Ayat Pilihan (Persediaan)

Salah satu pengajaran yang boleh kita dapati daripada isu di Gaza ialah tentang PERSEDIAAN. Apakah kita bersedia untuk menghadapi hidup ini sebaik-baiknya? Apakah kelebihan bila kita bersedia?

Dalam mencari maklumat berkaitan, sebaik-baiknya kita kembali kepada Al-Quran, baca dan hayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal. Pelbagai pengajaran yang mampu kita kumpulkan untuk kelangsungan hidup kita terutama perkara berkaitan dengan perjuangan dan peperangan. Sekiranya ada kemampuan lebih tumpukan pula kepada kitab jihad dalam buku-buku hadis, insya Allah kita akan lebih memahami apa yang berlaku, apa yang ditakdirkan Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam ayat 60 surah Al-Anfal yang bermaksud :
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan)."

Dalam ayat ini Allah SWT memberi garis panduan kepada kita agar melakukan persediaan untuk peperangan, yang mana Allah SWT menyuruh kita melakukan persediaan apa saja yang kita sanggupi. Dan sememangnya inilah yang diajar oleh Nabi kita setiap kali akan pergi berperang, iaitu persediaan. Malah baginda amat menitikberatkan persediaan umat Islam ketika itu iaitu baju perang, peralatannya dan kenderaan serta tidak membenarkan orang yang tidak bersedia ikut serta.

Begitulah ajaran Islam amat luas dan sempurna mencakupi segenap aspek hidup kita. Namun apakah umat Islam hari ini betul-betul melakukan persediaan atau sebaliknya. Apabila bercakap mengenai isu ini, kita lihat para pengikut Syiah lebih bersedia, secara mental, fizikal dan peralatan perang, sebagaimana kita lihat yang dilakukan oleh Iran dan Hezbollah. Akan tetapi pengikut Ahli Sunnah seolah-olah tidak menghiraukan isu ini, tidak sekuat penyokong Syiah yang sentiasa diingatkan tentang perjuangan setiap kali tiba 10 Muharram, sambutan mengingati pembunuhan Saidina Hussin, cucu Rasulullah SAW. Ada pro dan kontranya di sebalik sambutan ini.

Hakikat persediaan mestilah difahami oleh setiap umat Islam, kita mestilah melakukan persediaan diri serta janganlah takut diserang. Ini kerana sifat orang kafir hari ini tidak merelakan umat Islam mempunyai persediaan yang lebih dari mereka. Jika ada yang terlebih maka mereka akan menyerang kita seperti yang berlaku kepada Iraq. Namun persediaan asas mestilah ada pada setiap diri muslim, iaitu persediaan rohani yang mantap, kesediaan ini akan membantu menguatkan perkara lain. Tapi sekiranya kita mempunyai kelengkapan yang hebat tanpa persediaan rohani maka kita juga akan menjadi seperti tentera Israel, berlindung disebalik kereta kebal.

Hakikatnya umat Islam hari ini kurang melakukan persediaan dalam kehidupan tidak seperti umat Islam dahulu. Sebab itulah kita terkebelakang dalam setiap aspek kehidupan dan tidak mampu menyaingi orang-orang bukan Islam yang ternyata lebih bersedia dalam kehidupan mereka. Apakah ini yang kita ingin lihat berlaku secara berterusan kepada kita? Sekiranya jawapan kita tidak, maknanya kita perlu melakukan perubahan, bermula denga persediaan rohani, emosi, pemikiran dan fizikal.

Masalahnya perkara asaspun masih belum berada pada tahap sepatutnya, jadi perubahan ini mestilah bermula dengan diri kita, lengkapkan diri kita dengan ilmu sepatutnya, ilmu dunia dan akhirat agar kita mampu menjadi agen pegubah masyarakat. Bermula dengan kita, suami dan anak-anak kita, kemudian keluarga kita, keluarga suami kita dan seterusnya umat Islam seluruhnya. Memang betullah sabda Rasulullah SAW mengenai umat Islam, iaitu umat yang selepasnya adalah lebih buruk daripada sebelumnya. Namun bagi mereka yang menghayati hadis ini sepatutnya melakukan sesuatu untuk menjadikan generasi selepas mereka lebih baik dari zaman mereka.

Alhamdulillah dalam masyarakat kita hari ini terdapat ramai insan terpelajar, mempunyai ilmu yang banyak tapi tidak menyeluruh, yang tahu agama tidak pedulikan ilmu dunia, yang tahu ilmu dunia kosong daripada pengisian agama. Inilah yang perlu diseimbangkan balik, proses mengadaptasikan ilmu agama dan ilmu dunia agar kita betul-betul faham tujuan kita hidup didunia ini. Inilah juga yang saya pelajari sepanjang berada di UIAM.

Bagaimana untuk menjadi insan hebat, mestilah bermula dengan diri kita. Bagaimana untuk menjadi surirumah hebat, juga mesti bermula dengan diri kita. Apa-apapun kita mesti bermula dengan diri kita, jika kita mampu berubah ke arah yang lebih baik maka dunia disekeliling kita juga akan jadi lebih baik.

Hanya dengan kembali kepada cara hidup Islam secara menyeluruh, kita akan mampu menghidupkan segala sifat-sifat positif serta sentiasa bersedia menghadapi segala mara bahaya. Ini bermula dengan surirumah dan ibu-ibu kerana mereka insan hebat yang menerima kontrak tugas dengan sambutan meriah dan dengan lafaz yang suci. Tidak ada jawatan lain yang setanding jawatan ini.

Semua perkara dalam hidup kita memerlukan persediaan dan perancangan rapi agar kita mampu menghadapinya dengan tenang dan rela hati. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?