Perang tetap Berterusan

Perang di Gaza masih berterusan seolah-olah tiada tanda akan berakhir. Sehingga hari ini jumlah syuhada' mencecah 1000 orang. Begitulah angkuhnya Israel, seolah-olah tidak mendengar pekikan dan laungan seluruh dunia meminta mereka menghentikan serangan tersebut. Malah mereka terus menghancurkan rumah-rumah dengan alasan memerangi Hamas, walaupun sebenarnya mereka membunuh orang awam.

Ini ditegaskan lagi oleh para doktor yang merawat, bahawa yang cedera adalah orang-orang awam. Jadi dimanakah mujahidin Palestin? Mujahidin Palestin masih gagah berjuang mempertahankan tanahair mereka dan tidak mampu digugat oleh tentera Israel yang cuma hebat dari segi kelengkapan. Sememangnya Israel dianggap telah gagal dalam peperangan ini kerana masih belum mampu mencapai objektif yang mereka gariskan.

Memang jelas sikap dan perangai mereka seperti Yahudi yang disebut dalam Al-Quran. Sesungguhnya mereka tidak akan menghentikannya sehinggalah pemimpin di Gaza akur dengan telunjuk mereka. Sehingga hari ini mereka tetap menyalahkan pemimpin Hamas atas apa yang berlaku. Mereka yang menceroboh bumi Palestin tetapi menyuruh penduduk Palestin menyerah kepada mereka. Entah prinsip apa yang mereka pakai.

Apakah umat Islam Gaza begitu dayus untuk tunduk kepada mereka, tidak sekali-kali tidak. Umat Islam Gaza adalah lambang keberanian umat Islam, mereka tidak sedikitpun gentar dengan apa yang berlaku kerana mereka tahu kemuliaan menunggu mereka di Syurga.

Berpandukan ucapan Pemimpin Hamas, Ismail Hani'ah semalam, mereka akan terus mempertahankan bumi mereka dengan motto mereka "kemenangan ataupun Syahid". Kekuatan dalaman inilah yang membantu mereka menghadapi segala kemungkinan. Beliau juga mengingatkan umat Islam Palestin agar bersatu dan tolong-menolong sesama kerana mereka menghadapi ujian yang sama. Terasa amat pilu mendengar bacaan doa yang dibacakan oleh beliau pada akhir ucapan tersebut. Semoga Allah menolong serta memberi kekuatan kepada mereka untuk terus berjuang.

Pelbagai mesej disampaikan oleh penduduk di seluruh dunia kepada Israel tapi perang masih belum berhenti. Malah dalam perbincangan semalam pemimpin Mesir memberi cadangan agar Hamas mengangkat bendera putih, tanda menyerah kalah sehinggakan ahli panel dari Beirut memberikan komen bertalu-talu kepada pemimpin Mesir. Sesungguhnya apa yang kerajaan Mesir harapkan dari perang ini, apakah dengan terus menutup Ma'bar Rafah mereka akan beroleh sesuatu dari Israel? Inilah politik Hosni Mubarak.

Setiap hari pelbagai sms disebarkan agar kita sama-sama berdoa untuk kemenangan umat Islam Gaza, pelbagai cara, doa dan ayat-ayat Quran disebarkan . Hinggakan ada yang menyatakan kita masih belum solat hajat dengan penyerahan sepenuhnya untuk menolong umat Islam Gaza. Inilah yang cuba dilakukan oleh umat Islam yang bersimpati kepada mereka. Mengapa Allah membiarkan perang ini berlarutan? Apakah Allah tidak mendengar doa kita semua? Sesungguhnya Allah amat dekat dengan kita semua, dan ketentuan itu datang dari NYA. Mungkin inilah jalan untuk menyatukan umat Arab yang masih bertelagah sesama mereka.
Inilah jalan untuk menyedarkan mereka agar bersatu dan memimpin umat Islam lain dalam menentang kebatilan.

Di samping itu telah jelas dalam surah Al-Anfal, Allah SWT menceritakan tindakan yang mesti dilakukan oleh umat Islam apabila berperang mempertahankan kalimah Allah. Umat Islam tidak dibenarkan berundur kecuali untuk menyusun kembali barisan. Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menzalimi hamba-hambaNYA, kerana DIA telah menjanjikan kemuliaan kepada mereka yang terkorban.

Laporan yang memilukan setiap kali menonton TV Al-Jazeera, Al-Alam ataupun Al-Manar ialah begitu ganas sekali tindakan tentera Israel terhadap kaum yang tidak berdaya iaitu kanak-kanak, wanita dan orang tua. Malah mereka bertindak ganas juga dengan menyerang tempat para wartawan, dengan harapan apa yang mereka lakukan tidak sampai ke dunia luar. Dah lah mereka tidak membenarkan wartawan luar masuk ke Gaza, wartawan di sana pula menjadi mangsa mereka. Begitulah angkuhnya Israel.

Malah paramedik juga tidak terlepas dari tindakan mereka, beberapa orang petugas dan doktor turut terkorban dengan tindakan mereka. Mereka juga bertindak tidak membenarkan ambulan menghampiri kawasan yang diserang oleh mereka, membiarkan orang-orang tercedera tidak mendapat rawatan sewajarnya. Begitulah kejamnya tentera Israel.

Apa yang begitu meninggalkan kesan ke lubuk hati saya ialah betapa kuatnya hati wanita Palestin menghadapi keadaan tersebut, tidak dapat saya bayangkan sekiranya kita berada di tempat mereka. Wanita-wanita yang kehilangan anak-anak, saudara-mara bercerita dengan tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku, seolah-olah pemergian orang yg mereka sayangi tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka. Alah bisa tegal biasa.

Sama-samalah kita berdoa moga Allah memberi kemenangan kepada umat Islam Gaza, moga diperteguhkan hati-hati mereka untuk menentang musuh Allah. Moga Allah membuka pintu hati para pemimpin Arab untuk memikirkan cara penyelesaian berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah, kerana itulah penyelesaian sejati bagi orang-orang yang beriman.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Hari ini pemimpin umat Islam terbahagi 2 golongan, satu memihak kepada Qatar untuk membincangkan tentang penyelesaian perang di Gaza, manakala satu puak lagi akan menghadiri perbincangan di Kuwait. Kedua-dua pertemuan ini akan diadakan pada hari Jumaat ini 16/1/2009. Yang mana Mesir menyatakan mereka akan menghadiri pertemuan di Kuwait, manakala sebahagian lagi akan berbincang di Qatar. Apa dah jadi ni?

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas