Personaliti Wanita dalam Quran

Alhamdulillah wanita hari ini telah mencapai kemajuan dalam banyak bidang, ramai yang telah mampu duduk bangun setanding lelaki dalam urusan keduniaan. Sayangnya ramai yang terikut-ikut dengan perjuangan wanita-wanita di barat, hinggakan mereka tersasar jauh dari ajaran Islam sejati. Ramai yang meremehkan anjuran al-quran dan sunnah serta tidak memahami asas syariah Islam berkaitan kehidupan wanita.

Sekiranya diteliti dalil-dalil yang terdapat dalam Al-Quran, memang terdapat banyak wahyu yang diturunkan berkaitan dengan wanita, termasuk kewajiban dan hak-hak mereka. Ayat-ayat ini sekiranya dikaji dengan teliti mampu menjadi panduan ke arah hidup yang tenang didunia dan di akhirat. Wanita juga akan mampu membangun secara menyeluruh dari segenap sudut rohani, emosi, mental dan jasmani. Mereka juga akan mampu menjadi contoh dalam kekuatan aqidah dan urusan keduniaan.

Di dalam Quran, Allah swt menceritakan kisah-kisah wanita sebelum zaman Nabi Muhammad SAW termasuk juga kisah-kisah yang melibatkan wanita zaman Rasulullah SAW. Allah swt menggambarkan wanita-wanita ini dengan gambaran personaliti yang hebat dan mampu menjadi contoh kepada setiap wanita hari ini. Cerita-cerita inilah yang sepatutnya kita hayati, kerana Allah swt mencipta manusia atas dasar fitrah, dan fitrah ini memang tidak pernah berubah semenjak zaman nabi Adam a.s hinggalah hari akhirat nanti.

Kemudian Allah swt menurunkan wahyu-NYA yang amat bersesuaian dengan fitrah ini. Jadi manusia dan agama berpunca dari asas yang sama, kedua-duanya mementingkan fitrah yang sesuai untuk setiap tempat, masa dan keadaan. Keadaan fitrah inilah yang mampu menyatupadukan setiap manusia, kerana manusia pada tahap fitrah memiliki nilai-nilai murni yang sama. Tapi apabila keadaan fitrah ini telah berubah maka berlakulah banyak pertentangan nilai yang boleh membawa kepada perselisihan pendapat, peperangan serta pelbagai lagi perkara mungkar.

Contohnya dapat dilihat dalam kehidupan kanak-kanak, dalam keadaan fitrah mereka mampu hidup bersatu, memiliki kekuatan untuk menghasilkan apa saja yang diingini, malah terlalu mudah untuk maaf memaafi antara satu sama lain. Kanak-kanak perempuan pula seolah-olah tahu apa tugas dan tanggungjawab mereka, tanpa perlu dipaksa untuk melakukannya. Namun apabila mereka membesar dan terikut-ikut dengan keadaan sekeliling mereka, mereka kehilangan keadaan fitrah dan segala nilai murni ini.

Sebagai jalan untuk memahami keadaan ini seharusnya lah kita kembali menghayati kisah-kisah wanita yang disebutkan secara jelas di dalam al-quran. Mereka adalah diantara wanita-wanita yang diberi ilham oleh Allah swt dalam setiap tindak-tanduk mereka hingga mampu melahirkan tokoh-tokoh agung dalam sejarah agama tauhid ini. Dalam masa yang sama Allah swt menceritakan juga kisah-kisah wanita yang menolak untuk beriman kepada-NYA walaupun mereka hidup dalam keluarga nabi-nabi.

Kisah-kisah ini akan kita kupas satu persatu dalam pos-pos seterusnya dalam kategori wanita dalam al-quran dengan harapan kita mampu memahami hakikat wanita yang dijelaskan dalam al-quran. Moga ia menjadi panduan untuk kita semua dalam mendekatkan diri kepada Allah swt.

Bermula dengan kisah wanita pertama yang Allah jadikan iaitu ibu seluruh manusia didunia ini, yang mana tanpa wanita ini proses perkembangan manusia tidak mungkin berlaku. Begitulah kehebatan susunan yang Allah jadikan, bermula dari satu, dua dan seterusnya berkembang-biak dalam jumlah yang mampu kita lihat hari ini. Kitaran ini sentiasa berlaku sehinggalah hari kiamat nanti, tiada siapa yang mampu menyekatnya.

Kisah kejadian Hawa dijelaskan didalam al-quran untuk memahamkan kita tentang hakikat wanita, iaitu wanita adalah sebahagian daripada lelaki.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas