CABARAN SURIRUMAH (PENGURUSAN MASA)

Tugas surirumah sepenuh masa memang mencabar, walaupun ia mungkin dianggap remeh oleh kebanyakan wanita. Maklumlah mereka dah terbiasa dengan kerja-kerja seharian, mengemas, membasuh, memasak dan lain-lain kerja. Memanglah bila dah terbiasa kerja ni menjadi satu kerja senang, otak dah fokus dengan segala-gala kerja sebegini. Namun bagi yang baru nak berjinak-jinak dengan tugas ini sepenuh masa, ia akan menjadi cabaran hebat kepada mereka.

Sekiranya ketika bekerja, kita tak terasa tugasan ini, semua dapat diselesaikan dengan mudah kerana kita tertekan untuk menyelesaikan semua tugasan kita pada masanya. Walaupun terpaksa dihadapi dengan susah-payah kita mampu melepasinya.

Namun bila dah berada di rumah, ternampaklah pelbagai tugas yang mungkin tak pernah kita fikirkan secara serius semasa bekerja. Oleh sebab itu ia menjadi cabaran kepada kita, hinggakan kita tidak mampu mengimbangkan tugasan tersebut. Kadang-kadang suasana tenang tanpa tekanan dari pihak atasan juga menjadikan kita leka. Oleh itu kita amat memerlukan pengurusan masa yang betul, agar kita mampu menghasilkan sesuatu.

Pengalaman bergaul dengan surirumah dari pelbagai negara ini memberi peluang kepada saya untuk berkongsi pendapat mengenai pengurusan masa ini. Sebenarnya sekiranya kita pandai mengurus masa, memang banyak masa kita yang terluang tanpa pengisian yang bermanfaat. Sekiranya dihitung dengan rapi cuma sedikit saja masa yang kita perlukan untuk melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas, membasuh dan memasak. Manakala sebahagian lagi tidak diuruskan dengan betul.

Namun bagi surirumah yang mempunyai anak yang ramai mungkin tidak mempunyai kesempatan seperti orang yang mempunyai satu dua orang anak. Ini kerana tugasan tersebut akan berganda, terutama masa yang akan diperuntukan untuk setiap orang anak. Walau bagaimana sibuk sekalipun kita tidak boleh melupakan tanggungjawab terhadap diri sendiri. Ini kerana diri kita juga memerlukan pengisian, yang boleh diisi apabila kita mempunyai pengurusan masa yang mantap.

Cara terbaik ialah menyediakan jadual waktu bekerja sendiri, yang dapat kita ikuti dengan jelas, dan memanfaatkan penggunaan masa. Selain dari itu apabila kita mempunyai jadual waktu kita juga akan lebih berdisiplin, dan kita dapat meneliti penggunaan masa kita sehari-hari. Di samping itu perancangan tugas keesokan hari juga akan membantu kita menyusun masa kita sebaik-baiknya.

Inilah kelebihan yang ada pada surirumah terpelajar, sekiranya beliau mampu melakukannya dan menerapkan kepada anak-anak semenjak kecil, lihatlah apa yang akan berlaku kepada generasi akan datang. Kita akan mempunyai satu golongan Muslim yang mantap dalam segala gerakkerja mereka, iaitu golongan anak-anak kita. Mereka akan mampu berjaya dalam hidup mereka, serta akan membantu memotivasi kawan-kawan mereka.

Mungkin idea ini terlalu ideal bagi sesetengah pihak, namun hakikatnya sekiranya kita ingin melihat perubahan berlaku di depan mata kita, kita mesti sanggup memulakan perubahan itu. Sekiranya kita ingin memiliki golongan lelaki yang penyayang dan bertanggungjawab, kita mestilah mula membetulkan didikan kepada anak-anak kita.

Ini kerana Allah swt telah menjelaskan bahawa "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah diri mereka sendiri".

Cerita pengurusan masa ini memang selalu dibincangkan dalam apa-apa saja kursus pembangunan diri kerana ia asas hidup kita. Sekiranya kita tidak mampu mengurus masa dengan betul, kita akan mula tertekan dengan tugasan yang tidak mampu kita siapkan. Sebab itu surirumah juga memerlukan pengurusan masa dan perancangan yang mantap, agar kita mampu duduk bangun setanding wanita yang bekerja. Jangan benarkan orang luar memperlekehkan tugas ini, kerana ia punca ketenangan diri kita dan keluarga kita. Ia juga punca kejayaan kita didunia dan diakhirat.

Oleh itu uruskan masa dengan betul. Ingatlah selalu firman Allah swt:
"Demi Masa, Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali mereka-mereka yang beriman, dan melakukan amal soleh, serta mereka-mereka yang berpesan ke arah kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran".

Inilah tugas dan cabaran kita sehari-hari. Bagaimana untuk memiliki keimanan yang mantap? Bagaimana untuk melakukan amal soleh? Bagaimana untuk memberi nasihat kepada kebenaran? Bagaimana untuk memberi nasihat kepada kesabaran? Semuanya mestilah bermula dari diri kita, kita akan mampu mempraktikkannya dengan menjaga masa kita, mulakanlah.

Jadilah surirumah efektif yang mampu memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat sekeliling kita. Moga Allah memudahkan niat suci kita. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman