CABARAN SURIRUMAH (LUARAN)

Dalam artikel lepas kita telah membincangkan tentang cabaran diri sendiri ataupun cabaran dalaman surirumah. Begitu lama artikel ini tertangguh kerana saya menganggap bahawa cabaran luaran tidaklah seberat cabaran dalaman. Selagi kita mengetahui siapa diri kita, mengapa kita memilih untuk berada di rumah, dan kita yakin dengan segala tindakan kita, selagi itulah segala apapun yang datang dari luar akan dapat kita atasi.

Bagi saya, cabaran yang paling berat untuk diatasi adalah cabaran dalaman kerana ia menyangkut emosi, misi dan visi kita dalam hidup ini. Kemudian bagaimana cara kita mengendalikan urusan seharian kita dirumah. Sekiranya kita mempunyai misi dan visi yang jelas, serta kita mempunyai jalan untuk melepaskan ketegangan diri kita, insya Allah segala masalah akan dapat diselesaikan dengan mudah. Di samping itu kita juga perlu memiliki motivasi dalaman yang kuat, kerana kekuatan dalaman inilah yang akan membantu kita dalam menghadapi cabaran dari luar.

Cabaran yang kedua pula datangnya dari luar iaitu sama ada keluarga terdekat ataupun orang luar. Memang kita tidak boleh lari daripada berhadapan dengan cabaran ini, kerana kita hidup bermasyarakat. Malah cabaran ini diluar kawalan kita, sikap dan tingkah laku mereka tidak dapat kita jangka. Ini termasuklah suami, anak-anak, keluarga kita, keluarga suami, kawan-kawan dan orang luar. Tapi selagi kita memiliki kekuatan dalaman, kita akan dapat atasinya.

Sebagai contoh orang yang tenang, kita cakap apapun dia akan buat tak tahu saja, orang melenting marah tapi dia tetap senyum, malah kadang-kadang boleh buat lawak pula. Itu contoh orang yang kuat dalamannya, tapi bukan senang untuk memiliki sifat-sifat sebegini. Orang yang boleh bersikap sebegini tidak akan terasa dengan cabaran luaran.

Tapi sekiranya kita belum mampu bersikap sebegitu, kita tidak boleh ambil mudah cabaran luaran ini kerana silap langkah ia memakan diri kita. Ini termasuklan bisikan-bisikan dari luar untuk melemahkan diri kita, itulah tugas mereka setiap hari. Kadang-kadang kita dah rasa mantap tapi tiba-tiba emosi berubah, lepas tu banyak flashback datang silih berganti, yang boleh mengganggu kekuatan kita. Jika kita tidakberhati-hati, kita akan terbawa-bawa dengan perkara sebegini. Kita tidak boleh lupa tugas dan kerja iblis dan syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk melemahkan kita.

Cabaran luaran yang pertama datangnya daripada suami. Bersyukurlah bagi para surirumah yang mendapat sokongan padu daripada suami untuk berada di rumah, berkhidmat untuk keluarga. Hari ini, isteri terpaksa meminta persetujuan suami untuk berada di rumah, sedangkan tugas asasi mereka adalah berada di rumah. Ini kerana ramai suami yang kurang menyokong tindakan isteri untuk berada di rumah, kerana bimbang kekurangan pendapatan untuk kelangsungan hidup mereka.

Kemudian sikap dan layanan suami juga mencabar surirumah, bila mereka pulang dengan mood yang tidak menentu. Bukan mudah nak kekal tenang sepanjang masa. Tapi sekiranya kita yakin insya Allah kita akan dapat mempraktikkannya. Bila dah lama kahwin juga makin menambahkan cabaran kepada surirumah, oleh itu cuma kekuatan dalaman yang dapat membantu kita.

Cabaran luaran yang kedua adalah anak-anak. Dalam keadaan masyarakat hari ini yang dah terbudaya dengan situasi wanita bekerja diluar juga akan memberi tekanan kepada anak-anak kita. Ramai anak-anak lebih bangga untuk memberitahu orang luar bahawa ibu mereka bekerja, lebih tinggi jawatan si ibu diluar, mereka akan semakin bangga, malah ramai yang terasa malu untuk memberitahu bahawa ibu mereka adalah surirumah. Sebab itulah bagi surirumah terpelajar mereka sepatutnya mempunyai misi pembangunan diri yang jelas agar tidak terasa tekanan ini.

Dalam situasi kedua, anak-anak pula akan semakin manja dan mengada-gada. Oleh itu kita mestilah menggariskan undang-undang yang jelas untuk diikuti oleh anak-anak kita, agar mereka betul-betul beroleh manfaat daripada kewujudan kita di samping mereka seharian.

Cabaran luaran seterusnya datang dari keluarga sendiri. Yang mana kebanyakan ibubapa mengharapkan anak-anak membantu meringankan bebanan mereka bila dah besar. Jadi apabila kita tidak bekerja dan tidak mempunyai pendapatan sendiri, peluang kita untuk membantu mereka dari segi kewangan tidaklah sebanyak orang yang bekerja. Sekiranya kita tidak berhati-hati akan wujudlah keadaan negatif dalam hubungan keluarga kita.

Masalah ini memang berat untuk diatasi sekiranya ibubapa tidak memahami tugas dan tanggungjawab anak perempuan. Pandai-pandailah berbincang dengan ayah dan ibu agar kita tidak melukakan hati mereka. Tugas wanita adalah untuk berkhidmat kepada suami setelah berkahwin. Tanggungjawab ini bukanlah semudah yang kita sangka ketika mula-mula mengikat tali pertunangan. Ia adalah tanggungjawab besar yang akan dipersoalkan diakhirat nanti.

Cabaran seterusnya adalah kata-kata saudara-mara dan orang sekeliling kita, yang menganggap negatif bagi wanita yang berada di rumah. Dalam situasi ini, kita hendaklah kuat menerima segala umpat keji serta pelbagai kata-kata yang tidak sedap didengar. Ini kerana selagi kita berdebat untuk menegakkan diri kita, kata-kata sebegini akan tetap kedengaran, tetapi sekiranya kita buat tak tahu saja, lama-kelamaan kata-kata sebegitu akan hilang.

Dalam masa yang sama kita mestilah mempunyai strategi yang mantap untuk membuktikan bahawa pilihan kita untuk berada di rumah bukan kerja sia-sia, malah ia satu pilihan mulia untuk menjaga keharmonian rumahtangga dan keluarga kita. Suatu masa orang-orang yang mengata akan memuji tindakan kita. Fikir-fikirkanlah.

Ulasan

rantong berkata…
Salam ziarah. Blog yang bermaklumat.
View Profile: Rantong™

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

Muscat Festival 2016

'Ammi atau Fushah?