Dunia Langit Terbuka

Dunia benar-benar sudah berubah. Kita mampu mendapat maklumat dengan senang, sama ada melalui internet, radio, TV dan lain-lain. Namun kesenangan ini mestilah bertunjangkan keimanan yang mantap. Dalam sistem langit terbuka ini semua perkara terbentang di depan mata, ada positif dan ada negatif, yang penting kita tahu memilihnya.

Di Malaysia, alhamdulillah keadaan ini masih terkawal, ini berdasarkan keputusan kerajaan yang mengawal ketat penggunaan TV satelit, dan sesetengah laman web yang dijuga dikawal. Namun di kebanyakan negara Arab, kerajaan memberi kebebasan kepada rakyat mereka untuk memilih. Di Oman banyak website dihalang daripada kita melayarinya, kadang-kadang yang tidak porno pun dihalang tapi TV satelit dibenarkan penggunaannya secara terbuka.

Bagi ibubapa yang faham tentang penggunaan TV satelit ini, mereka cuma mengambil program-program tertentu dan berfaedah sahaja. Malah ada sesetengah surirumah terpaksa menyorok receiver untuk mengelakkan anak-anak menonton TV berlebihan. Ini kerana terdapat terlalu banyak stesen TV, setiap stesen TV menawarkan program yang khusus seperti saluran pelancongan, kesihatan, isu semasa, pendidikan, bomoh serta pelbagai lagi termasuk juga saluran TV lucah. Ini bergantung kepada satelit yang dipilih, tersilap satelit dapatlah saluran yang tidak memuaskan hati kita.

Sememangnya keadaan ini menguji keimanan kita. Ia juga menguji para ibubapa dalam mengawal tindak-tanduk anak-anak mereka. Sekiranya anak-anak terlepas bebas, bebaslah mereka berbuat sesuka hati mereka. Sebab itu dalam dunia hari ini, ibubapa mesti prihatin terhadap anak-anak mereka, kerana silap langkah mereka juga yang susah.

Sistem ini sekiranya digunakan secara positif mampu membantu membina syaksiyyah diri yang mantap. Ramai surirumah Arab sekarang lebih berpengetahuan hasil usaha mereka menonton saluran TV agama yang mampu membantu mereka dari segenap segi, termasuklah belajar mengaji al-quran. Ini kerana terdapat banyak saluran agama yang diusahakan oleh pihak-pihak tertentu, dengan bantuan kewangan kerajaan dan persendirian, untuk bersaing dengan saluran lain yang lebih sekular.

Namun kebanyakan program di saluran agama ini agak membosankan bagi golongan remaja. Ini kerana kebanyakan programnya berbentuk kuliah agama, seperti yang diadakan di dewan dan masjid-masjid. Sedangkan remaja lebih sukakan program-program menarik yang ternyata tidak mampu disediakan oleh kebanyakan saluran ini.

Walaupun ada beberapa program realiti agama, namun secara keseluruhan ia membosankan, menyebabkan remaja lebih memilih program barat untuk memenuhi kehendak hati mereka. Inilah cabaran semasa umat Islam seluruh dunia. Apabila menonton program forum remaja yang disiarkan, ternyata mereka amat memerlukan saluran yang mampu mendidik mereka dalam isu-isu pergaulan, kebebasan, aurat serta pelbagai lagi isu yang tidak mampu difahami oleh ulama yang dah berumur.

Kadang-kadang saya terfikir beginikah keadaan umat Islam sekarang? Mengapa muda-mudi kini terlalu daif dalam ilmu agama? Mengapa jadi begini? Apakah umat Islam sudah kembali ke zaman jahiliah semula?

Semua persoalan ini memerlukan bantuan ibubapa, kerana pendidikan anak-anak terletak di atas bahu ibubapa mereka. Ibubapa yang prihatin mampu membentuk anak-anak yang berilmu, serta tahu tanggungjawab mereka. Malangnya ibubapa terlalu sibuk dengan urusan mencari rezeki, anak-anak cuma dibekalkan dengan wang bukannya ilmu.

Fenomena di negara kita agak berbeza, kerana penggunaan saluran TV diketatkan, remaja lebih tertumpu ke arah mewujudkan blog di internet. Masing-masing berlumba untuk menghasilkan blog yang hebat dan mendapat pengunjung yang ramai. Ramai yang memikirkan untuk menjana kewangan secara mudah di internet. Alhamdulillah satu cara positif untuk menyampaikan idea dan saling bantu-membantu sesama mereka.

Namun dalam masa yang sama, ramai yang terlupa batas-batas yang patut dijaga. Di internet semuanya seolah-olah halal, agak senang menjalinkan hubungan di alam maya. Hatta yang menggelarkan diri ustaz ustazah (Bloggers) juga tidak terlepas dari fenomena ini. Ramai yang memaparkan segala-galanya tentang diri, tiada lagi rahsia, hatta pergaulan bebas juga diceritakan secara terbuka. Apakah yang mereka harapkan daripada semua ini? Apakah tidak wujud lagi perasaan malu yang sebahagian daripada iman?

Begitu juga gambar-gambar yang tidak menutup aurat dipaparkan dengan senang hati untuk paparan seluruh dunia. Inilah hadiah daripada kemajuan, kita terikut trend orang-orang barat sehingga terlupa batas-batas pergaulan dalam Islam.
Jalan untuk meluahkan isi hati dan tulisan kita juga terbuka luas, tiada siapa yang boleh menghalang kita. Semuanya terletak dalam diri. Langit yang terbuka ini sepatutnya menguatkan lagi keyakinan kita tentang kewujudan hari akhirat, hari dimana kisah kehidupan kita akan ditayangkan untuk tayangan seluruh umat manusia. Namun hari ini ramai yang memilih untuk menayangkan sendiri segala tingkah-laku mereka untuk tatapan umum tanpa mengeditnya dahulu.

Sistem langit terbuka ini sepatutnya ditapis dulu sebelum diterimapakai sepenuhnya. Ambillah yang baik dan bermanfaat sahaja. Di samping itu para ibubapa juga perlu prihatin dengan tindak-tanduk anak-anak dalam melayari internet. berilah panduan yang mantap kepada anak-anak agar mereka mampu membawa hidup mereka dengan betul. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?