Mereka itu Saudara Kita

Alhamdulillah, terasa seronok bila melihat umat Islam turut sama merasai penderitaan yang dialami oleh peduduk Gaza. Begitulah sifat yang sepatutnya ada dalam diri setiap orang Islam sebagaimana sabda Rasulullah SAW: "Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri".

Bila kekejaman dilakukan oleh rejim Yahudi kepada umat Islam Palestin, kita melenting marah kerana kita merasakan bahawa "mereka itu saudara kita". Masing-masing menunjukkan kemarahan kepada Israel dan simpati kepada saudara kita di Palestin. Tapi apakah umat Islam Palestin sahaja saudara kita sedangkan dalam masa yang sama kita tidak menghormati umat Islam lain yang berada di negara kita. Apakah begitu sempit sekali tafsiran kita terhadap hubungan persaudaraan Islam?

Realitinya kita cuma terikut-ikut dengan laporan semasa, tanpa menghayati anjuran agama kita. Tidak mustahil kita akan melupakan segala pengajaran yang kita dapati awal tahun ini, hanya kerana gencatan senjata telah berlaku di Gaza. Malah kesedaran itu akan padam kembali, seolah-olah ia tidak pernah berlaku. Begitulah sifat manusia.

Ramai diantara kita menyempitkan tafsiran ini apabila ia menyangkut hubungan kita dalam masyarakat dan tempat kerja kita. Sebenarnya begitu ramai saudara kita yang datang dari jauh menabur bakti dalam negara kita terutama para professional di universiti-universiti tempatan. Mereka datang dengan niat suci ingin menyampaikan ilmu mereka kepada kita, disamping ingin melihat anak-anak mereka membesar dalam sebuah negara Islam. Mereka sanggup meninggalkan pendapatan lumayan yang mampu mereka perolehi dinegara-negara barat kerana kepakaran mereka.

Sekiranya rakyat negara kita mampu menampung semua kekosongan ini, universiti ataupun syarikat tidak akan menerima mereka untuk bertugas, namun kita gagal memahami hakikat ini. Kita sepatutnya berterimakasih kepada mereka, serta menghormati saudara seagama ini walaupun bukan sebangsa dengan kita, bukan merasakan mereka ingin menutup periuk nasi kita. Fahamilah bahawa Allah telah menetapkan rezeki masing-masing, serta tempat mencari rezeki tersebut.

Begitulah realitinya, insan-insan ini sentiasa dilemparkan kata-kata negatif yang menggambarkan rasa benci kita kepada mereka. Mereka sentiasa diingatkan dengan kata-kata "ingat kamu bukan orang Malaysia, jangan nak tuntut apa-apa" serta pelbagai lagi kata-kata negatif. Sehinggakan kerani pun ingin berlagak seolah-olah mereka membayar gaji insan ini dari poket mereka sendiri. Tiada siapapun yang bersimpati dengan mereka.

Begitulah rintihan mereka yang tidak dianggap saudara kita, walaupun mereka seagama dengan kita, hanya kerana mereka memiliki kedudukan yang lebih hebat dari kita. Malah mereka mempunyai kekuatan untuk melakukan segala tugasan mereka secara optimum. Kadang-kadang tenaga mereka dikerah dan diminta melakukan tugasan yang tidak mampu dilakukan oleh kita.

Entah bila kita akan menyedari hakikat ini dan menghormati mereka sebagai saudara kita? Ataupun kita hanya akan menyedari dan menghormati mereka apabila kita mendengar mereka telah berjaya mendapat peluang kerja di tempat lain yang lebih hebat. Begitulah sifat kebanyakan kita. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman