Sifat Ingin Tahu

Alhamdulillah dengan teknologi moden kita boleh mendapat segala maklumat yang diinginkan dengan cepat. Inilah kehebatan manusia, mampu mencipta sesuatu yang mempu menghubungkan manusia dari segenap kawasan dengan mudah. Malah kita mampu mendapat gambar-gambar yang berkaitan juga. Sekiranya dulu kita hanya dapat membayangkan sahaja tapi hari ini kita dipaparkan gambar-gambar tersebut melalui TV, suratkhabar, majalah atau internet. Kita juga mampu terbang dari satu tempat ke satu tempat lain dengan pantas, serta bermacam-macam lagi penemuan terbaru.

Apakah ini yang dijelaskan oleh Allah kepada malaikat, ketika para malaikat memberitahu tentang pertumpahan darah yang dilakukan oleh makhluk Allah yang terdahulu, dalam firmanNya yang bermaksud "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui"
Keinginan manusia untuk mengetahui apa yang ada disekeliling mereka, menyebabkan mereka meneroka dan berfikir untuk mencipta sesuatu, akhirnya terhasillah pelbagai produk yang dapat membantu manusia meneruskan hidup didunia ini. Sedangkan makhluk lain ciptaan Allah tidak mampu berbuat demikian. Begitulah hebatnya manusia, tapi sebagai orang Islam kita mempunyai limit-limit tertentu yang mesti dijaga.

Sememangnya sifat ingin tahu itu amat penting untuk kita, kerana itulah punca penggerak hidup kita.Dengannya juga kita dapat meneguhkan keimanan kita, kerana semakin kuat perasaan tersebut, ia mendorong kita untuk berusaha semakin kuat sehingga berjaya menghasilkan sesuatu. Subhanallah betapa hebatnya kejadian manusia, dan sememangnya penciptanya terlalu Agung dan Hebat.
Sekiranya kita dah hilang sifat ingin tahu tersebut apa akan terjadi kepada kita? Apakah kita akan hidup sebagaimana hidupnya haiwan yang bekeliaran di sana sini? Apakah setiap manusia mempunyai sifat ini?

Sifat ini amat jelas terdapat dalam diri setiap kanak-kanak, semasa kecil pelbagai persoalan ditimbulkan, kadang-kadang tanpa mengharapkan jawapan. Sekiranya mereka dididik dengan didikan agama, maka pelbagai persoalan yang tidak mampu dijawab oleh ibubapa mereka ditimbulkan tentang ajaran agama. Alhamdulillah, segala pertanyaan tersebut akan menjadi titik tolak bagaimana mereka memahami agama mereka. Biarlah persoalan tersebut diutarakan oleh mereka, jangan sekali-kali kita marah atau mengherdik mereka, kerana disitu bermula perjalanan hidup anak-anak mengenal Allah.

Sepatutnya sifat ini berterusan sehingga dewasa, semakin kuat mereka berfikir, akan mendekatkan mereka kepada Agama mereka. Namun apa yang terjadi, semakin dewasa kanak-kanak tersebut semakin malas berfikir, tidak lagi berminat mengutarakan persoalan, seolah-olah tiada apa lagi yang ingin diketahui. Sepatutnya para ibubapa memerhatikan keadaan ini, galakkan mereka berfikir, timbulkan sifat ingin tahu mereka kembali agar mereka selalu berfikir sebelum melakukan sesuatu. Janganlah kita biarkan sifat ini terhenti begitu saja.

Salah satu jalan untuk menggalakan dan menyuburkan sifat ini ialah dengan belajar mengaji al-Quran dan mempelajari maksudnya, kerana disitu terdapat seribu macam persoalan yang akan membantu anak-anak kita berfikir. Apa maksud kejadian yang diceritakan dalam Al-Quran, apa penyudah cerita tersebut, mengapa cerita tersebut diceritakan begini di sini dan begitu disana serta pelbagai lagi persoalan. Begitulah indahnya ajaran agama kita bagi orang yang mahu berfikir.

Allah mencipta manusia dengan kelebihan sifat ingin tahu, kemudian kita diberi panduan penyelesaiannya melalui kitab-kitab yang diturunkan kepada para anbiya dan rasulNya. betapa Allah menyayangi hambanya, cuma hambaNYA kekadang leka dibawa arus tanpa kembali kepada ajaran yang diberikanNya, yang amat bersesuaian dengan fitrah kita sebagai manusia.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?