Kanak-kanak Perempuan dan Fesyen

Bila menulis tentang fitrah kanak-kanak perempuan, teringat pula budaya masyarakat Arab tentang pakaian kanak-kanak. Orang Arab amat mementingkan penampilan anak perempuan mereka terutama yang masih kecil. Masa inilah kanak-kanak perempuan berpeluang melaram dengan baju-baju yang cantik-cantik dan fesyen yang pelbagai terutama bila menghadiri majlis-majlis atau keluar ke taman-taman.

Begitu juga anak-anak perempuan India dan Pakistan. Mereka berpeluang memakai pakaian yang pelbagai corak dan amat menarik pada pandangan saya. Jadi bila keluar ke mana-mana, saya amat suka memerhati corak dan fesyen pakaian mereka, yang tidak pernah saya lihat semasa berada di Malaysia.

Sememangnya fitrah wanita sukakan pakaian yang cantik dan menarik, sebab itulah pengusaha butik tetap wujud dan sentiasa berkembang. Malah keinginan ini bermula sedari kecil lagi, tanpa ada sesiapapun yang mengajar mereka. Kanak-kanak perempuan akan tertarik untuk berbaju cantik dan bergaya di depan teman-teman mereka.

Tapi sayangnya ramai ibubapa melayu tidak memahami hakikat ini. Kanak-kanak ini terpaksa memendam keinginan mereka walaupun ibubapa mampu dan berpendapatan besar. Kita mengira pakaian sebegini cuma dipakai semasa majlis perkahwinan sahaja. Malah ramai juga yang lebih mementingkan pakaian kebangsaan, ataupun baju kurung untuk anak-anak perempuan sejak mereka kecil. Jadi anak-anak kita kurang berpeluang untuk melaram, apa lagi untuk merasai pakaian macam pengantin.

Saya pernah menonton adat Moroko yang mana mereka meraikan anak-anak perempuan yang berpuasa seperti pengantin. Jadi anak-anak perempuan diberi peluang untuk merasai nikmat menjadi kanak-kanak sebenarnya. Bagi yang kurang berada juga mereka menyediakan pakaian kanak-kanak yang agak cantik dan menarik dalam pelbagai fesyen dalam adat ini.

Malah menurut Dr. Tariq Suwaidan kita perlu memberi sepenuh kebebasan kepada kanak-kanak perempuan, selagi mereka belum mencapai baligh, untuk mengikut kehendak hati mereka agar apabila mereka baligh, mereka mampu istiqamah dengan pakaian mereka. Ini kerana mereka telah merasai nikmat berpakaian cantik dan tidak bertudung, jadi apabila tuntutan dikenakan kepada mereka maka mereka menerima dengan redha.

Inilah yang cuba diamalkan oleh wanita-wanita Arab, sebab itulah mereka redha berpakaian abaya dan bertudung kerana mereka bebas berfesyen apa saja di dalam. Malah lebih dari itu mereka bebas berfesyen semenjak kecil lagi dan didedahkan tentang tuntutan menutup aurat apabila mereka mencapai baligh. Bila kehendak hati telah diikuti semasa kecil, bila tiba saatnya hati akan mencari-cari sesuatu, perasaan ingin bertudung akan timbul sendiri tanpa paksaan. Malah bagi yang betul-betul faham, mereka akan cuba memenuhi tuntutan agama sepenuhnya.

Budaya ini agak berbeza dengan kita, kerana ramai ibubapa melayu tidak memberi peluang untuk anak-anak perempuan mereka melaram semasa kecil, jadi keadaan sebaliknya berlaku kepada kita. Anak perempuan melayu mula melaram bila dah baligh, masa inilah mereka mula berfikir untuk berpakaian ketat serta menjolok mata, sedangkan masa kecil mereka cuma mengikuti kehendak ibubapa mereka.

Ada juga yang mula memikirkan untuk berfesyen bila dah bekerja, masa inilah digunakan untuk memilih pakaian yang cantik dan menarik hinggakan ada yang sanggup mendedahkan aurat. Malah pereka fesyen lebih berminat untuk mencipta fesyen untuk wanita dewasa, kerana pasaran yang meluas sedangkan pakaian untuk kanak-kanak perempuan tidak mendapat tempat. Kalau adapun ia dijual dengan harga yang tinggi, tidak sesuai untuk digunakan sebagai pakaian harian.

Begitulah keadaannya apabila kita tidak memahami tuntutan Islam tentang menutup aurat. Malah keadaan ini semakin hari semakin berleluasa, sehinggakan ramai yang bertudung tapi mendedahkan bahagian tubuh lain sama ada berpakaian ketat, nipis ataupun singkat. Fesyen sebegini boleh menyebabkan timbul pelbagai masalah sosial, akhirnya wanita yang menjadi mangsa.

Jadi sebagai ibubapa, kita perlu memahami keadaan ini agar kita tidak terlalu menekan anak-anak perempuan kita untuk menutup aurat semasa kanak-kanak. Biarlah mereka memilih apa saja mengikut kehendak hati mereka, berilah peluang mereka untuk menjadi kanak-kanak tanpa tekanan. Dalam masa yang sama kita mendidik mereka agar mengetahui tuntutan Islam tentang aurat wanita. Akan tiba masanya mereka akan mengikut naluri mereka dan menutup aurat tanpa tekanan daripada sesiapa. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
Tentang fesyen kanak-kanak, zaman dulu ibubapa tak kisah sangat pasal bertudung ni, anak2 perempuan ke sekolah tanpa tudung, tapi bila dah masuk darjah 4 tu,ramai yang bertudung. Mengapa?

Perasaan ingin bertudung timbul sendiri tanpa sesiapa menyuruh, maka macam2 warna tudung dipakai ke sekolah. Tu zaman 70an dulu.

Tapi sekarang darjah 1 kita dah suruh anak2 pakai tudung, ada juga yg menangis minta dibenarkan buka tudung sekali.Kesian mereka. Kadang-kadang kita yg keterlaluan, nak anak kita terus sempurna tanpa memberi peluang untuk mereka memilih.

Bertudung dari kecil ni agak baru dalam masyarakat kita, rasanya bermula pertengahan tahun 90-an. trend yg dihidupkan oleh golongan pelajar agama utk anak2 mereka. lepas tu orang lain ikut sbb cantik kata mereka.

Rasulullah saw menasihatkan Asma Abu Bakr agar menutup aurat ketika baligh.

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas