Menulis dalam Panas

Perasaan malas menulis sudah bermula, susah juga nak jaga konsistensi ni ya... Dulu-dulu saya ingatkan senang je nak jadi penulis, sebab tulis je... rupa-rupanya barulah faham ada juga penyakitnya.

Bila terlalu banyak berfikir dan tidak diluahkan juga sakit, sebab ia akan menjadi fikiran yang berulang-ulang, lama-lama kita akan dapat tekanan perasaan? Jadi saya cuba ikut cara kawan yang jauh di sana tu, menulis dan menulis apa-apapun agar ia menjadi terapi kepada saya.

Alhamdulillah walaupun suhu di sini teramat panas, pagi-pagi dah terasa bahang panasnya, kipas berpusingpun cuma memutarkan angin yang panas, kenalah banyak bersabar. Memang besar cabaran berada di bumi yang panas ni, lebih-lebih lagi kawasan padang pasir. Memang sukar untuk mendapat air dingin dan sejuk kecuali dari peti sejuk, yang ada cuma air suam sepanjang masa.

Jadi bagi sesiapa yang berminat untuk mandi air suam, tak perlu gunakan heater, mandi terus dari paip pun dah cukup kepanasannya. Agak malang juga bagi sesiapa yang menggunakan air paip pada waktu tengahari kerana air terlalu panas macam air yang baru menggelegak. Jadi bagi mengatasi masalah ini kami terpaksa menyimpan air dalam bekas selama sehari untuk menyejukkannya. Barulah dapat merasa mandi air yang sejuk sikit, sekiranya nak cepat terpaksalah masukkan ketulan ais yang memang sentiasa diperlukan pada musim ini.

Sebenarnya bila berada dalam keadaan panas, kita tidak berminat sangat dengan makanan, yang sentiasa dalam ingatan ialah air dan ais. Kadang-kadang minum bergelas-gelaspun tak terasa...memang perut penuh dengan air je. Alhamdulillah inilah peluang untuk membersihkan perut daripada sisa-sisa makanan yang dimakan selama ini.

Kadang-kadang terfikir indahnya kejadian Allah swt dialam ini, semuanya ada manfaat bagi yang mahu berfikir. Sejuk dan panas silih berganti mengikut musim, bila panas menjelma aktiviti-aktiviti luar terpaksa dikurangkan, masa dapat dihabiskan bersama-sama keluarga alhamdulillah. Apa taknya jika keluar nak duduk di mana-mana terasa bahang kepanasannya di tempat duduk walaupun dah senja.

Yang nyata bila keadaan panas, nak fokuspun susah, banyak sangat gangguannya. Tapi inilah hasil kerja manusia...Bila terlalu panas dan melebihi suhu tubuh manusia, fikirkan apakah kesannya kepada manusia?

Bila diimbas balik sewaktu belajar geografi semasa sekolah menengah dulu, kita diberitahu bahawa suhu khatulistiwa 27 darjah celsius, manakala suhu di kawasan padang pasir ialah 35 darjah celsius. Masa tu terfikir panasnya padang pasir. Itulah ilmu yang disampaikan kepada kami dulu-dulu. Memang suhu tersebut tidak jauh dari fitrah manusia, iaitu suhu tubuh yang sihat 37 darjah celsius. Jadilah manusia mamalia yang berdarah panas, lebih panas daripada suhu alam sekeliling mereka. Itulah logiknya...Allah menjadikannya alam ini sesuai untuk kehidupan manusia. Terfikir juga mungkinkah suhu pada zaman Rasulullah lebih sejuk daripada yang saya pelajari dulu?

Tapi apa yang kita hadapi hari ini amat berbeza dari dulu, suhu di kawasan padang pasir meningkat sehingga lebih daripada 50 darjah celsius. Inilah kesan kerja manusia, suhu bumi meningkat terlalu tinggi, lebih tinggi daripada suhu tubuh manusia, jadi jangan terkejut jika masalah kesihatan akan meningkat juga. Na'uzubillahi min zalik....

Apa yang saya faham ialah Allah menjadikan segala keperluan manusia didunia ini sesuai untuk fitrah kita. Malah panas dan sejuk juga sesuai dengan kita, tapi manusia lah yang menjadi punca kepanasan ini, teknologi yang dihasilkan manusia menyebabkan alam ini berubah menjadi begitu panas.Manusia yang berkiblatkan barat mengikut sahaja segala penemuan barat walaupun ia bertentangan dengan fitrah manusia. Orang-orang Islam juga terikut tanpa berfikir panjang, malah tempat orang-orang Arab yang dah panas, dipanaskan lagi dengan mengorek keluar unsur-unsur panas dari dalam bumi, iaitu minyak.

Jika difikirkan mengapa Allah menutup tempat-tempat panas di bumi ini dengan air laut? Malah Rasulullah juga menjelaskan bahawa laut-laut itu dibawahnya ada kawah-kawah api yang panas, dan dalam hadis lain dijelaskan di situ juga tempat singgahsana iblis dan syaitan. Memang semuanya berkait rapat, iblis dan syaitan dijadikan daripada api yang panas, dan tempat tinggal merekapun berdekatan dengan sumber-sumber panas. Subhanallah...

Mengapa Allah menutup rapi tempat-tempat yang ada galian minyak? Apakah Allah sengaja menjadikan sedemikian, beberapa lapisan lain diletakkan sebelum manusia menemui minyak, itulah tandanya galian ini bukanlah yang sesuai untuk manusia, malah sumber tenaga yang betul-betul diperlukan oleh manusia ialah air. Air juga boleh menjadi sumber tenaga yang baik untuk manusia malah tidak akan merosakkan alam ini. Jadi betullah firman Allah yang menyatakan 'manusialah yang merosakkan alam ini'.

Akan tetapi manusia dijadikan daripada tanah, dan tanah ini memerlukan air untuk menyejukkannya. Tanah yang sentiasa disirami air akan subur, pokok-pokok akan tumbuh dengan segar, malah pokok-pokok ini akan menambahkan kesejukan alam ini, dengan menghasilkan oksigen untuk kita. Akan tetapi apabila 'tanah' ini diselaputi dengan kepanasan maka akan semakin panaslah alam ini.

Jadi apakah ada caranya untuk menyejukkan kembali tubuh kita dan alam ini? Memang ada tapi kita mestilah kembali menghayati sunnah Rasulullah. Banyaknya amalan yang diajarkan kepada kita untuk menyejukkan diri kita, termasuklah makan minum, mandi, amalan kita dan sebagainya. Memang itulah yang mampu menyejukkan alam ini, semakin banyak kita berselawat kepada Rasulullah, tubuh kita akan semakin sejuk...Makin banyak kita beristighfar juga akan menyejukkan tubuh kita. Jika tubuh kita sejuk maka susahlah untuk unsur-unsur panas (iblis dan syaitan) mendekati kita. Makin lembutlah hati kita...makin mudah untuk mengalirkan airmata mengenangkan kesilapan dan kealpaan diri. Mampukah kita???

Memang sejuk dan panas ada bezanya, malah ada kesan yang ketara pada diri insan. Insan yang sejuk akan mudah melakukan kebaikan, sejuk yang digambarkan sebagai ikatan zarah-zarah yang rapat akan merapatkan lagi hubungan sesama manusia. Tetapi panas akan menghuraikan zarah-zarah, ia lebih renggang dan berada jauh antara satu sama lain, lama-lama akan menjauhkan hubungan manusia juga. Malah itulah tugas unsur-unsur panas yang sentiasa mendampingi kita sepanjang hari. Kepanasan mereka bila bersatu dengan kepanasan tubuh manusia akan memecahbelahkan masyarakat.

Mungkin bertolak dari situ kita dapati di Oman, masyarakatnya menghidupkan musim panas dengan program keagamaan, untuk menyejukkan diri manusia, malah untuk merapatkan hubungan sesama mereka, subhanallah. Tiada ruang diberikan kepada unsur panas mendekati mereka walaupun musimnya panas. Itulah ajaran Islam...setiap masa dan ketika kita diberi petunjuk, petunjuk yang akan membawa diri kita lebih dekat kepada Yang Maha Esa.

Ditambah pula dengan kehadiran 'rutob' yang masak pada musim ini, sistem tubuh kita dibersihkan sepenuhnya pada musim ini. Apa taknya 'rutob' yang manis-manis kelat tu amat sedap dimakan ketika lapar pada musim ini, alhamdulillah. Itulah cantiknya ajaran Islam.

Sayangnya tradisi lama makin hari makin terhakis, terkesan dengan globalisasi. Tiada siapa yang dapat melarikan diri daripada serangan ini. Moga Allah meneguhkan hati-hati kita untuk terus mengingati-Nya. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas