkenal-kenalan. Ini dijelaskan dalam surah Al-Nisa:1.

Rasulullah SAW bersahabat dengan pelbagai golongan masyarakat, malah mempersaudarakan diantara orang-orang Muhajirin dan Ansar. Inilah sunnah Rasulullah yang sepatutnya kita hidupkan, kerana hubungan sesama manusia yang kuat akan menguatkan jatidiri kita. Selagi kita masih belum mampu menerima kehadiran orang lain sebagai saudara, bermakna kita masih belum menghayati hadis ini dengan sebenar-benarnya.

Sebenarnya amat mudah untuk menghidupkannya sekiranya kita yakin, mulakanlah dengan ucapan salam dan senyuman yang ikhlas. Insya Allah niat kita akan dimakbulkan oleh Allah SWT. Sama-samalah kita sebarkan salam ukhwah di alam ini agar kita mampu tergolong dalam golongan yang bertemu dan berpisah kerana Allah SWT, satu golongan daripada 7 golongan yang dapat bernaung dibawah arasy Allah SWT pada hari yang tidak ada perlindungan.

Amat pedih bila melihat manusia bergaduh dan berperang sesama sendiri, mengapa kita tidak boleh bertolak ansur? Sesungguhnya tiada orang yang sempurna di alam ini, kerana yang sempurna hanyalah Yang Maha Pencipta. Oleh itu maafkanlah setiap orang yang berbuat salah kepada kita, moga dengan berbuat demikian kita dapat mengeratkan silaturrahim sesama manusia.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

Mengaji Quran ketika Haid