Ayat Pilihan (al-Baqarah:102)

Ayat dalam Surah Al-Baqarah:102 yang bermaksud:
" Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanyalah syaitan-syaitan itulah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat dinegeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan (sesuatu) kepada seorang pun sebelum mengatakan: "Sesungguhnya kami hanya cobaan (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir". Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah menyakini bahawa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual diri dengan sihir, kalau mereka mengetahui."

Ayat di atas berkenaan sihir untuk memisahkan pasangan suami isteri, yang mana ia bukanlah perkara baru yang berlaku dalam masyarakat kita (Melayu) sahaja, malah ia merupakan satu perbuatan yang berlaku dalam mana-mana masyarakatpun. Hatta dalam masyarakat Yahudi sekalipun wujud perbuatan ini, bermacam-macam sihir dikerjakan termasuklah sihir untuk mencerai-beraikan masyarakat, keluarga termasuklah pasangan suami-isteri.

Amat jelas sekali dalam ayat ini Allah SWT menceritakan bahawa sihir itu berkaitan dengan kerja syaitan, yang mengajar manusia untuk melakukan sihir dalam usaha mereka (syaitan) untuk memecahbelahkan masyarakat. Akan tetapi para mufassirin berlainan pendapat tentang yang dimaksudkan dengan dua Malaikat itu (Harut dan Marut), ada yang berpendapat mereka betul-betul malaikat dan ada pula yang berpendapat, orang yang dipandang soleh seperti malaikat, dan ada pula yang berpendapat, dua orang jahat yang berpura-pura soleh seperti malaikat.

Walauapapun yang berlaku, selagi kita berpegang teguh kepada ajaran agama serta melaksanakan suruhan Allah, sihir itu tidak akan mampu mempengaruhi kita. Kadang-kadang orang yang menghantar berniat untuk membuat kita jatuh sakit, memisahkan suami isteri, serta pelbagai lagi niat mereka tapi disebabkan kekuatan dalaman kita, ia tidak mampu mempengaruhi kita sebagaimana yang dijelaskan dalam bahagian akhir ayat ini. "Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorangpun kecuali dengan izin Allah".

Dalam dunia yang semakin canggih, manusia masih menggunakan sihir sebagai jalan untuk menjatuhkan orang lain, mengapa ini berlaku? Dimana-mana sahaja kita mendengar tentang sihir, malah ia tidak mampu dijelaskan oleh doktor-doktor pakar sekalipun. Apakah sihir itu wujud? Ini kerana ramai yang menganggap ia tidak wujud, cuma gambaran dalam diri pesakit tersebut, sehingga pesakit tersebut dianggap mengalami sakit jiwa. Sekiranya kita mengkaji ayat-ayat Al-Quran, kita akan dapati pelbagai cerita berkaitan dengan sihir diceritakan oleh Allah SWT sebagai ilmu kepada kita, termasuklah untuk mengatasinya.

Sehubungan dengan itu, dalam surah Al-Jinn, Allah SWT menceritakan "dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki diantara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki diantara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan". Dalam ayat ini jelaslah bagi kita bahawa sihir itu berlaku disebabkan manusia meminta pertolongan jin dalam usaha mereka memusnahkan rumahtangga orang yang didengki oleh mereka, menjatuhkan orang yang dicemburui oleh mereka dan sebagainya.

Apakah salah orang yang terkena sihir? Apakah kerana kesilapan mereka, yang jauh daripada ajaran Islam, ataupun ia adalah ujian dari Allah SWT agar dia berfikir dan memahami qada' dan qadar Allah, dan memahami konsep penyerahan sepenuhnya kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah menguji orang yang mampu menghadapinya sahaja.

Kadang-kadang ujian itu diberi kepada seseorang itu untuk memberi hikmah kepada mereka, terutama kepada mereka yang ikhlas dalam hubungannya dengan Allah. Ini kerana bila terkena sakit maka kita akan mencari ubatnya, dan dalam pelbagai ubat yang diberikan tersebut terdapat ilmu yang tidak mampu didapati oleh orang lain. Sebagai contoh orang yang terkena sihir, akan mencari Ustaz untuk mengubati penyakitnya, dan setiap ustaz ini mempunyai amalan ayat-ayat Quran yang berbeza, jadi berapa banyak versi ayat-ayat amalan yang mampu dikumpul olehnya. Dalam masa yang sama dia mampu memahami bahawa semuanya anugerah dari Allah SWT, tapi sebenarnya amalan yang paling hebat adalah yang bersandarkan kepada sunnah yang sahih. Malah proses mengadaptasi ilmu tersebut cuma dapat dilakukan oleh orang yang mengalaminya sahaja, iaitu orang yang tetap bersangka baik dengan Allah walau apapun ujian yang diberikanNya.

Akan tetapi alangkah terpesongnya aqidah mereka yang terlibat dengan sihir ini, kerana kejahilan mereka sanggup melakukan apa saja. Hati dan perasaan mereka seolah-olah tertutup dari melihat kebenaran. Moga Allah memberi hidayah kepada mereka, agar segala amalan yang dilakukan mereka tidak bertentangan dengan ajaran agama kita.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

Mengaji Quran ketika Haid