Bahasa oh Bahasa

Bahasa jiwa bangsa, satu kata-kata yang menggambarkan kepentingan bahasa untuk sesuatu bangsa. Ia mampu menyatukan bangsa tersebut walau dimana mereka berada. Namun hari ini ia dipecah-pecahkan menjadi bahasa pasar, malah bahasa yang menjadi kekuatan ummah ini semakin tidak dihormati oleh bangsa itu sendiri.

Semasa zaman Rasulullah SAW mereka menuturkan bahasa Arab, iaitu bahasa Al-Quran. Sekiranya kita mengikuti sejarah hidup Rasulullah SAW kita akan dapati bahawa orang Arab ketika itu amat mementingkan penggunaan bahasa yang betul, malah mereka menghantar anak-anak kecil agar berada di wadi-wadi (kawasan pedalaman) untuk mendapat bahasa fushah. Begitulah prihatinnya mereka terhadap bahasa mereka sendiri.

Oleh sebab itu Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa Arab mudah difahami oleh generasi tersebut dan selepasnya. Begitu juga tutur-kata Rasulullah SAW berpandukan bahasa Arab fushah, sebagaimana yang kita dapati dalam hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Baginda. Begitulah hebatnya bahasa ini, ia menjadi bahasa penghubung umat Islam di seluruh dunia.

Namun ia seolah-olah tidak dihargai oleh penutur bahasa itu sendiri. Orang Arab lebih suka bercakap dalam bahasa dialek mereka yang pelbagai, dialek Mesir, Syria, Iraq, Oman, Saudi dan sebagainya. Begitulah ia dilupakan menyebabkan pelajar yang ke Mesir akan pulang membawa bahasa Arab dialek Mesir bukan bahasa Arab Fushah. Sayang seribu kali sayang Bahasa Al-Quran ini tidak lagi seperti masa ia diturunkan kepada Rasulullah SAW.

Buat masa sekarang amat susah untuk kita cari tempat untuk mempraktikkan bahasa Arab fushah, malah di sesetengah tempat mereka mentertawakan usaha kita untuk bertutur bahasa Rasmi ini dengan anggapan bahawa kita menggunakan bahasa buku atau bahasa klasik. Malah sesiapa yang menuturkan bahasa rasmi dianggap meninggi diri, sombong dan bongkak. Itulah realitinya. Apabila sesuatu bangsa menolak bahasa rasmi mereka, maka mereka akan jatuh ke belakang.

Malah di sesetengah negara Arab, ramai penduduknya memilih untuk bertutur bahasa Inggeris dengan menganggapnya lebih sesuai untuk kehidupan zaman ini. Jadi janganlah terkejut apabila anda bertemu dengan orang Arab yang tidak tahu mengaji Al-Quran dengan sebutan dan makhraj yang betul. Walaupun Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, tapi apabila mereka membaca mengikut sebutan dialek mereka, maka amat jelas sekali kesilapan bacaan mereka.

Alhamdulillah, kebelakangan ini ada beberapa stesen TV menggunakan bahasa fushah ini, termasuklah program kanak-kanak. Jadi generasi baru akan berupaya bertutur dan memahami bahasa Arab fushah, sehingga ada diantara anak-anak kecil mampu menggunakannya, walaupun ibubapa mereka menggunakan bahasa pasar. Semoga bahasa Al-Quran ini terus didaulatkan oleh bangsa mereka, dan kita mampu belajar daripada mereka tatabahasa yang betul.

Begitu juga yang berlaku kepada bangsa Melayu, suatu masa dulu ia menjadi bahasa yang menyatukan penduduk Nusantara, tapi kini ia dipecah-pecahkan kepada bahasa Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura dan Patani. Malah di Malaysia, kita melupakan bahasa ibunda sendiri dengan bercakap menggunakan loghat daerah masing-masing. Malah ada yang menganggap kebolehan bertutur dialek lebih hebat daripada bahasa baku. Maka berkembanglah dialek Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Serawak dimerata-rata tempat sehinggakan bahasa baku cuma digunakan dalam majlis-majlis rasmi sahaja.

Bahasa Melayu tidak lagi menjadi pilihan ibubapa hari ini, terutama yang berada di luar negara. Maka wujudlah ramai anak-anak Melayu yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu, entah budaya mana yang akan mereka bawa dalam kehidupan mereka nanti. Sekiranya mereka membawa budaya Islam alhamdulillah, tapi sekiranya budaya Inggeris yang mereka bawa maka kecundanglah anak bangsa kita seterusnya.

Sebenarnya apabila kita mampu menggunakan bahasa Rasmi (fushah), kita akan mampu bertutur dengan mudah dimana sahaja kita berada, tapi sekiranya kita menekankan bahasa dialek kita akan menghadapi kesukaran apabila berada diluar kawasan kita. Itulah yang berlaku kepada penutur-penutur dialek ini, sama ada orang Melayu atau Arab.

Berada diluar negara, terutama di negara Islam sepatutnya membantu kita untuk menambah ilmu agama. Ini kerana peluang untuk belajar terbuka luas, paling tidak kita berpeluang untuk belajar bahasa Arab, iaitu bahasa Al-Quran. Apabila kita pandai bahasa Arab, ia akan membuka minda kita untuk lebih memahami agama Islam, setiap patah perkataan Arab yg kita tahu mungkin berkaitan dgn cerita tertentu dalam Al-Quran. Indahkan...

Malangnya ramai di antara kita terlupa tentang hal ini, kita tidak merebut peluang berada di negara Arab untuk memahami adat resam dan ilmu yg terkandung didalamnya. Kita kurang bergaul dengan orang asal yg masih mempraktikkan ajaran Islam yg sejati.

Memang bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa, dan orang yang mampu menuturkannya memang hebat, tapi ia tidak sehebat orang yg tahu bertutur dalam bahasa al-Quran. Ini kerana bahasa ini dituturkan dan dibaca oleh ramai orang Islam didunia ini, yg membaca al-Quran. maka banyak rahsia al-Quran akan mampu diselongkar oleh mereka yg tahu bahasanya.

Walaupun lama berada di tanah Arab tapi ramai orang Melayu masih belum mampu betutur bahasa Arab, sayang sekali. Anak-anak tidak didedahkan untuk belajar bahasa Arab, bahasa agama mereka sendiri, tapi mereka ditekankan untuk belajar bahasa lain. Jadi apakah bentuk pendidikan agama yg kita ingin salurkan kepada mereka? Kita berbangga menjadi penutur bahasa Inggeris, tanpa sedikitpun berasa sedih kerana gagal menguasai bahasa Rasulullah SAW.

Sepatutnya kita mengambil peluang berada di negara Arab untuk memperbaiki diri kita untuk jadi Muslim yg lebih baik, Muslim yg sayangkan agama sendiri, muslim yg bangga dgn bahasa agama sendiri. Sekiranya ia tidak diterapkan janganlah kita sedih sekiranya 20 tahun lagi anak-anak kita tidak tahu menahu bahasa agama mereka sendiri. Dah lah bahasa ibunda tidak dihayati, bahasa agama juga tidak diketahui apa akan jadi pada mereka nanti???

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman