Ulama' dah Bersuara

Alhamdulillah, gencatan senjata telah dilaksanakan di Gaza, walaupun mempunyai pro dan kontranya. Hari ini juga kita dapat mendengar suara lantang ulama', hasil persetujuan 96 orang ulama terkemuka dunia, bersuara menyatakan umat Islam tidak boleh terus mengikut arus dunia, kerana ia tidak mampu menyelesaikan masalah Palestin.

Wakil ulama tersebut mengingatkan pentingnya umat Islam diingatkan tentang perjuangan seperti yang dilakukan oleh pejuang Palestin. Beliau juga menyifatkan pentingnya strategi tersusun dijalankan oleh umat Islam sekarang. Kita tidak boleh terus mengikut telunjuk orang-orang kafir.

Alhamdulillah, itulah diantara kesan positif yang berlaku kepada umat Islam setelah berlakunya serangan di Gaza. Sememangnya ketentuan itu membuka mata banyak pihak yang baru terasa pentingnya kembali kepada ajaran Islam yang sejati. Diantaranya, ada yang bersyukur kerana baru tersedar kealpaan mereka selama ini dengan kata-kata "kami baru memulakan untuk mendidik anak dan isteri".

Inilah yang berlaku kepada umat Islam awal tahun ini, semoga apa yang berlaku membuka mata umat Islam agar melakukan perubahan positif dalam segenap aspek hidup mereka. Sedarlah bahawa kita begitu jauh ketinggalan dibelakang, kerana kita mengabaikan sumber rujukan kita sendiri. Kita menggadaikan ilmu sendiri dengan mengejar ilmu yang diasaskan oleh orang Yahudi. Kita terlupa bahawa ilmu yang dibawa dan dikembangkan oleh ulama kita selama inilah yang akan membantu kejayaan hidup kita didunia dan akhirat.

Saya teringat satu artikel tulisan H.T. Goranson yang bertajuk "A New Era for Islamic Science?", yang mana penulis mengkritik kelemahan umat Islam sekarang, kerana tidak mampu menyaingi Barat dari segi ilmu. Beliau mengingatkan kita bahawa orang-orang Islam lah yang mula membangunkan ilmu dikala orang-orang Eropah masih ketinggalan, malah orang Islamlah pelopor segala teknologi yang ditemui oleh orang-orang Barat. Akan tetapi semenjak Perang Dunia kedua US telah menjadi ketua yang tidak mampu digugat dalam bidang sains, tinggallah ilmu-ilmu Islam menjadi sejarah.

Beliau menyatakan bahawa umat Islam mampu bangkit semula dan menjadi pemimpin dunia, akan tetapi mereka mestilah kembali menghayati warisan Islam dan menyelongkar khazanah ilmu yang amat berharga itu. Umat Islam mesti berani menongkah arus, agar mampu menghasilkan penemuan yang mampu mengatasi kehebatan barat.

Mampukah kita melakukan semua itu? Itulah persoalan yang selalu diajukan kerana kita terlalu jahil tentang ajaran agama sendiri. Berapa banyak nilai-nilai murni terkandung dalam ajaran Islam, tapi kita lebih tertarik kepada nilai-nilai yang dijelaskan oleh pemikir barat. Inilah realiti umat Islam sekarang. Kita tidak yakin kerana kita tidak didedahkan dengan segala unsur positif yang ada dalam agama sendiri. Moga-moga apa yang berlaku membuka mata ulama kita untuk lebih berani menyampaikan kebenaran walaupun pahit.

Namun persepsi umat Islam terhadap pelajaran agama dan ulama mesti diubah kerana disitu terletak kejayaan hakiki umat Islam. Fikir-fikirkanlah....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas