Hukum darah keluar sebelum bersalin

Ada yang bertanya tentang apakah hukum darah yang keluar sebelum bersalin? Apakah wanita yang mengalaminya perlu menunaikan solat atau tidak?

Ini berikutan penjelasan yang diberikan oleh doktor-doktor dan jururawat-jururawat sekarang yang agak berminat tentang agama bahawa darah tersebut adalah "darah istihadah" dan mereka mesti menunaikan solat. Alhamdulillah satu perkembangan yang baik, kita mendoakan agar doktor-doktor tersebut terus berdakwah dalam menjalankan tugas mereka, terutama tentang doa dan tawakkal pesakit kepada Allah SWT.

Cuma isu ini memerlukan kefahaman yang mendalam tentang hubungan manusia dengan Allah SWT, agar kita tidak menyusahkan pesakit. Ia juga menuntut kefahaman tentang maqasid syariah serta kelonggaran (rukhsah) yang telah ada dalam agama kita. Janganlah tindakan kita menyebabkan kekeliruan dikalangan pesakit, ini kerana "Islam itu Mudah, janganlah kita menyusahkan".

Setelah meneliti beberapa pendapat ulama dalam kitab fekah perbandingan, saya dapati perkara tersebut telah dibincangkan oleh para ulama sejak dahulu lagi, malah ia bukanlah perkara baru yang menuntut ijtihad baru. Hukumnya telah dijelaskan oleh para ulama Islam sejak berkurun lamanya, malah diperkemaskan lagi oleh ulama-ulama sekarang. Malah para wanita di tanah Arab juga turut bertanya tentang perkara ini, demi menunaikan tuntutan agama.

Kesimpulannya ulama berselisih pendapat sama ada:
1. darah yang dilihat orang hamil sama ada haid atau istihadah.
Dalam isu ini, Imam Malik dan Imam Syafii berpendapat bahawa orang hamil juga haid. Manakala Imam Hanafi dan Imam Ahmad berpendapat bahawa orang hamil tidak mengalami haid, darah tersebut adalah darah rosak.

Jadi sekiranya kita mengambil pendapat Imam Shafii bermakna darah tersebut adalah darah haid, jadi hukumnya jelas iaitu hukum haid, tidak perlu menunaikan solat sehingga tempoh darah tersebut berhenti, atau sebanyak-banyaknya 15 hari. Darah yang keluar semasa mengandung adalah haid, berdasarkan hujah mereka sekiranya wanita itu kuat dan janin kecil, maka wanita mengandung akan mengalami haid juga.

2. hukum darah yang keluar diikuti kesakitan untuk melahirkan (al-talq)
Sekiranya darah yang keluar 2 - 3 hari sebelum bersalin diikuti kesakitan untuk melahirkan, para Ulama terbahagi kepada 3 pendapat iaitu:
1. darah tersebut adalah "darah nifas", kerana ia petanda bahawa pintu rahim telah terbuka, walau berapa cm pintu rahim tersebut terbuka. Jadi wanita tersebut terhalang daripada menunaikan solat, dan hukum-hukum lain yang berkaitan dengan darah nifas.

2. darah tersebut adalah "darah haid" seperti pendapat Imam Malik, jadi hukumnya seperti hukum haid, terhalang dari menunaikan solat.

3. darah istihadah, wanita tersebut mesti bersolat seperti biasa tetapi mesti berwuduk setiap kali waktu solat.

Dalam kitab bidayatul mujtahid, dijelaskan pendapat Imam Shafii iaitu beliau bependapat bahawa orang hamil juga mengalami haid, jadi sebagai pengikut Mazhab Shafii sebaiknya kita memilih pendapat ini, lebih memudahkan kaum wanita.

Serta ingatlah selalu bahawa Allah Maha Pengasih dan Penyayang kepada hambaNya, tidak menyusahkan kita kecuali kita yang menyusahkan diri sendiri kerana tidak faham tujuan syariahNya diwajibkan kepada kita. Solat adalah doa, boleh ditunaikan sambil baring atau dengan isyarat sahaja maka sekiranya kita berpendapat dalam keadaan tersebut mesti solat, maka tunaikanlah menurut kemampuan kita. Sememangnya wanita beriman yang sakit ingin melahirkan tidak lepas bibir dan hati mereka dari mengingati Allah SWT, moga diRahmati Nya dan dimudahkan segala urusan.

