Mencari Kemuliaan di Dunia

"Sesiapa yang inginkan kemuliaan di dunia ini, datanglah ke Palestin", itulah kata-kata yang cukup berani diucapkan oleh pemimpin Palestin, bukan untuk mencari simpati tetapi untuk menunjukkan bahawa mereka begitu berani berjuang kerana Allah SWT.

Melihatkan keadaan Palestin sekarang, mungkin ramai yang gerun kerana Israel melancarkan serangan bertubi-tubi dari darat, laut dan udara. Kawasan yang sebegitu kecil dihujani peluru dari segenap penjuru, malah mereka berjaya memecahkan Gaza kepada dua bahagian. Namun kekuatan umat Islam Gaza tidak dapat dinafikan, kekuatan itulah yang sebenarnya mengerunkan askar Israel yang terpaksa bergerak berhati-hati walaupun bersenjatakan kereta kebal dan mortar. Dalam masa yang sama mereka berjaya membunuh dan mencederakan tentera musuh dan menghancurkan kereta kebal mereka.

Begitulah peringkat ke-2 serangan Israel setelah gagal memenuhi matlamat peringkat pertama. Kenyataan yang dikeluarkan secara jelas menyatakan bahawa mereka gagal mencapai matlamat yang digariskan pada peringkat pertama peperangan, itulah Yahudi. Mungkinkah mereka akan mengulang kegagalan mereka dalam perang Lubnan 2006, sama-samalah kita lihat. Di Lubnan Yahudi melancarkan serangan untuk menghancurkan Hezbollah, namun mereka terkejut dengan sikap umat Islam Lubnan yang tidak menyerah kalah.

Mungkin inilah yang akan kita dapati selepas perang di Gaza berakhir. Tujuan Israel hanyalah untuk menghancurkan Hamas dan menyerahkan pemerintahan ke tangan Parti Fattah. Di Palestin hanya kawasan Gaza yang masih bebas dari tentera Israel sedangkan kawasan Tebing Barat berjaya diduduki mereka. Umat Islam Palestin di Tebing Barat tidak boleh bergerak bebas seperti Gaza, berpuluh-puluh pos kawalan tentera Israel ditempatkan didalamnya. Apakah itu kemerdekaan yang diterima oleh Presiden mereka, umat Islam terpaksa melalui pos-pos kawalan Yahudi sehinggakan anak-anak sekolah juga diperiksa oleh mereka.

Sekiranya Gaza juga mampu dimiliki oleh Yahudi bermakna Palestin hanya tinggal nama, sekadar mengabui mata umat Islam lain.

Sememangnya Pemuda-pemuda Islam Palestin amat berani kerana mereka tahu akhir mereka akan ditempatkan ditempat yang paling tinggi di syurga. Apa tujuan kita hidup, melakukan amal ibadah di dunia ini, semuanya sama tapi kita masih belum tahu ke mana kita. Namun bagi orang-orang Palestin, mereka amat yakin dimana tempat mereka sekiranya mereka terkorban. Itulah penguat semangat mereka yang tidak henti-henti mengucapkan "Alhamdulillah".

Kata-kata keyakinan itu diucapkan dimana-mana, malah mereka yakin bahawa Allah akan mengurniakan kemenangan kepada mereka. Moga Allah meneguhkan hati-hati mereka untuk terus berjuang di kala umat Islam lain hanya mampu melihat dan mendengar, malah mereka akan menjadi iktibar kepada kita. Itulah keimanan yang mantap dijelmakan dalam perbuatan yang hebat, itulah sifat Muslim Hakiki.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman