Muhasabah Diri

Adakah anda mengalami perasaan tidak redha terhadap apa yang dilalui oleh diri sendiri? Apakah anda tidak redha dengan orang disekitar anda? Sekiranya jawapannya ya, berhenti sejenak, renungi diri dan cuba cari penyelesaiannya.

Sememangnya kita selalu berhadapan dengan pelbagai kerenah insan disekeliling kita terutama suami, anak-anak dan jiran-tetangga. Bukan mudah untuk mewujudkan situasi yang disenangi oleh semua orang. Tapi selagi kita fikirkan boleh, insya Allah segala lorong ke arah itu akan dibuka oleh Allah SWT kepada kita.

Selagi kita hidup kita tidak boleh melarikan diri daripada menghadapi semua ujian ini, kerana kita mesti hidup bermasyarakat, tidak boleh mengasingkan diri daripada insan disekeliling kita. Inilah ujian mengenal diri yang sebenar, mampukah kita bersabar dengan tindak-tanduk mereka? Bagaimanakah cara untuk redha dengan umpatan dan fitnah yang disebarkan oleh mereka? serta pelbagai lagi ujian.

Dalam masa yang sama kita hendaklah sentiasa ingat sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang ingin rezekinya dibanyakkan dan umurnya dipanjangkan, hendaklah dia menghubungkan tali silaturrahim".

Ada beberapa cara untuk mewujudkan perasaan redha terhadap apa yang kita lalui iaitu:
1. bercakaplah dengan ceria dan berikanlah senyuman kepada semua orang yang ditemui (insan sejenis kita) seolah-olah kita sudah lama mengenali beliau. Cubalah sedaya upaya mempraktikkannya, jadikan setiap insan yang kita temui merasa gembira bila berbual dengan kita.

2.Cuba jadikan orang yang berhubungan dengan kita merasakan bahawa kita mengasihi mereka, cubalah wujudkan perasaan ini. Sesungguhnya ia mampu memberi ketenangan kepada kita, mewujudkan perasaan redha terhadap apa yang berlaku.

3. Sentiasa ingat bahawa Allah menjadikan setiap manusia dengan kelebihan masing-masing. Orang yang berada dihadapan kita mungkin nampak selekeh tapi mempunyai kelebihan yang lebih hebat daripada kita.

4. Cubalah untuk menjadi kuat, tidak mudah mengalah bila menghadapi masalah kerana 'Allah menguji hambaNYA yang mampu menghadapinya". Ingatlah disebalik setiap ujian tersembunyi hikmah yang besar.

5. Visualkan ketenangan dan kawasan-kawasan yang banyak memberikan ketenangan kepada kita bila berdepan dengan situasi sukar.

6. Cubalah merasakan bahawa kejayaan mereka adalah kejayaan kita juga.

7. Lupakan segala kesilapan lalu, cubalah melakukan yang lebih baik lagi pada masa hadapan.

8. Cari masa untuk pembangunan diri sendiri, mengikut keupayaan diri dan cuba kembangkan kelebihan ini agar ia mampu memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.
Kurangkan mengkritik orang lain kerna masing-masing tidak sempurna. Ingatlah yang sempurna hanya Allah SWT..

9. Jadikanlah ketenangan dan keceriaan pakaian hidup kita, serta senyumlah selalu kerana senyum itu sedekah. Jadikanlah syiar kita 3S iaitu salam, senyum dan sedekah.

Inilah diantara cabaran diri kita, untuk menjaga hubungan sesama manusia, terutama bagi insan yang bergelar surirumah. Namun kita tidak boleh melarikan diri dari semua ini kerana Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan sahabat baginda tentang hubungan ini, terutama jiran-tetangga. Rasulullah SAW mengingatkan kita "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran-tetangga" dan dalam hadis lain baginda bersabda "janganlan menyakiti jiran-tetangga". Namun bukan mudah untuk menghubung silaturrahim dengan jiran yang lain dari keturunan kita. Moga Allah memudahkan urusan ini, dan memudahkan kita menjaga hubungan sesama jiran-tetangga.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas