Apa Dah Jadi?

Sudah menjadi rutin harian, saya luangkan masa untuk membaca berita-berita tentang apa yang berlaku di Malaysia sama ada laporan online media pro kerajaan atau pembangkang. Sekurang-kurangnya tidak terasa berada jauh dari tanahair, serta memahirkan diri dalam penggunaan Bahasa Malaysia.

Tapi akhir-akhir ini, banyak berita yang membuatkan saya berfikir "Apa sudah jadi dengan senario politik di Malaysia?" "ataupun kata-kata yang lebih mudah "Apa sudah jadi dengan Orang Melayu? Apakah objektif utama perjuangan orang-orang Melayu terkini? Mengapa kita tidak boleh bersatu?

Masing-masing cuba menegakkan bahawa parti mereka yang betul. Segala laporan yang disampaikan menunjukkan bahawa semua pihak tidak konsisten dengan kata-kata mereka. Apakah mereka tidak menganalisis setiap patah perkataan yang dikeluarkan, agar tidak mengelirukan orang awam.

Senario politik yang berlaku di Perak sekarang benar-benar mencabar semua pihak, istana, parti kerajaan dan pembangkang. Kepada siapa kita ingin menundingkan jari kita, sekiranya yang berlaku itu kesan daripada kata-kata yang dikeluarkan oleh pihak pembangkang sebelum ini. Sebab itulah kita sentiasa diingatkan agar berfikir dulu sebelum berkata-kata. Ketua Pembangkang sebelum ini begitu yakin dengan kata-kata yang dikeluarkan, akhirnya apa yang berlaku disebaliknya. Itulah ketentuan Allah untuk menguji mereka.

Apakah bentuk mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat yang masih terkial-kial untuk memahami apa yang berlaku kini. Sekiranya masing-masing menganggap "aku yang betul", selagi itulah orang-orang Melayu tidak akan dapat bersatu. Sedihnya jika kita terpaksa menempuh zaman "politik tak stabil" semula setelah beberapa lama hidup penuh ketenangan.

Ada yang menyalahkan Sultan Perak kerana membuat keputusan sebegitu, manakala sebahagian lagi menganggap Menteri Besar Perak telah menderhaka kepada Sultan. Sepatutnya seorang pemimpin tertinggi mempunyai pendirian yang teguh dan tidak mudah dipengaruhi oleh mana-mana pendapat luar. Sepatutnya mereka menjadi contoh kepada orang awam, malangnya itu tidak mungkin terjadi selagi kita tidak berfikir untuk membetulkan kesilapan diri.

Allah memberi peluang untuk kita memilih, tapi sekiranya kita tersilap pilih maka kita akan menemui kesudahan yang buruk. Sekiranya orang Melayu bersikap sebegini, tidak mustahil negara kita akan dapat diambilalih oleh orang lain yang mempunyai perancangan rapi.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman