Dilema Pelajar Jurusan Agama

Dalam masyarakat hari ini, pelajar jurusan agama sentiasa menghadapi dilema dalam hidup mereka, sama ada semasa belajar ataupun selepas keluar, iaitu semasa mencari pekerjaan. Apakah permasalahan utama mereka? Apakah ia boleh diatasi? Siapakah sebenarnya yang belajar dalam bidang agama?

Saya tertarik untuk membincangkan perkara ini hasil pemerhatian selama ini. Fenomena pertama ialah siapakah pelajar bidang agama? Adakah anda tahu bahawa kebanyakan pelajar jurusan agama di universiti adalah tergolong dalam golongan pelajar yang bernasib baik, kerana nasib baik ada bidang pengajian Islam, mereka mampu memasuki dan belajar di universiti. Mereka adalah golongan yang bernasib baik, sepatutnya mereka menyedari hakikat ini dan bersyukur serta berusaha lebih gigih lagi.

Adakah orang lain tidak bernasib baik? Semua orang mempunyai rezeki masing-masing, tapi nasib pelajar jurusan agama lebih baik, kerana Allah swt menyayangi mereka maka mereka berpeluang mendalami bidang ini, yang tidak digemari oleh orang lain.

Di mana-mana negara Islam situasi ini tidak jauh bezanya, pelajar jurusan agama adalah pelajar yang mendapat kelulusan yang lebih rendah jika dibandingkan dengan pelajar kejuruteraan, kedoktoran, undang-undang serta ilmu keduniaan lain. Disebabkan kelulusan inilah mereka memilih untuk belajar bidang agama (kecuali beberapa orang saja yang memilih bidang ini kerana minat).

Malah ramai yang belajar bidang ini tanpa menyedari hakikat ilmu yang dipelajari ini. Ramai pelajar bidang agama tidak menyedari apa yang dipelajarinya? Mengapa mereka mempelajarinya? Bagi saya alhamdulillah, kami disedarkan oleh seorang pensyarah muallaf. Beliau adalah insan yang amat saya kagumi, atas pendirian beliau dan kata-kata beliau mengingatkan kami suatu ketika dulu.

Saya masih ingat kata-kata beliau untuk mengingatkan kami semasa belajar hadis "Kalau kamu belajar agama tapi masih ingin mencari dunia lupakan saja, lebih baik belajar bidang lain, bidang agama pengajian agama adalah bidang bagi orang-orang yang tujuannya adalah untuk mencari akhirat, mencari keredhaan Allah swt". Semasa itu kelas sunyi-sepi, namun begitu ramai juga pelajar lelaki yang mentertawakan kata-kata beliau. Apa yang berlaku kepada mereka kini wallahua'lam.

Bagi saya kata-kata yang keluar daripada mulut seorang muallaf amat bermakna kerana mereka lebih menghayati agama, mereka menganut Islam setelah lama mencari dan mengkaji. Jika dibandingkan dengan kita yang cuma mewarisi agama tanpa bersusah-payah, memang kita tidak terasa kepentingan mempelajari bidang ini secara mendalam. Kata-kata beliau memang memberi kesedaran kepada saya, betapa umat Islam mengambil mudah tentang hal ini.

Peristiwa itu berlaku hampir 18 tahun lalu tapi kata-kata itu amat berkesan. Kata-kata yang keluar dari hati yang suci dan ikhlas mengingatkan saudara Islam lain agar menghargai bidang ini. Memang betul sekiranya pelajar bidang agama tidak mengetahui apa tujuan mereka belajar, jadilah agama kita satu ilmu asing yang tidak dapat diserap oleh hati orang yang mempelajarinya. Oleh sebab itu kita lihat ada juga pelajar bidang agama yang melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama.

Hari ini bilangan pelajar bidang ini makin berkurangan, malah bidang yang tetap kurang pertambahan pelajar adalah bidang Quran dan Sunnah. Kemudian ditambah pula pelajar yang belajar hanya untuk memilik segulung ijazah, untuk melayakkan mereka mendapat kerja, maka apa yang akan terjadi dengan begitu banyak ilmu ini. Siapakah yang sudi mengkajinya? Siapakah nanti yang akan menjadi "penolong agama Allah" ini?

Sekiranya kita melihat golongan pelajar yang keluar negara untuk belajar agama, mereka juga adalah bernasib baik tapi tidak menyedarinya. Mereka tidak menggunakan peluang berada jauh dari keluarga untuk menuntut ilmu sebanyak-banyaknya, agar mampu kembali menabur bakti di tanahair kita. Oleh sebab itu ilmu agama ini makin lama makin tidak diketahui oleh umat Islam sendiri.

Apabila pelajar agama sendiri tidak menghayati tujuan mereka belajar, maka tiada penemuan terbaru berjaya dihasilkan. Umat Islam hanya mampu bergembira dengan mempelajari ilmu-ilmu berkaitan dengan nilai hidup yang disusun oleh orang-orang bukan Islam, sedangkan ilmu-ilmu tersebut semuanya terdapat dalam ajaran kita.

Di universiti para pensyarah begitu kagum membicarakan tentang kedinamikan, kepimpinan dan sebagainya yang berasaskan penjelasan orang-orang barat tanpa membincangkan dari sudut Islam. Ini kerana tidak banyak sumber rujukan terkini dihasilkan.

Semasa di universiti, di mana-mana sahaja kita dapat mendengar rungutan orang yang belajar dalam bidang agama. Semasa belajar mereka merungut "susahnya untuk score", "pensyarah itu kedekut markah" serta pelbagai lagi rungutan. Kemudian bila tamat belajar kita akan mendengar lagi rungutan seperti "Susahnya untuk mendapat peluang pekerjaan", "murahnya gaji yang diberikan kepada golongan yang belajar agama" serta pelbagai.

Itulah realitinya pelajar bidang agama, yang sepatutnya menjadi jurutera pembangunan masyarakat, hanya menjadi pengikut arus semasa. Jadi siapakah yang akan menolong agama ini? Apakah tiada jalan untuk menyelesaikannya?


Sememangnya jalan itu terbuka luas bagi sesiapa yang ingin melaluinya dengan cara terhormat. Jalannya adalah dengan cara mengenali diri sendiri serta mengetahui sebab mengapa mereka mempelajari ilmu ini? Kaji dan ikuti perjalanan hidup ulama-ulama terdahulu, suatu hari pelajar jurusan agama akan menemui penyelesaian kepada permasalahan ini. Ketika itu kita akan lihat ilmu ini diminati oleh setiap golongan masyarakat, tidak lagi menjadi ilmu pelengkap majlis sahaja. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas