Ketenangan dari Dalam

Alhamdulillah, seronok bila dapat mengikuti program ziarah bersama-sama anak-anak. Bukan apa anak-anak berkawan kita juga berpeluang untuk dapat kawan, berkawan dengan emak kawan anak. Begitulah kaedahnya supaya senang nak kawal anak-anak, bila kita dah kenal siapa ibubapa mereka, hati lebih tenang dengan anak-anak.

Begitulah adat di perantauan, nak kena selalu bermanis muka, kalau tidak bersendirian lah kita. Apatah lagi dengan jiran, kenalah jadi ramah walaupun ramai yang tak boleh berkomunikasi kerana masalah bahasa. Tapi inilah masalah kebanyakan surirumah yang datang dari pelbagai negara. Sekiranya mereka tidak bertemu dengan orang sebangsa dengan mereka, muncullah pelbagai masalah emosi. Kesian bila melihat mereka ini, yang rata-rata terpaksa memendam perasaan sendiri, dah lah jauh dari keluarga, jauh juga dari rakan senegara.

Memang berat untuk menyelesaikan masalah ini, sekiranya tidak tahu caranya. Bila bersendirian, pelbagai kenangan lama muncul, otak pun memikirkan macam-macam perkara yang tidak mampu diselesaikan. Kadang-kadang yang tak pentingpun jadi begitu penting. Begitulah hakikat manusia, kalau hidup bermasyarakat ini tidak penting bagi fitrah manusia, takkan Rasulullah banyak berpesan tentangnya. Semuanya untuk kepentingan kita, agar tidak berasa kesepian.

Bila melihat cara orang-orang India di sini, kebanyakan mereka begitu mengambil berat tentang keluarga mereka. Terdapat banyak perkumpulan wanita India yang sentiasa aktif mengadakan aktiviti mingguan. Saya ikut terasa seronok bila bersama-sama mereka walaupun kadang-kadang tidak memahami bahasa yang digunakan sesama mereka. Apa yang penting keikhlasan mereka menghulurkan persahabatan tanpa bersyarat.

Sebenarnya semua ini berkaitan dengan ketenangan dalaman kita, sekiranya hati kita tenang kita akan mampu menghulurkan persahabatan dengan sesiapa saja. Bila ditambah kemahiran bahasa, kita akan mampu membawa diri di mana saja kita berada.

Ketenangan ini amat penting bagi setiap orang, bila hati tenang segala yang ada disekeliling kita akan jadi indah, namun sekiranya hati resah gelisah walau tinggal di istana pun kita tetap tidak dapat merasai keindahannya.

Yang hebatnya orang-orang bukan Islam lebih rancak menghidupkan program-program untuk mencari ketenangan diri ini. Pelbagai teknik diperkenalkan, yang kebanyakkannya berkaitan dengan teknik pernafasan, yoga dan meditasi. Mereka begitu menekankan amalan sebegini, yang ternyata banyak membantu mereka mencapai ketenangan.

Dalam masa yang sama, ramai umat Islam ikut sama program sebegini tanpa memahami hakikatnya. Umat Islam yang masih mencari diri ini menyangka inilah cara terbaik untuk mendapat ketenangan diri . Sebab itulah mereka melenting apabila kerajaan mengeluarkan fatwa yang mengharamkan amalan yoga bagi umat Islam. Ulama mengharamkan yoga tapi tidak menjelaskan alternatif bagi amalan ini.

Di Oman program sebegini juga diadakan oleh golongan yang ingin mencari ketenangan ini. Program Yoga dan teknik meditasi diadakan secara percuma. Mereka mampu mengumpulkan peserta dari pelbagai bangsa, yang ternyata mampu menjadi platform untuk menyatukan orangramai di Oman.

Sayangnya tidak ada program sebegini dianjurkan oleh umat Islam. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri, malah tidak ramai ulama yang memahami teknik-teknik sebegini yang ternyata mampu memantapkan kekuatan dalaman kita. Sekiranya kita mampu menghidupkan kaedah sebegini berpandukan ajaran Islam, tidak mustahil kita akan mampu membantu ramai umat Islam yang masih mencari diri ini.

Sebenarnya segala amalan yang diamalkan oleh Rasulullah SAW seperti solat fardhu dan sunat, mengaji quran, berzikir, bersedekah dan sebagainya, adalah teknik mendapat ketenangan diri sejati. Indahnya ajaran agama kita, kerana kita tidak perlu mencari amalan sampingan seperti yang terpaksa dilakukan oleh orang-orang bukan Islam. Amalan-amalan ini sekiranya diamalkan secara berterusan mampu membantu kita menenangkan diri bila menghadapi keadaan sukar.

Buktinya boleh kita lihat dalam amalan Rasulullah sebelum menerima wahyu, beliau mengasingkan diri untuk mendapat ketenangan diri. Tapi setelah menerima wahyu, baginda tidak meneruskan amalan ini, sebaliknya menghidupkan segala amalan fardhu dan sunat seperti yang diwahyukan oleh Allah swt kepada baginda.

Memang terdapat terlalu banyak amalan doa-doa dan zikir-zikir yang terdapat dalam kitab-kitab hadis. Malah informasi dari Sahih Bukhari dan Muslim sahaja sudah lebih dari cukup untuk diamalkan oleh sesiapa yang mencari ketenangan sejati ini. Umat Islam tidak perlukan segala teknik yang diamalkan oleh orang-orang bukan Islam ini, sebaliknya kita perlu kembali kepada amalan Rasulullah SAW.

Begitu juga Rasulullah SAW menganjurkan kita berkumpul untuk majlis-majlis zikir, agar kita dapat menguatkan diri kita. Dalam masa yang sama kita dapat menguatkan diri bila bertemu rakan-rakan lain. Ia amat berbeza dengan amalan yang dilakukan bersendirian. Itulah yang cuba dilakukan oleh orang-orang bukan Islam dengan memperkenalkan kelas-kelas Yoga, teknik pernafasan dan meditasi.

Moga kita beroleh ketenangan dengan mengamalkan amalan yang sabit dari Rasulullah SAW bukannya mengikut amalan yang tidak jelas puncanya. Dengan itu kita akan beroleh ketenangan dari dalam. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016