Ayat Pilihan (Nikmat Allah)

وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah swt, nescaya kamu tidak terhitungkan"

Apakah kita pernah menilai segala nikmat yang diberikan oleh Allah swt kepada kita selama ini? Berapa banyakkah nikmat-nikmat itu? Apakah kita mampu menghitungnya?

Sesungguhnya terlalu banyak nikmat yang diberikan oleh Allah swt kepada kita setiap waktu. Kesemua nikmat ini diberikan secara percuma tanpa meminta apa-apa balasan daripada kita. Allah swt menyediakan segala prasarana yang kita perlukan untuk kehidupan di dunia ini, kemudian DIA menyediakan syariat yang harus kita ikuti, agar bersesuaian dengan pemberian-NYA. Jadi adakah lagi perkara yang perlu kita bahaskan? Apakah kita ingin menyatakan syariat itu tidak bersesuaian dengan kita? Apakah kita ingin berhujah menyatakan bahawa syariat itu tidak bersesuaian dengan zaman ini? Itulah kesilapan kita.

Kita lupa bahawa Allah yang menjadikan kita, jadi DIA menyediakan segala sesuatu yang sesuai dengan kita. Sebagai makhluk yang dijadikan kita seharusnya akur dan mengikuti segala syariat ini. Pernahkah kita fikir bagaimana kita ingin meneruskan kehidupan ini tanpa undang-undang yang disediakan? Mampukah kita mengendalikan kehidupan kita tanpa panduan?

Sepertimana yang kita lihat hari ini, orang mencipta kapalterbang, kemudian menyediakan cara-cara yang sesuai untuk mengendalikan kapalterbang tersebut. Mereka juga menyediakan panduan yang sesuai agar kita dapat menggunakan kapalterbang tersebut sesuai dengan keperluan kita. Perkara-perkara teknikal cuma dapat difahami oleh jurutera yang mempelajarinya. Apakah jenis minyak yang perlu digunakan untuk menghidupkan kapal terbang tersebut? Serta pelbagai panduan dan undang-undang yang perlu diikuti untuk menerbangkan kapal terbang tersebut. Kesemuannya perlu dipelajari dengan teliti agar ia tidak membahayakan penggunanya.

Begitu juga alat-alat lain, segalanya disediakan dengan panduan penggunaan yang jelas oleh syarikat pengeluar. Adakah kita mampu menghidupkan mesin basuh tanpa menyambungkan ke suisnya? Apakah kita mampu membasuh kain dengan membiarkan lubang tempat menyalurkan air terbuka? Apakah kain kita akan bersih sekiranya kita tidak meletakkan sabun? Itu cuma perbandingan yang amat kecil jika nak dibandingkan dengan penciptaan kita di dunia ini. Betapa Hebatnya Pencipta kita, tidak ada tandingannya. SUBHANALLAH.

Jadi kita seharusnya faham, tugas dan tanggungjawab kita sehari-hari. Biarlah ia berjalan sesuai dengan fitrah yang ditetapkan oleh Pencipta kita. Ini kerana sekiranya kita cuba menjalankannya bertentangan dengan fitrah dan tujuan kita dijadikan, maka kita yang akan rosak binasa.

Setiap benda yang dijadikan ada fungsinya, begitu juga tubuh kita dijadikan penuh dengan fungsi-fungsi yang terlalu rumit untuk kita fahami. Hatta doktor yang belajar tentang sistem anatomi tubuh kita juga tidak dapat memahami sepenuhnya hakikat tubuh manusia. Apatah lagi doktor yang cuma belajar tentang fizikal kita tanpa memasukkan unsur kerohanian didalamnya, mereka cuma akan membawa kita ke arah kesesatan dalam mengenali diri.

Hakikat kejadian tubuh manusia yang sebenarnya akan dapat difahami dengan panduan Al-Quran dan Sunnah. Bagaimana untuk mengendalikan tubuh kita juga telah dijelaskan dalam syariat kita. Apa jenis makanan yang patut kita makan juga telah dijelaskan dengan ditil dalam Quran dan Sunnah. Apa lagi yang susah untuk kita buat? Ia menjadi susah kerana kita tidak kembali melihat diri dari kaca mata iman, kita tidak melihat diri kita, kita tidak tahu siapa kita, kadang-kadang kita terlalu angkuh dengan kehendak kita. Jadi semua perkara terpulang kepada kita. Sekiranya kita tahu mengendalikan tubuh kita dalam erti kata dan panduan yang diberikan, insya Allah kita akan beroleh segala apa yang ditetapkan kepada kita.

Berbalik kepada nikmat yang Allah swt berikan kepada kita memang tidak mampu kita hitungkan. Kemudian segala nikmat yang diberikan percuma ini dijadikan punca jual-beli antara kita, sehingga terjadinya perebutan kuasa, pergaduhan dan sebagainya. Namun begitu kita seharusnya bersyukur kerana kita masih memiliki satu unsur yang masih kita boleh dapati secara percuma. Tidak perlu membayar apa-apa, cuma terpulang kepada kita untuk menggunakan sebaik-baiknya.

Itulah nikmat udara, yang kita gunakan untuk pernafasan sehari-hari. Alhamdulillah kita masih boleh mendapatinya secara percuma, malah kita mampu memperoleh ketenangan dan kesihatan tubuh badan yang baik hanya dengan mengamalkan pernafasan yang betul. Sekiranya ditambah dengan nikmat Islam dan iman, kita akan mampu memacu hidup kita ke suatu arah yang amat baik.

Tapi pernahkah kita menggunakan udara ini sebaik-baiknya? Pernahkah kita meluangkan masa kita sehari-hari untuk menghirup udara segar dengan teknik-teknik tertentu untuk menjaga kesihatan tubuh kita. Sebenarnya kita kurang menggunakan benda-benda percuma kerana kita cuma fikir untuk membayar. Yang percuma inilah sekiranya digunakan secara betul akan mampu mengurangkan kos kewangan kita.

Bayangkan sekiranya kita mengamalkan teknik pernafasan yang betul, kos bayaran hospital dapat dikurangkan. Kos membaiki anggota tubuh kita yang akan rosak keranaa mengambil ubat-ubatan kimia akan dapat dikurangkan, serta pelbagai lagi kebaikan. Maha Suci Allah yang menjadikan semua perkara sebagai nikmat kepada kita.

Allah swt berfirman dalam Surah Ibrahim: 34 mengenai nikmat ini dengan firman-NYA yang bermaksud:
"Dan DIA telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dari segala apa yang kamu pohonkan kepada-NYA. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tiadalah dapat kamu hitungkan. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari nikmat Allah"

Manakala firman-NYA dalam surah Al-Nahl: 18 yang bermaksud:
"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak mampu menghitungnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Jadi di dalam kedua-dua ayat tersebut Allah swt menceritakan tentang nikmat-NYA yang tidak mampu dihitungkan oleh kita. Cuma diakhiri dengan ungkapan yang berbeza iaitu "manusia digambarkan sebagai sangat zalim dan sangat menginkari nikmat Allah" manakala "Allah swt Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".

Mengapa manusia digambarkan sebagai sangat zalim? Ini kerana kita menzalimi diri sendiri, kadang-kadang menzalimi orang lain dalam menggunakan nikmat ini. Kita juga zalim kerana tidak menggunakan kesemua pemberian ini dengan betul. Namun begitu Allah swt amat pengampun lagi Maha Penyayang. Sekiranya hamba yang zalim ini menyedari kesilapan mereka dan memohon ampun, maka Allah akan mengampuni kesalahan mereka. Itulah juga nikmat yang Allah berikan kepada kita. DIA Maha Pengampun.

Sesungguhnya setiap apa yang dijadikan oleh Allah swt, boleh menjadi sumber untuk kita mendekatkan diri kepada-NYA. Fikirkanlah tentang diri kita, bagaimana hebatnya kejadian kita, anak membesar didepan mata kita, tapi kita tidak sedar. Itulah Kehebatan Allah swt yang tiada tandingannya.

Allah swt berfirman lagi dalam surah Al-Dhuha: 11

وأ ما بنعمة ربك فحدث
"Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu
menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur)

Maka ceritakanlah segala nikmat Allah swt kepada kita, serta bersyukurlah selalu agar kita dapat beroleh kekuatan. Tiada jalan lain untuk mencari kekuatan diri selain memikirkan kekuasaan dan kehebatan Allah swt.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman