TUGAS WANITA MELAYU

Wanita tetap wanita, insan hebat yang hidup mengorbankan diri untuk kebahagiaan keluarga tercinta. Di mana-mana sahaja kita mendengar kisah wanita, ada berita gembira, sedih dan sebagainya. Sememangnya setiap wanita mempunyai kisah tersendiri yang boleh dijadikan teladan anak cucu mereka, kisah pahit getir mendidik anak-anak serta hubungan dengan suami tidak boleh dipandang sebelah mata.

Bila dikaji balik tentang tugasan wanita, memang tugas itu tidak akan berakhir seumur hidup mereka. Akan tetapi bila dikaji tugasan wanita melayu, memang amat berbeza sebab itu kita katakan mereka wanita hebat. Wanita Melayu jatuh bangun bersama-sama lelaki, malah mereka lebih gigih daripada lelaki melayu itu sendiri. Inilah hakikatnya yang terdapat dalam masyarakat kita hari ini, wanita terpaksa melakukan tugasan diluar kemampuan mereka sebagai wanita. Sekiranya kita lihat ramai wanita Indonesia terpaksa meninggalkan suami dan anak-anak kerana bekerja mencari rezeki untuk keluarga mereka sebagai pembantu rumah, wanita Malaysia juga tidak kurang pengorbanan mereka.

Mengapa terjadi sebegini dalam kehidupan wanita? Apakah itu tugas mereka ataupun ia berlaku kerana salah faham tentang ajaran agama kita? Ataupun salah faham tentang keutamaan tugas masing-masing?

Dalam masyarakat Arab dahulu, wanita menjadi ketua keluarga dalam urusan rumahtangga, malah merekalah yang mengurus, mengatur urusan dalaman keluarga mereka. kata-kata dan arahan mereka mantap sehinggakan wanita Arab hari ini sentiasa membincangkan tentang kehebatan mereka, ingin menghidupkan semula kehebatan yang pernah ada pada wanita Arab terdahulu. Kehebatan itu jugalah yang berjaya melahirkan tokoh-tokoh ulama dan pejuang Islam yang hebat dimata dunia. Akan tetapi tugasan mereka berkisar dalam rumahtangga mereka sahaja tanpa perlu keluar ke tempat kerja. Segala tumpuan diberikan untuk mengurus keluarga mereka dari segi pendidikan, kewangan dan sebagainya.

Itulah teladan yang dapat kita perolehi dari kisah hidup ulama-ulama besar Islam dahulu, kisah asuhan ibu yang mendorong kejayaan mereka. Walaupun para ibu ini tidak berpelajaran, tapi mereka mampu mengurus keluarga mereka, dan itulah didikan yang diturunkan kepada generasi wanita selepas mereka. Akan tetapi generasi hari ini mendapati banyak kelemahan yang terdapat pada wanita Arab zaman ini dan beusaha untuk kembali mencari kemana hilangnya kehebatan wanita, dan bagaimana membaikinya.

Begitu juga yang kita dapati dalam masyarakat melayu lama, wanita adalah tokoh hebat dalam rumahtangga, cuma berbeza dari segi tugasan mereka. Wanita Melayu menyertai lelaki dalam setiap urusan termasuklah urusan kerja di luar rumah. Walaupun tugas tersebut amat berat untuk dilakukan tapi wanita melayu ikhlas membantu suami dalam apa saja kerja, mereka keluar ke sawah bersama-sama suami kemudian pulang menyambung tugasan dirumah tanpa waktu berehat, sedangkan suami mampu berehat dari keletihan. Sikap memikul bebanan tugas lelaki ini sepatutnya disedari dari dahulu, agar wanita mampu berperanan dengan efisyen untuk melaksanakan tugas dalaman mereka.

Disebabkan kesibukan kaum ibu membantu suami diluar rumah, maka tugas mendidik anak-anak kurang diberi perhatian, yang menyebabkan akhirnya wujud segolongan lelaki yang terlalu bergantung kepada wanita. Ia juga menyebabkan kelemahan anak-anak lelaki dalam hidup mereka, kerana gambaran yang dilihat sehari-hari adalah wanita yang bekerja, segala tugas diletakkan diatas bahu wanita sehingga akhirnya wanita yang menanggung bebaban keluarga.

Perincian tugasan wanita Melayu memang terlalu banyak, ditambah lagi wanita yang bekerja diluar, maka ia menuntut pengorbanan yang terlalu besar daripada wanita. Sebenarnya tugas utama wanita ialah mengurus rumahtangga, yang mana pengurusan ini memerlukan kebijaksanaan, berfikiran luas dan bijak mentadbir. Sebab itulah dalam hadis Rasulullah menyebutkan "dan wanita itu pentadbir dalam rumah suaminya", satu tugas yang tidak mampu dilaksanakan oleh lelaki kerana itu adalah fitrah wanita.

Di antara tugas utama ialah:
1. mengatur keperluan rumahtangga, di sini ia memerlukan kebijaksanaan wanita untuk memilih barang-barang yang sesuai untuk rumahtangga beliau, membezakan antara yang penting dan yang tidak penting.

2. pengurusan kewangan dan perbelanjaannya. Kebijaksanaan wanita dalam mengurus kewangan keluarga akan membantu keluarganya hidup dalam aman damai tanpa terlibat dengan hutang walaupun pendapatan suami sedikit berbanding perbelanjaan yang perlu.

3. Mendidik anak-anak bersih dan berperaturan, yang mana ia akan melahirkan keluarga dan masyarakat yang bersih dan sihat. Malangnya amat ramai wanita yang mengambil mudah perkara ini, sedangkan kebersihan adalah asas utama sebelum bermula didikan solat dan sebagainya.

4. Mendidik pengurusan masa anak-anak, bagaimana mengisi masa lapang mereka, dan bagaimana untuk seimbangkan waktu belajar dan kegemaran masing-masing. Sekiranya ini dididik sedari kecil, anak-anak kita tidak memerlukan kursus motivasi khas untuk menjadi insan yang berjaya.

5. Bagaimana mengambil peluang untuk memajukan diri dan keluarga mereka, serta tidak melepaskan peluang yang datang tanpa mendapat faedah daripadanya.

6. Bagaimana menyediakan makanan yang sihat untuk diri dan keluarganya.

7. Bagaimana untuk berjimat dengan hartanya, iaitu dengan mempunyai perancangan yang teratur agar anak-anak mendapat manfaat daripadanya.

8. mendidik anak-anak menyusun dan mengemas bilik dan segala keperluannya, tidak salah mengajar anak-anak menyusun fail barangan mereka,agar mereka, membesar dengan berperaturan.

9. Yang paling utama ialah bagaimana untuk menjadi punca kebahagiaan dan ketenangan bagi keluarganya, masyarakatnya dan negaranya. Inilah tugas yang paling berat untuk dilaksanakan tapi sekiranya kita menanamkan sifat positif "INSYA ALLAH BOLEH", Allah akan membantu memberi kekuatan kepada kita.


Sebenarnya kesemua tugas tersebut menuntut pengorbanan yang amat tinggi untuk melaksanakannya, bagaimana untuk bergaul dengan suami. anak-anak dan jadi pemimpin yang adil dalam rumahtangga suami, menjaga amanah, contoh yang baik, pengasih dan pengurus yang bijaksana. Betapa banyak tugasan tersebut menanti, apatah lagi jika ditambah segala tugasan diluar rumah atau dipejabat, hubungan dengan bos, kawan sepejabat dan sebagainya. Ini menyebabkan wanita susah untuk tersenyum di petang hari.

Sebenarnya Islam meletakkan wanita di tempat yang baik, yang mulia tapi kita yang memilih untuk melakukan lebih dari fitrah kita, akhirnya kita yang tidak mampu menyimbangkan segala tugas tersebut, dan terpilih yang kurang penting daripada tugas utama kita. Malah tugas utama dijadikan tugas sampingan...fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Mai berkata…
Yeah,it's hard when you hv two jobs to handle.Some manage to handle while others failed, thts when the crisis start.To me if the husbands need their wife to work outside,they should playing their parts as well at home.
Tanpa Nama berkata…
Trend mendidik zaman ini banyak dilepaskan ke bahu guru sekolah. Bagi wanita terpelajar,kita dapati mereka lebih cenderung untuk menghantar anak-anak ke sekolah swasta yang menitikberatkan pendidikan agama, dalam masa yang sama mereka dapat bekerja dengan tenang, tanpa perlu memikirkan pendidikan agama anak-anak.

Problemnya bagi yang meninggalkan anak-anak dengan pembantu rumah, yg mana PR mengambilalih tugas memberi kasih sayang dan didikan awal utk anak2 mereka. Mampukah PR mereka mendidik dengan sebaik2nya anitaupun mereka cuma menjaga makan minum saja. Jadi dari mana anak2 ini mendapat model contoh dalam hidup mereka sekiranya yg dilihat sehari-hari adalah PR bukannya ibu sendiri, inilah yg perlu difikirkan semasak-masaknya oleh wanita bekerja.

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016