Masa Terbaik untuk Menulis

Alhamdulillah kita bercerita lagi pasal menulis, bilakah waktu terbaik untuk kita menulis.
Setiap orang mempunyai masa yang tersendiri, ada yang menulis pada waktu pagi, petang, malam dan tengah malam.

Bagi saya waktu yang paling saya sukai adalah waktu pagi, selepas semua anak pergi ke sekolah dan suami pergi ke tempat kerja, waktu itulah saya gunakan sekejap untuk meluahkan isihati dan persoalan-persoalan yang sentiasa ada di kotak fikiran ini.

Memang semenjak masa belajar lagi saya sangat suka menggunakan waktu pagi untuk menimba ilmu ataupun menyiapkan tugasan menulis. Bila matahari dah meninggi, saya akan lupakan terus tentang bab menulis ni, serta tumpukan pada pekerjaan lain. Dah memang tak boleh nak fokus pada waktu-waktu sebegitu.

Begitu juga keupayaan saya untuk mengajar serta berkongsi idea lebih mantap pada waktu awal pagi. Sebab itulah saya tidak kisah jika jadual waktu belajar dan mengajar saya semuanya bermula pada jam 8 pagi.

Sebenarnya setiap insan mempunyai waktu kekuatan mereka yang tersendiri, yang mana jika mereka tahu memanfaatkan waktu-waktu tersebut mereka akan dapat menghasilkan sesuatu pada waktu tersebut, sama ada belajar, bekerja, menyiapkan tugasan dan pelbagai urusan lain.

Kita lah yang lebih tahu waktu-waktu yang sesuai dengan kita, berdasarkan pengalaman semenjak kecil lagi. Jika kita dah terbiasa menggunakan waktu tersebut secara optimum untuk belajar, maka janganlah kita gunakannya untuk melakukan urusan lain yang kurang penting.

Menulis ni biasanya berkaitan dengan tugas pelajar, begitu juga buat orang seperti saya yang masih ingin belajar menulis serta meneruskan latihan ini. Moga-moga saya mampu berlatih setiap hari, hingga mampu menulis dengan lebih baik lagi.

Sebenarnya bila kita menulis kita mendapat kekuatan diri, kita juga tidak lagi memikirkan perkara yang sama berulang-ulang kali. 

Bila diimbas kembali kenangan lama, saya sepatutnya berterima kasih kepada guru semasa saya darjah 3, dimana ketika itu saya menjadi "tukang tulis" cikgu. Ini kerana sayalah orang yang terpaksa menulis senarai nama pelajar dalam kelas saya untuk buku kedatangan, dan menyalin kembali markah-markah yang diperolehi oleh setiap pelajar setiap kali musim peperiksaan. Tugas tersebut berterusan hinggalah tamat darjah 6.

Bila difikirkan balik keyakinan guru terhadap saya amatlah tinggi pada ketika itu alhamdulillah. Mungkin ketika itu saya tidak menyedari, kerana keinginan untuk bermain-main seperti rakan sekelas lain begitu tinggi. Tapi itulah latihan permulaan yang telah membantu saya untuk lebih fokus ketika menulis. 
Dan waktu tersebut ialah waktu pagi...

Begitu juga saya menghabiskan masa setiap pagi hujung minggu dengan berlatih menulis khat semenjak dari tingkatan 2 hinggalah tingkatan 5. Ketika itu saya mampu fokus dengan lebih baik dalam setiap urusan saya.

Mungkin ketika menyambung pelajaran peringkat lebih tinggi, saya sentiasa sibuk dengan anak-anak kecil pada waktu pagi tetapi ia tetap menjadi waktu pilihan saya untuk menulis tesis.

Pagi adalah waktu pilihan saya untuk menulis, anda pula bagaimana? Moga-moga anda telah tahu apakah waktu terbaik untuk anda lakukan sesuatu dengan optimum, manfaatkanlah waktu tersebut, insya Allah anda akan berjaya mendapat hasil yang baik.





Ulasan

nzainipm berkata…
assalamualaikum sdri aliza,
sy baru menjengah ke blog sdri dan spt ada tarikan krn sy juga mempunyai minat yg sama iaitu membaca dan menulis.sy rasa sy boleh belajar bnyk perkara dpd aliza.sy baru sedar sy mempunyai minat menulis sejak setahun dua ini.sy nk tahu b'mana kalau nak belajar menulis khat sendiri.Apakah tekniknya dan bolehkah belajar sendiri?tk
Aliza Yunus berkata…
Terima kasih nzainipm kerana berkunjung ke sini.
Tahniah kerana berminat untuk belajar khat, semoga semangat itu sentiasa kuat.
Sebenarnya sesiapa saja yg berminat boleh belajar sendiri, betulkan dahulu sedikit sebanyak kelemahan yang ada berpandukan buku khat yang menyertakan syarat-syarat jelas untuk menulis setiap huruf.
Tentang tekniknya, ada yang cuba menekap dahulu kemudian berlatih secara berterusan. Ada yang meniru...terpulanglah kepada keinginan hati sendiri.
Namun begitu jika berpeluang untuk berguru itulah yang lebih baik, kerana guru akan membetulkan terus segala kesilapan kita.
Moga idea yang sedikit ini dapat membantu.
Bagi saya yang paling penting ialah MINAT, SEMANGAT dan FOKUS sentiasa jelas, insya Allah anda akan perolehi kemahiran tersebut.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas