Persidangan Arab

Bermula Khamis lepas setiap hari ada perjumpaan tergempar yang dianjurkan oleh pemimpin Arab, alhamdulillah mereka mula berbincang beramai-ramai setelah 20 hari perang di Gaza berlalu, dan setelah lebih seribu orang umat Islam syahid di Gaza. Itulah gambaran pemimpin Arab sekarang. Kalau begitulah sikap pemimpin, bagaimana keadaan rakyat mereka?

Sebelum itu cuma ada pertemuan secara kecil-kecilan diantara pemimpin Hamas dan Mesir, kemudian Presiden Mesir bertemu untuk berbincang dengan Raja Arab Saudi sehari sebelum sidang tergempar di Riyadh pada hari Khamis (15/1/2009).

Bermula Khamis Raja Arab Saudi memanggil untuk mesyuarat tergempar di Riyadh, kemudian pada hari Jumaat pertemuan beberapa pimpinan Arab di Doha, Qatar. Hari Ahad semalam Persidangan Sharm el-Sheikh di Mesir, sidang tergempar jemputan Presiden Hosni Mubarak, dan hari ini Isnin (19/1/2009) berlangsung persidangan Liga Arab di Kuwait.

Yang hebatnya, mudah pula untuk mengumpulkan para pemimpin ini dalam perbincangan tergempar seperti ini. Sekiranya begitu mudah untuk melakukannya mengapa mereka tidak melakukannya sebelum perang melarat? Itulah tahap keperihatinan mereka kepada umat Islam Palestin.

Sebelum persidangan Sharm el-Sheikh bermula, Presiden Mesir dan "Presiden Palestin" berbincang tentang gencatan senjata, malah Abbas meminta agar Israel mengundurkan tentera mereka secepat mungkin, dan membuka semua pintu masuk ke Gaza agar segala bantuan dapat disampaikan kepada penduduk Gaza. Perbincangan tersebut menunjukkan bahawa Mesir mengiktiraf Presiden yang dah tamat tempoh bertugas pada 8/1/2009 lalu. Apakah perbincangan tersebut bererti bagi penduduk Gaza dan Palestin?

Persidangan ini juga dihadiri oleh 6 orang pemimpin Eropah yang sanggup datang walaupun pengumumannya dibuat sehari sebelumnya. Memang hebat persidangan ini, macam ada sandiwara je di sini. Ia berlangsung selepas Israel mengumumkan gencatan senjata. Apakah pertemuan kali ini hasil daripada perbincangan sesama mereka semasa kedatangan wakil-wakil Eropah ini semasa perang di Gaza baru bermula?

Setelah persidangan di Mesir berakhir, para Pemimpin Eropah ini meneruskan lawatan ke Israel dan menyatakan kesanggupan mereka mengawal penyeludupan senjata ke Gaza. Lihatlah betapa orang bukan Islam mengambilberat sesama mereka, sama ada ucapan tahniah atas kejayaan Israel memusnahkan Gaza ataupun takziah atas kesusahan yang dialami Israel.

Sebelum berlepas ke Israel, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy memberitahu: "Kami akan meneruskan kunjungan ke Israel, untuk menyampaikan mesej. Kami menyokong Israel demi mendapat hak dan keselamatan mereka" Akan tetapi Israel mesti menyatakan bahawa sekiranya pelancaran roket Hamas dihentikan, tentera mereka akan berundur dari Gaza. Tiada cara lain untuk beroleh kedamaian". Itulah kata-kata mereka yang sanggup meluangkan masa demi kawan seideologi mereka. Apakah umat Islam masih belum faham dengan kata-kata tersebut? Apakah "Presiden Palestin" sendiri sanggup menerima kata-kata seperti itu?

Lihatlah pula siapa diantara pemimpin Arab yang sanggup datang bertandang ke Gaza, bertemu dengan Ismail Hani'ah? Melihat sendiri kesusahan rakyat Gaza ketika ini. Tiada siapa yang sanggup datang bertemu dan berbincang dengan beliau hatta "Presiden Palestin" sendiri. Selama 23 hari umat Islam Gaza mengalami segala kesusahan bersendirian, tiada siapa yang ingin mendekati mereka. Apakah ini yang dinamakan persaudaraan Islam? Cuba bandingkan dengan Israel, berapa ramai pemimpin mengunjungi penjenayah ini? Mengapa umat Islam bersikap sebegini?

Persidangan Sharm el-Sheikh ini juga dihadiri oleh Perdan Menteri UK, Itali, Sepanyol, Republik Chech dan Canselor Jerman selain Presiden Turki, Raja Jordan dan Setiausaha Liga Arab. Mereka bersetuju untuk menjaga perairan Gaza agar tiada senjata yang berjaya dibawa masuk ke sana sebagai memenuhi permintaan Israel. Lihatlah betapa mereka takutkan umat Islam Gaza, kerana mereka tahu sekiranya umat Islam memiliki senjata yang lengkap seperti mereka nescaya mereka akan terkubur disitu.

Yang lebih menarik persidangan Liga Arab di Kuwait hari ini dihadiri oleh Presiden Mahmud Abbas walaupun 22 negara Arab lain membantah kehadiran beliau kerana status beliau yang tidak diiktiraf sebagai Presiden Palestin sekarang. Hamas yang sepatutnya menghadiri persidangan ini mewakili seluruh rakyat Palestin. Apa dah jadi?

Malah bila mendengar ucapan presiden Hosni Mubarak, terasa sangat ketidakikhlasan setiap kata-kata yang dikeluarkan oleh beliau, wallahua'lam. Namun yang lebih penting umat Islam Arab mesti bersatu untuk mempertahankan Palestin dan Islam. Apakah itu akan menjadi kenyataan? Moga Allah menyatukan hati-hati mereka. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?