Secara logiknya, setiap wanita yang akan melahirkan anak sentiasa berdebar-debar, ada yang ketakutan kerana proses melahirkan amat susah dan menyakitkan. Wanita tersebut berada diambang hidup atau mati, segala penyerahan hanya kepada Allah. Bagi wanita yang beriman tidak ada lain yang diingat kecuali berdoa kepada Allah agar memudahkan segala proses, segala fokus ditumpukan kepada proses melahirkan tersebut. Tidak pernah terdengar pula ada wanita yang mampu gelak ketawa semasa dalam tempoh ini, malah yang biasa kedengaran adalah rintihan kesakitan, raungan dan tangisan bagi yang tidak beriman. Sememangnya tiada lelaki yang mengalami peringkat ini dalam penyerahan kepada Allah SWT, walau apapun hujah mereka.

Sekiranya semasa tempoh haid, Allah memberi peluang kepada wanita untuk meninggalkan solat kerana "ia menyakitkan", sedangkan kesakitan haid amat sikit jika dibandingkan dengan kesakitan ketika ingin melahirkan anak. Dalam masa yang sama, darah keluar sebelum bersalin melibatkan dua nyawa, nyawa si ibu dan si anak yang dalam kandungan, yang mungkin membawa mudarat yang lebih jika diabaikan, kerana kita tidak tahu bila kita akan melahirkan secara tepat. Malah doktor yang meramalkan selalunya tidak tepat dengan proses kelahiran, kerana segala ilmunya didalam pengetahuan Allah SWT sahaja.

Apakah patut wanita yang dalam kesakitan ingin melahirkan dengan disertai tanda-tanda yang jelas, disuruh melaksanakan solat secara keras oleh Nurse yang bertugas sedangkan ia adalah termasuk dalam perkara khilaf ulama, hanya kerana mereka menerimapakai pendapat bahawa darah yang keluar adalah darah istihadah, sedangkan ramai ulama berpendapat bahawa ia adalah darah nifas, dan tidak perlu menunaikan solat dalam tempoh tersebut.

Malah, ia akan menimbulkan masalah kepada wanita tersebut yang terpaksa memikirkan perkara yang berkaitan dengan solat, bagaimana untuk membersihkan diri, mesti mandi wajib atau tidak, sedangkan Doktor atau Nurse dah memasukkan jari mereka dalam kemaluan mereka semasa memeriksa bukaan pintu rahim, apakah berwuduk sahaja memadai serta pelbagai kekeliruan lain yang akan menimbulkan was-was. Tambahan lagi wanita melayu dah terbiasa dengan pelbagai perkara rasmi berkaitan solat, mesti bertelekung dan kurang terdedah dengan solat orang sakit. Sedangkan pada masa tersebut beliau sepatutnya memokuskan segala tumpuan kepada proses melahirkan anak.

Bila dirujuk kepada peristiwa melahirkan yang diceritakan dalam Al-Quran, iaitu kisah Maryam semasa ingin melahirkan Nabi Isa alaihissalam dalam Surah Maryam ayat 23 - 26, tidak pula diceritakan tentang solat sedangkan Maryam terkenal dengan kepatuhannya kepada Allah, banyak melakukan ibadah sama ada yang wajib atau sunat.

Yang diceritakan adalah ketika Maryam rasa sakit akan melahirkan, dia bersandar pada pangkal pohon kurma dan berdoa kepada Allah SWT, sebagaimana kata-katanya: "Aduhai, alangkah baiknya aku mati sebelum ini, dan aku menjadi sesuatu yang tidak bererti lagi dilupakan" kemudian malaikat Jibril menyerunya dari tempat yang rendah "Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu" dan goyanglah pangkal pohon kurma itu kearahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu, maka makan, minum dan bersenang hatilah kamu, jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah:" sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan yang Maha Pemurah, maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusiapun hari ini".

Berbagai pengajaran yang boleh kita dapati daripada kisah ini, sebagai panduan kepada wanita-wanita yang ingin melahirkan dan selepas melahirkan. Yang paling utama adalah penyerahan sepenuhnya kepada Allah SWT, banyakkan berdoa dan beristigfar kepadaNya kerana Allah lebih mengetahui apa yang akan terjadi kepada kita. Bertuahlah wanita yang banyak melahirkan kerana sentiasa berada dalam doa malaikat, dan disucikan setiap kali melahirkan.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
bermanfaat

http://kumpulankonsultasi.blogspot.com

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016