Gambaran Sifat Umat Islam dalam Ibadah Haji

Tahun ini lebih kurang 3 juta jemaah haji menunaikan ibadah tersebut di Mekah yang berakhir Khamis lepas. Menurut laporan kemalangan besar tidak belaku tahun ini, semua jemaah haji dapat menunaikan tanggungjawab dengan tentang. Alhamdulillah jemaah haji semakin faham tanggungjawab mereka semasa menunaikan haji.

Mungkin ada pelbagai rungutan jemaah haji yang boleh kita dengar, pengangkutan, pemakanan dan tempat tinggal yang tidak selesa. Bagi yang mencari keselesaan dalam ibadah haji, mereka sanggup mengeluarkan wang lebih untuk selesa. Tapi yang amat menyentuh hati ialah laporan Al-Jazeera tentang beribu-ribu jemaah haji miskin yang tinggal dalam khemah sepanjang musim haji tanpa memikirkan kekurangan apa-apa, mereka gembira penuh senyuman kerana berjaya sampai ke Tanah Haram untuk menunaikan Ibadah tersebut. Tiada komen mengenai tempat tinggal walaupun cuma tidur beralaskan tikar tanpa kipas angin atau aircond untuk menyejukkan badan. Ternyata mereka amat ikhlas dan betapa besar pengorbanan mereka untuk sampai ke destinasi tujuan mereka.

Walaupun cuma menonton melalui siaran TV tapi getaran haji tetap sampai ke hati mereka yang cintakan Allah SWT. Bila mendengar cerita penceramah TV mengenai pengalaman menunaikan haji, masing-masing menceritakan pengalaman mereka sebagai panduan kerana tidak ada insan yang mengalami pengalaman yang sama semasa menunaikan haji. Gambaran persaudaraan umat Islam dari pelbagai kaum dan negara bersatu dalam menunaikan syair ini, memang tidak ada dalam ibadah agama lain. Begitulah hebatnya ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

Sepanjang mengikuti program yang disiarkan secara langsung setiap hari oleh pelbagai stesen TV Arab mulai 1 Zulhijjah, ada perkara yang melibatkan surirumah, yang mungkin dipandang ringan oleh kita, tapi memberikan kesan besar kepada alam sekitar, iaitu pendidikan menjaga kebersihan. Inilah didikan pertama untuk anak-anak kita, dan seharusnya ia menjadi amalan kita dimana-mana kita berada.

"Kebersihan itu sebahagian daripada Iman", tapi dalam suasana haji yang dihadiri oleh lebih kurang 3 juta umat Islam, yang mana semua mengharapkan keredhaan Allah. Amat nyata sekali bahawa umat Islam gagal mengamalkan sifat ini, mungkin ia tidak ditanam dalam diri mereka atau mereka mungkin menganggap remeh perkara ini, mungkin juga mereka menganggap bahawa ada orang yang bertugas untuk mengutip segala sampah sarap yang mereka buang merata-rata.

Bila kita tengok gambar-gambar di Mina, di Jamrah tempat melontar, plastik-plastik sampah bersepah, begitu juga laporan pengacara TV yang memberitahu bahawa kawasan di Mina berubah warna bila berakhirnya ibadah haji. Ini adalah perkara biasa yang berulang setiap kali musim haji, semua kawasan dipenuhi sampah sarap yang menuntut kerajaan Arab Saudi menyediakan beribu pekerja untuk menbersihkan kawasan tersebut. Bayangkan sekiranya seorang membuang satu sampah, maka tiga juta jemaah haji mampu mengotorkan seluruh kawasan tersebut. Mungkin ada umat Islam yang faham, tapi gambaran tersebut menunjukkan kepada kita bahawa umat Islam kurang menitikberatkan penjagaan kebersihan walaupun perkara tersebut diletakkan sebagai tajuk pertama dalam perbincangan fekah.

Perlukah tajuk menjaga kebersihan ini dimuatkan sebagai satu silibus dalam kursus haji? Tidak, Ia cuma gambaran bahawa surirumah kurang mengambil berat tentang didikan ini untuk disemai dalam diri anak-anak semenjak mereka masih kecil. Kesannya ialah terdapat berjuta-juta orang dewasa (umat Islam yang menunaikan haji) yang tidak mampu membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan, juga tidak mampu menjaga kebersihan alam sekitar. Fikir-fikirkanlah....

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Perkara yg sama akan berulang lagi jika kita hanya mementingkan diri sendiri,macam rumah kita biar bersih kalau rumah orang atau tempat lain biar orang lain yg uruskan.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman