Terima kasih Guru-guruku...

Bila dah bercerita tentang guru, maka filem-filem lama akan berputar kembali dalam kotak fikiran ini. Kisah hidup bersama-sama guru-guru tercinta semasa sekolah akan diingati satu persatu.

Persoalan dimanakah mereka kini? Apakah ada kemungkinan untuk bertemu kembali dengan guru-guru ini? Apakah cerita terbaru mereka serta pelbagai lagi persoalan muncul kembali. Sememangnya guru merupakan satu watak penting dalam kehidupan setiap insan, begitu ramai insan yang menabur bakti dalam kehidupan kita, sehingga wujudnya kita berdiri sebagai diri kita sekarang.

Semoga Allah memberi sebaik-baik balasan, memudahkan segala urusan mereka serta memberi Rahmat kepada guru-guruku walau dimana mereka berada kini. Amin.

Sepanjang kehidupan kita sebagai pelajar, akan ada beberapa orang guru yang terus dikenang. Ini bukan bermakna kita tidak menghargai jasa guru-guru lain, akan tetapi guru-guru tersebut telah berjaya meletakkan titik perubahan dalam hidup kita. Jadilah mereka insan yang amat penting dalam kehidupan kita.

Bagi saya guru tingkatan yang pertama di Maahad, Cikgu Raihanah merupakan seorang guru yang amat saya kagumi malah merindui untuk bertemu kembali, walaupun beliau cuma mengajar beberapa tahun saja tetapi beliau mempunyai ciri-ciri tersendiri. Sememangnya saya begitu mengagumi kecekalan beliau, serta mendoakan kejayaan beliau dalam apa jua urusan yang diceburinya. Moga cikgu berjaya...

Dan seorang lagi guru yang telah berjaya mengubah hidup saya ialah cikgu Khairultzam, guru yang telah memberi borang permohonan UIA percuma kepada saya, yang mana tindakan guru tersebut adalah titik permulaan saya mengenal UIA. Sememangnya beliau telah berjaya mempengaruhi saya untuk belajar dalam negeri, seterusnya mengisi borang tersebut. Titik permulaan itu tetap berterusan sehinggalah saya keluar masuk UIA, hingga akhirnya berjaya menamatkan Phd di situ. Barulah saya mengenal UIA sebagai medan pentarbiahan diri yang hebat. Terima kasih Cikgu...Moga Allah merahmati kehidupan cikgu....

Kemudian dalam begitu ramai pensyarah di UIA ada beberapa orang yang juga berjaya meninggalkan kenangan dalam diri ini. Namun orang yang amat saya kagumi adalah Ustaz Ismail Chong Abdullah, pensyarah hadis yang telah berjaya mendidik diri ini mengenal diri. Kegigihan beliau meneruskan usaha-usaha dakwah di UIA amat saya kagumi, sesungguhnya ilmu yang datang dari hati yang ikhlas mampu meninggalkan kesan kepada setiap anak murid yang mendengarnya. Saya masih teringin untuk mendengar kembali tazkirah-tazkirah dari ustaz yang mampu melunakkan hati yang keras ketika itu...Jazakallah.

Seorang lagi pensyarah yang telah meninggalkan begitu banyak kenangan ialah Ustaz Habeeb, saya menukar pengkhususan kepada hadis setelah belajar Takhrij Hadis daripada beliau. Ketika itu saya terasa begitu banyak ilmu dalam hadis yang penting untuk dipelajari, terima kasih ustaz...dan satu nasihat beliau ialah 'belajarlah berkata tidak apabila kita tidak mampu melaksanakannya'. Alkisahnya ketika itu, saya memegang begitu banyak jawatan dalam persatuan dan program universiti, sehingga ia menekan diri, tak sempat menghafal hadis yang diwajibkan oleh beliau. Nasihat itu sentiasa saya ingati sampai sekarang.

Kemudian beliau juga yang menjadi supervisor tesis Phd, namun ketika itu pelbagai ujian dan cabaran yang terpaksa saya hadapi. Supervisor dalam masa yang sama Ketua Jabatan, maka banyaklah ujian dan cabaran yang terpaksa dihadapi, namun akhirnya saya berjaya melepasinya walaupun Ustaz tidak dapat menghadiri viva saya, kerana kesilapan teknikal. Itulah kenangan, namun jasa-jasa Ustaz memang tidak ternilai...moga Allah merahmati Ustaz sekeluarga.

Merekalah diantara guru-guruku yang telah berjaya meninggalkan begitu banyak kenangan pahit manis dalam perjuangan hidup ini, moga Allah merahmati mereka dan guru-guru lain yang begitu banyak berjasa kepada diri ini...Selamat Hari Guru.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas