Musim Bunga

Musim bunga adalah musim yang amat saya sukai semenjak dulu, walaupun tidak pernah mengalaminya di Malaysia. Bagi saya gambaran musim bunga saja sudah cukup menenangkan jiwa, apatah lagi jika berkesempatan untuk menikmatinya. Bila ditambah dengan gambaran bunga-bungaan memenuhi setiap kawasan, dengan rerumput hijau memang amat cantik dan indah.

Teringat pula hadis Rasulullah saw:
"Sesungguhnya Allah indah dan menyukai keindahan, dan ingin melihat kesan-kesan nikmat-NYA kepada hamba-hambaNYA".

Dulu-dulu saya gambarkan kecantikan bila dilorek ayat-ayat itu dalam bentuk khat yang tersendiri, namun ia tidak dapat mengatasi kecantikan alam yang dijadikan oleh Allah swt. Pertukaran musim yang silih berganti dengan pelbagai ciri-ciri unik, hanya DIA yang mampu mengaturkannya. Pertukaran musim ini amat menguji keimanan kita, terutama dalam menunaikan ibadah kepada-NYA.

Berada dalam negara-negara bermusim memerlukan kita sentiasa sedar tentang perubahan waktu, terutama waktu solat. Ini kerana waktu solat berubah mengikut musim, jadi kita tidak boleh ambil mudah tentang waktu ini. Pendek kata kena sentiasa bersedia setiap waktu agar tidak terlepas waktu solat. Sekiranya di Malaysia, perbezaan waktu solat tidak jauh bezanya sepanjang tahun, tapi bagi negara-negara bermusim bezanya berjam-jam. Sekiranya musim sejuk waktu solat agak lewat, tapi dalam musim panas biasanya lebih cepat dari biasa.

Semuanya mempunyai cabaran tersendiri, cabaran menunaikan ibadah dalam kesejukan dan kepanasan. Bagi saya lebih sejuk lebih baik kerana ia membantu kita agar lebih khusyuk, cuma memerlukan kekuatan untuk bangun pagi dan berwuduk dalam kesejukan yang amat sangat. Bila dibandingkan bersolat dalam kepanasan ia amat-amat menguji kita, apa taknya berwuduk dengan air suam kadang-kadang hangat, lepas tu solat dalam keadaan sekeliling panas. Pelbagai gangguan serta perasaan ingin menghabiskan solat lebih cepat selalu berlaku. Apa-apapun setiap musim ada kelebihan yang tersendiri dan kita hendaklah redha menempuhnya untuk kebaikan diri kita sendiri.

Musim bunga selalu dikaitkan dengan bunga-bungaan, satu keadaan yang menggambarkan ketenangan yang menjadi buruan setiap insan. Siapa yang tidak ingin berasa tenang, apa lagi sekiranya dikelilingi dengan bunga-bungaan pelbagai warna. Satu saat tenang yang tidak ada bandingannya. Kemudian ia dihiasi dengan rerama dan kumbang pelbagai warna berterbangan menyeri bunga-bungaan tersebut. Subhanallah.

Bila bercerita tentang bunga, kita tidak boleh lari daripada membincangkan tentang warna, kerana Allah swt menjadikan bunga-bungaan pelbagai bentuk dan warna. Persoalannya kenapa manusia sukakan bunga? Adakah orang yang tidak sukakan bunga? Mengapa Allah menjadikan bunga dalam jenis dan warna yang berbeza? Apakah wujud perkaitan bunga dan diri kita?

Dalam masa yang sama Allah swt menjadikan lebah untuk menyeri bungaan tersebut. Kemudian lebah tersebut menghasilkan madu, yang menjadi penawar bagi pelbagai jenis penyakit sebagaimana yang diceritakan dalam Surah Al-Nahl:69. Jadi apakah perkaitan bunga, warna, madu dan manusia? Semuanya saling berkait dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Teringat pula satu cerita tentang lebah, bunga dan manusia. Bagaimana lebah memperjuangkan hak mereka agar tidak diganggu oleh manusia, madu mereka tidak boleh digunakan oleh manusia, akhirnya alam ini menjadi kering, tidak berseri malah lebah itu sendiri dah hilang kegembiraannya. Subhanallah yang menjadikan alam ini, saling memerlukan antara satu sama lain.

Kita dan alam ini saling memerlukan, sekiranya kita menghormati alam, maka kita akan dapat hidup harmoni, tapi apabila kita menceroboh alam ini maka tunggulah bencana yang akan menimpa kita. Ini telah dijelaskan dalam Surah Al-Baqarah: 60, jangan melakukan kerosakan di alam ini.

Dulu-dulu masa saya jadi cikgu, kita disuruh mengaitkan tajuk pengajaran dengan pendidikan alam sekitar. Jadi terpaksalah sesuaikan tafsiran ayat Quran dengan pendidikan alam sekitar ini. Alhamdulillah banyaklah ilmu yang mampu digarap dari usaha ini, dan sesungguhnya ajaran ini telah disebut dalam al-Quran, cuma manusia yang tidak menghormatinya, sehingga berlakunya tanah runtuh dan sebagainya.

Orang dulu-dulu pulak terlebih menghormatinya hingga mewujudkan iktiqad yang sesat tentang hubungan ini. Mereka menghormati pokok-pokok besar, mengadakan upacara tertentu untuk pembukaan tanah-tanah baru, upacara menuai padi serta lain-lain lagi. Walaupun niat asal untuk menghormati alam tapi ia mewujudkan iktiqad adanya kuasa lain yang menjaga kawasan-kawasan tersebut selain dari Allah swt.

Cara terbaik ialah memahami bahawa Allah swt menjadikan alam, manusia dan semua makhluk di alam ini untuk kemudahan kita. Allah swt menjadikan alam sekitar untuk ketenangan kita, malah ketenangan ini mampu diperoleh dengan pelbagai cara mengikut kawasan masing-masing. Menghormati alam bukan bermaksud mempercayai adanya kuasa lain, tapi menghormati hak-hak alam yang dijadikan oleh Allah swt kepada kita.

Bercerita tentang musim bunga bermakna kita bercerita tentang bunga. Mengapa setiap orang menyukai bunga yang berbeza. Semasa kecil saya dan kawan-kawan suka menziarah rumah-rumah yang ada banyak pokok bunga, kemudian kami meminta benih pokok bunga yang disukai untuk ditanam di rumah. Kadang-kadang kami memilih bunga yang sama, tapi selalunya kami memilih bunga yang berbeza. Kenapa begitu? Kami berlumba pokok bunga siapa yang cepat besar dan lagi cantik, itulah sumber kegembiraan kami.

Bila ke rumah nenek, ada satu kebun bunga melor yang dijaga rapi. Memang wanita-wanita kampung tersebut menjadikan aktiviti menanam bunga melor sebagai sumber rezeki mereka. Mereka sama-sama memetik bunga, kemudian mengikat dalam susunan yang cantik, yang akhirnya dijual kepada pembeli India di bandar Kota Bharu. Saya tidak pernah melepaskan aktiviti memetik bunga melor setiap pagi, yang memberikan ketenangan dengan baunya yang sangat harum tersebut. Indahnya kenangan itu. Yang nyata wanita-wanita tersebut gembira, walaupun hasilnya tidak sebanyak mana. Itulah kelebihan bunga.

Bunga mampu memberikan kegembiraan kepada manusia. Orang sekarang memberi bunga sebagai hadiah bila melawat orang sakit. Apakah bunga tersebut boleh menjadi ubat, atau sekadar bunga semata-mata? Banyaknya persoalan yang timbul...semuanya untuk memberi gambaran betapa pentingnya musim bunga kepada orang yang lama berkurung dalam kesejukan. Bila berpeluang keluar dari rumah, dan melihat kehijauan alam dengan bunga-bungaan pelbagai warna, itulah ubat kekosongan selama musim sejuk tersebut.

Bila menonton dokumentari tentang lebah barulah saya sedar bahawa lebah-lebah tersebut tidak melihat warna bunga, tapi sebenarnya Allah swt telah menetapkan setiap lebah menuju ke arah bunga berwarna apa. Mereka bergerak menuju kepada tenaga bunga tersebut, kemudian mengumpulkan dalam sarang mereka. Setiap lebah mempunyai target bunga yang berbeza, bila dicampur-campur maka wujudlah madu yang pelbagai warna. Subhanallah.

Begitulah aturan yang dijadikan oleh Allah swt untuk kemudahan manusia, tapi kita tidak memahami dan mengabaikan pengubatan berasaskan madu yang diiktiraf oleh Rasulullah saw. Menurut satu hadis yang diriwayatkan tentang seorang sahabat yang sakit perut. Bila diberitahu kepada Rasulullah baginda menyuruhnya meminum madu, kemudian sahabatnya datang lagi memberitahu bahawa sakitnya tidak sembuh. Setelah tiga kali datang Rasulullah saw menyatakan: "betullah madu itu, dan bohonglah perut saudaramu". Dalam hadis ini Rasulullah ini menegaskan bahawa madu itu adalah ubat bagi sakit perut tersebut. Bila perut sihat banyak penyakit lain dapat disembuhkan.

Kadang-kadang terfikir juga, bila tubuh dah sejuk, kita jadi tenang, kemudian Allah swt menentukan bunga-bungaan untuk menjadi ubat kita, sama ada kita melihat, menyentuh ataupun memakannya. Bunga-bunga yang tumbuh liar dikumpul tenaganya oleh lebah-lebah yang ditugaskan untuk membuat madu, akhirnya madu tersebut diambil oleh manusia dan binatang-binatang lain sebagai ubat. Begitu cantik rantaian kehidupan ini. Subhanallah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016