Pentingkah Esteem Diri (Sanjungan Diri)?

Esteem diri menggambarkan persepsi keseluruhan diri kita. Bagaimana kita melihat diri sendiri, apakah kita menghormati diri kita dan apakah kita melihat diri kita berharga dalam kehidupan ini.

Penilaian diri ini, sama ada positif atau negatif, tinggi atau rendah, adalah teramat penting dalam kehidupan setiap insan. Ia bukan bermaksud kita melihat diri kita sebagai orang terhebat didunia ini, bersikap bangga diri atau angkuh, tetapi lebih kepada penilaian harga diri.

Orang yang mempunyai esteem diri yang normal, sentiasa menilai diri mereka dan meletakkan diri mereka ke tempat yang sepatutnya, bukannya menilai terlalu tinggi kemudian merasa diri tidak berharga bila tidak berjaya mencapainya.

Esteem diri yang positif bermaksud kita menyukai setiap aspek dalam diri kita, tapi bagaimana tahap penilaian tersebut bergantung kepada kayu ukur penilaian tersebut. Sekiranya kita membandingkan diri kita dengan orang yang terlalu hebat pencapaiannya, maka kita akan merasakan diri kita terlalu lemah,begitu juga sekiranya dibandingkan dengan orang yang terlalu lemah pencapaiannya maka kita akan menjadi jumud. Oleh itu jalan terbaik ialah menilai dengan teman seperjuangan kita, agar kita sentiasa redha dengan kemampuan kita.

Masalahnya ramai surirumah mempunyai esteem diri yang negatif dan rendah. Bila bergaul dengan mereka kita dapat rasakan bahawa inilah punca pelbagai masalah dalam hidup mereka. Sedangkan menurut kajian, setiap orang perlu menjaga esteem diri agar sentiasa positif, kerana sesetengah pemikiran akan mengecilkan otak kita lebih kurang 20 peratus. Ini terjadi kepada mereka yang mempunyai esteem diri yang negatif, saiz otak mereka 20% lebih kecil berbanding mereka yang mempunyai pemikiran positif tentang diri mereka.

Dimana-mana sahaja kita melihat wanita berusaha untuk bekerja, kerana mereka memikirkan bahawa dengan bekerja mereka dapat meninggikan esteem diri mereka. Memang diakui ramai yang mampu mengubah esteem diri bila bekerja tapi mereka akan berdepan dengan risiko yang lebih besar. Puncanya ialah kerana tidak memahami punca masalah diri mereka, serta tidak menghargai tugas yang dijalankan dirumah.

Jadi sebagai surirumah, amat perlu kita memahami diri kita dan memberi penilaian sewajarnya, agar kita tidak termasuk ke dalam golongan yang mempunyai esteem diri yang rendah. Inilah juga sebabnya wanita dahulu melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran tertentu seperti menjahit, memasak, menyulam dan sebagainya yang boleh dibuat walaupun berada dirumah. Ini kerana kemahiran ini membantu mereka meningkatkan esteem diri, juga membantu meredakan diri ketika berada dalam keadaan stress.

Penerimaan orang disekeliling kita juga memberi kesan kepada esteem diri, semakin baik penerimaan masyarakat terhadap kita akan meninggikan penilaian kita terhadap diri sendiri. Sekiranya hidup kita terasing daripada masyarakat, makin lemahlah esteem diri kita, itulah sunnatullah. Setiap hubungan dengan orang disekeliling kita memberi impak besar ke dalam diri sendiri, sebab itulah ia dianjurkan dalam Islam.

Sehubungan dengan itu,ada beberapa perkara yang perlu kita ketahui berkaitan dengan esteem diri, kerana ia menunjukkan bahawa kita mempunyai esteem diri yang rendah atau sebaliknya:
1. esteem diri adalah perkara asas dalam kejadian kita, ia merangkumi semua yang kita yakini tentang diri kita, sekiranya kita positif maka ia memberikan kebaikan kepada kita.
2. esteem diri yang rendah adalah bukan kesilapan kita, ia selalunya bermula dengan kekurangan semasa kecil, masa lalu tidak boleh diubah, tapi kita mampu mengubah masa sekarang. (Masa lepas tetap lepas)
3. Ramai yang beranggapan bahawa segala kekurangan dan kelemahan kita menyebabkan kita bukanlah diri yang sebenar.
4. Namun esteem diri yang rendah tidak akan berlalu sendiri. Ia memerlukan kekuatan kita untuk mengatasinya.
5. esteem diri yang rendah inilah punca pemikiran negatif, kurang bermotivasi, berlengah-lengah, menangguhkan urusan, sebenarnya semua perkara yang menarik kita kebelakang.
6. Kajian Sains pula menunjukkan bahawa sekiranya kita memiliki esteem diri yang rendah, kita akan mudah mendapat penyakit.
7. Otak kita akan mengecil 20%, dan pembelajaran dan ingatan kita juga akan menjadi lemah.
8. Kita juga akan menurunkan sifat ini kepada anak-anak kita kerna kitalah model mereka, dan kitalah yang menilai keupayaan mereka.

Semua ini bergantung kepada esteem diri kita, begitu juga semua perubahan yang kita inginkan dalam diri kita mestilah berasaskan esteem diri kita, bagaimana kita menilai diri sendiri dan dunia disekeliling kita. Semakin kita merasa sayangkan diri kita, kita akan semakin bijak dan sihat.

Apakah yang akan berlaku sekiranya hidup kita dikelilingi oleh semua pemikiran negatif? Ini kerana setiap kali anda ingin melakukan perubahan dalam diri, akan ada satu suara dalaman yang menidakkan kemampuan anda, dan mengingatkan bahawa anda akan gagal. sekiranya anda gagal mencapai segala matlamat 99% puncanya adalah daripada esteem diri. Dan sekiranya anda menangguh-nanguh kerja, dan tidak percaya diri, puncanya juga esteem diri yang lemah. Kecuali ada sesuatu perubahan, anda akan tetap menjadi anda sekarang, masih tetap mempunyai batasan dalam segala sesuatu. Anda tidak akan mampu menggunakan kekuatan dalaman yang ada untuk pembangunan diri dan keluarga.

Alhamdulillah kita masih mempunyai pilihan, tapi kita mesti merebut peluang ini, dan mula bergerak mencapai segala impian kita. Ini kerana Allah mencipta kita dengan kelebihan masing-masing yang tidak mungkin sama, dan setiap orang diberi peluang untuk mencapai kejayaan semaksima mungkin sekiranya kita mempunyai esteem diri yang kuat. Jadi mulakan hidup baru yang lebih positif dan kecapilah kejayaan dari segenap sudut berasaskan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman