Jejak Kasih

Beberapa peristiwa yang amat meninggalkan kesan dalam hati ini ialah apabila melihat detik-detik pertemuan ahli keluarga yang begitu lama terpisah.

Memang dulu-dulu program 'jejak kasih' amat popular dan diminati ramai di Malaysia termasuklah saya, namun saya tidak pernah terbayang bahawa suatu hari saya akan melihat sendiri detik-detik ini berlaku didepan mata sendiri.

Bayangkanlah seorang ibu yang terpaksa berpisah dengan anak disebabkan masalah politik di tanahair. Si anak terpaksa melarikan diri daripada tanahair sendiri, demi menyambung perjuangan. Malah pertemuan juga terpaksa diadakan secara rahsia, agar tidak mengugat keamanan keluarga. Tidak dapat saya gambarkan kegembiraan seorang ibu ketika bertemu kembali dengan si anak selepas lebih 12 tahun berpisah. Apatah lagi ketika pertemuan berlaku si anak sudah memiliki 4 orang anak yang masih kecil.

Begitulah kasih ibu yang tidak mampu ditukar ganti, tidak akan padam walaupun bertahun-tahun berpisah. 'Kasih ibu membawa ke syurga'. Seorang ibu yang sanggup merentas beribu-ribu batu datang mencari si anak yang tidak dapat pulang ke tanahair, dalam keadaan yang begitu lemah, tapi selepas bertemu kembali dengan anakanda tercinta semangat ibu pulih kembali serta mampu pulang ke kampung halaman dengan wajah yang berseri-seri. Alhamdulillah...Moga Allah terus memberi kekuatan kepada si ibu untuk menunggu kepulangan si anak ke kampung halaman walaupun si anak sudah tidak menaruh harapan lagi untuk kembali.

Memang pedih melihat detik-detik itu, namun apakah daya kita semuanya sudah tersurat. Kita hanya mampu menerimanya dengan redha.

Beberapa tahun kemudian, terjadi pula detik pertemuan seorang adik dengan abang yang sudah 17 tahun terpisah. Tidak dapat saya gambarkan detik-detik ini yang berlangsung di depan mata. Wajah-wajah yang begitu gembira dan ceria, memang tidak ada perkataan yang dapat mengungkapkan keadaan itu. Si Abang berkata "saya berharap agar bertemu dengan satu wajah yang telah ditinggalkan 17 tahun lalu". Namun itulah ketentuan Allah...

Itulah keadaan yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam hari ini, begitu ramai yang terpaksa keluar daripada tanahair sendiri, malah masih ramai yang belum pernah bertemu kembali dengan ahli keluarga setelah meninggalkan kampung halaman. Mereka terpaksa memendam segala hasrat hati, memendam rasa rindu kepada kampung halaman hanya kerana masalah politik. Namun tidak ramai yang memahami hakikat ini, mereka tersilap tafsir tentang ramai cerdik pandai asing yang bekerja mencari rezeki di negara kita.

Kita hanya sekadar mendengar dan bersimpati, tapi sanggupkah kita berhadapan keadaan sebegini. Alhamdulillah kita masih memiliki negara yang aman damai, yang mana kita bebas melakukan apa saja. Walaupun kita berada di negara orang tapi kita masih berpeluang untuk pulang sekali atau dua kali setahun.

Teringat pula kisah rakan-rakan semasa di UIA. Mereka datang belajar kerana menghadapi masalah di negara sendiri, setelah berjaya menghabiskan ijazah sarjana muda, keadaan masih belum mengizinkan mereka kembali ke tanahair, pengajian disambung ke peringkat sarjana pula, setelah berjaya menamatkan pengajian keadaan masih belum berubah hinggalah berjaya menamatkan Phd, keadaan masih sama.

Dalam kes lain, setelah berjaya menamatkan Phd (bayangkan berapa lama mereka menghabiskan masa di negara orang) suasana politik di negara mereka berubah, dan mereka mampu kembali sebagai seorang pakar, menabur bakti di negara sendiri. Jadi apakah tanggapan kita terhadap kes-kes sebegini? Itulah ketentuan Allah, ada Rahmat-Nya dalam setiap ujian yang diberikan. Akan tetapi sekiranya kita cuma duduk berserah kepada takdir, kita tidak akan ke mana...jadi carilah jalan terbaik untuk menghadapinya.

Bila kita berada bersama-sama dengan orang yang menghadapi keadaan ini barulah terasa betapa ujian yang kita hadapi terlalu kecil untuk dibandingkan dengan mereka. Betapa tabahnya mereka menempuh detik-detik sukar dalam hidup...Moga Allah memudahkan segala urusan mereka, Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas