Surirumah Oman

Alhamdulillah saya berkesempatan mengikuti program keluarga Oman. Seperti adat kebiasaan mereka berkumpul di satu-satu tempat dengan diasingkan lelaki dan wanita.

Pada hari Khamis lepas kami berpeluang mengikuti pertemuan keluarga Oman yang diadakan di kebun pertanian (Mazra'ah). Seronok juga bila berada di kebun sebegitu memandangkan kawasan di sini yang kering kontang. Bila memandang kehijauan kebun hati menjadi tenang.

Sebenarnya kami selalu ke kawasan pedalaman dan mengikuti program orang Oman, tapi kali ini kami ke satu tempat yang agak berlainan. Ini kerana kebun ini merupakan tempat pertemuan, yang mana tiada satu keluargapun yang tinggal disini. Ia cuma dihuni oleh pekerja-pekerja India yang diupah untuk menjaga kebun mereka.

Semua keluarga datang dari kawasan berlainan dan bertemu serta mengadakan program disini. Itulah tradisi orang Oman yang masih diteruskan. Malah setiap kali pertemuan sebegini daging 'siwak' dihidangkan. Saya memang menyukai daging yang dibakar dalam tanah ini...sedap.

Jadi alhamdulillah saya berkesempatan berbual-bual dengan mereka, serta cuba memahami apa pandangan mereka menjadi surirumah sepenuh masa. Dalam masa yang sama saya cuba mengikuti program mereka yang ternyata amat seronok. Ini kerana wanita ditempatkan dalam kawasan tertutup, jadi mereka bebas melakukan apa saja aktiviti yang diingini.

Satu kelainan surirumah Oman ialah mereka masih mengekalkan adat mereka, walaupun mereka bebas dalam kawasan tertutup, tiada seorangpun yang membuka tudung mereka. Itulah kelainan yang dapat saya lihat selama ini. Mereka cuma membuka 'abaya' tapi masih bertudung kemas didalam.

Sepanjang lebih kurang empat tahun bergaul dengan surirumah Oman, saya rasakan itulah ciri-ciri yang tidak ada pada wanita lain. Saya memang belum pernah melihat rambut wanita Oman. Mungkin kerana saya cuma bergaul dengan golongan biasa dikawasan pedalaman, jadi saya masih mampu melihat adat tradisi mereka.

Yang saya tahu biasanya wanita dimana-mana bila dah berada dalam kawasan tanpa kehadiran lelaki, masing-masing ingin menunjukkan kecantikan rambut dan gaya masing-masing. Tapi ciri-ciri sebegini tiada pada wanita Oman yang amat menjaga adat tradisi mereka, alhamdulillah.
Begitulah kekuatan adat yang masih dijaga, walaupun sebelum baligh mereka bebas bergaya sakan tapi bila baligh mereka mampu mengekalkan tradisi bertudung mereka.

Jadi peluang bertemu dan berkenalan dengan surirumah ini tidak saya lepaskan begitu saja. Banyak ilmu yang saya perolehi disini, terutama apabila nenek-nenek tua mula bercerita. Jadi ada beberapa peringkat umur surirumah disini, surirumah dah terlalu tua dan uzur (nenek), surirumah yang tua (mempunyai anak-anak remaja), surirumah yang muda (baru memiliki beberapa orang cahayamata) dan yang baru mendirikan rumahtangga. Itulah keseronokannya.

Namun begitu segala urusan diuruskan oleh surirumah tua, merekalah ketua dalam aturcara program disini. Biasanya mereka merupakan isteri anak yang tertua, besarnya tanggungjawab mereka.

Masa begini juga adalah peluang bagi pembantu rumah berkenal-kenalan. Ini kerana setiap keluarga akan membawa bersama pembantu rumah mereka. Biasanya saya akan bertemu dengan pembantu rumah dari Indonesia dalam program sebegini. Kali ini ada tiga orang pembantu rumah Indonesia, yang lain-lain pembantu rumah India.

Dalam pertemuan kali ini, saya berpeluang melihat kehebatan surirumah Oman menyanyikan bait-bait syair Arab yang dihafal mereka. Sememangnya orang Oman masih menjaga tradisi ini, malah kitab-kitab lama mereka ditulis dalam bentuk karangan syair Arab. Bukan senang untuk memahami syair sebegini, malah nak menghafalnyapun agak susah, jika tidak diteliti.

Teringat kenangan kami menghafal bait-bait syair arab semasa sekolah Maahad dulu, memang susah nak ingat, jadi kami menggunakan rentak lagu-lagu hindustan untuk memudahkan kami menghafalnya. Saya teramat kagum dengan kebolehan sebegini, syair-syair yang panjang ini dihayati bersama-sama, kemudian diakhiri dengan bacaan doa oleh surirumah lain.

Bila saya bertanya mengapa mereka memilih untuk berada di rumah, mereka memberitahu bahawa tugas utama mereka ialah mendidik anak, jadi mereka ingin mendidik anak-anak mereka agar menjadi insan berguna. Malah terpancar kegembiraan diwajah masing-masing walaupun mereka tidak memiliki pendapatan sendiri. Ada juga surirumah yang menjadikan aktiviti menjahit sebagai hobi mereka.

Alhamdulillah begitulah serba sedikit perkongsian tentang surirumah Oman yang saya temui kali ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas