Sebulan Sudah Berlalu

Pejam celik pejam celik sebulan dah berlalu, kita sudahpun masuk bulan Safar 1430H. Kadang-kadang terfikir "berapa banyakkah perkara berfaedah yang dilakukan sepanjang bulan ini"? Kalau mengikut orang tua-tua bulan ini adalah bulan nahas, sebab itu mereka mengadakan perayaan mandi safar satu ketika dulu, untuk menolak bala. Alhamdulillah sekarang amalan ini makin dilupakan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Memang masa yang diberikan oleh Allah SWT 24 jam sehari semalam, semua sama untuk setiap orang tapi kadang-kadang kita merasakan tidak cukup masa untuk melaksanakan tugasan kita. Kalau nak diikutkan memang rutin rumahtangga tidak akan habis, apakah kita rela menghabiskan masa kita setiap hari bersih sana, bersih sini, lap sana lap sini, kadang-kadang tempat dah berkilat pun ingin dikilatkan lagi. Bagi yang ada anak-anak pula sibuk memanjang dengan anak-anak, kalau tak pun sibuk didapur.

Apakah ada peruntukan masa kita untuk pembangunan diri sendiri? Apakah ada masa kita untuk belajar mendalami agama sendiri? Sekiranya belum, fikirkanlah untuk mencarinya, agihkan masa agar dapat melakukan kerja yang boleh menampakkan hasilnya untuk diri sendiri. Ini bukan anjuran untuk mementingkan diri tapi diri kita perlu diisi dengan pengisian kerohanian agar kita betul-betul mantap dalam segala gerakkerja kita.

Jadilah seorang surirumah yang berpengetahuan, kerana ilmu dapat membenteng diri kita setiap waktu. Ilmu juga yang akan menguatkan diri kita bila berdepan dengan sesuatu masalah. Teringat kisah yang diceritakan dalam hadis mengenai kelas agama untuk wanita yang diadakan oleh Rasulullah khusus untuk wanita. Ia diadakan apabila para wanita menyatakan bahawa Rasulullah tidak memperuntukkan masa untuk mereka. Namun kebanyakan masalah wanita selalunya diajukan kepada Ummul Mukminin yang menyampaikannya kepada Rasulullah.

Carilah masa untuk sama-sama duduk menghadiri kelas agama kerana ia penting untuk pembangunan diri dan keluarga kita. Sertailah kumpulan yang membimbing kita ke arah kebaikan, jangan mengasingkan diri dari masyarakat sekeliling. Sekiranya belum ada orang memulakan di kawasan kita , maka carilah inisiatif untuk memulakannya bermula dengan jiran terdekat dan mereka yang dapat memahami kehendak kita.Ini kerana bila bersama-sama dalam kumpulan maka kita akan menjadi kuat. Itulah kecantikan ajaran Islam yang sepatutnya kita hidupkan, bukannya bergossip. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas