Musim Panas



Sekiranya mengikut kalendar, sekarang masih lagi musim bunga, akan tetapi suhu harian di Oman menunjukkan peningkatan yang agak ketara. Boleh dikatakan bahawa tahun ini teramat panas, malah minggu lepas terdapat laporan yang disiarkan di dalam akhbar tempatan menyatakan darjah kepanasan sekarang mencecah 52 darjah celsius. Subhanallah...

Malah semalam ketika kami melalui Muttrah Souk pada pukul 11 pagi, papan tanda suhu mencatatkan 47 darjah celsius. Jadi berapakah suhu ketika waktu tengahari? Inilah gambaran kepanasan di sini sekarang...

Biasanya pada musim panas pokok-pokok kurma akan mula masak. Berdasarkan pengalaman berada di sini, biasanya kita akan dapat mula memakan 'rutob' pada pertengahan bulan Jun, akan tetapi pada tahun ini banyak pokok-pokok kurma hiasan dibandar Muscat ini sudah mulai kekuningan dan masak.
Ini kerana buah-buah kurma akan masak pada musim panas. Alhamdulillah pada tahun ini ia boleh didapati lebih awal kerana kepanasan yang melampau ini.

Begitulah musim panas di Oman kali ini, memang boleh dikatakan terlalu panas. Bagi surirumah yang sentiasa berada di dalam rumah, memang ia tidak banyak memberi kesan, tambahan lagi dengan kemudahan penghawa dingin di rumah-rumah, kepanasan ini kurang dirasai. Akan tetapi bagi pekerja dan kanak-kanak sekolah yang terpaksa keluar pada waktu tengahari, memang amat merasai kepanasan ini.

Alhamdulillah di sekolah-sekolah kerajaan Oman jadual waktu mereka sentiasa diubah-ubah bersesuaian dengan musim. Sekiranya musim panas, kelas dipendekkan dan kanak-kanak pulang sejam lebih awal.

Sanggupkah kita menghadapi kepanasan ini? Memang ramai yang tidak sanggup berada di sini pada musim panas walaupun menggunakan alat penghawa dingin. Sebab itulah ramai yang menggunakan musim ini untuk keluar melancong ke negara-negara yang lebih sejuk termasuklah negara-negara di Asia Tenggara.

Malah bagi pekerja asing, inilah waktu untuk pulang menghabiskan cuti di negara sendiri yang lebih sejuk. Itulah kelebihan yang mampu kita perolehi daripada kepanasan ini...melarikan diri sementara.

Namun begitu bagi penduduk-penduduk Oman, inilah masa untuk mereka berkumpul mengadakan pelbagai program ilmu termasuklah kelas-kelas agama dan menghafal al-Quran. Begitu juga pelbagai 'summer camp' diperkenalkan di sana-sini untuk melarikan dari daripada bahang kepanasan.

'Alah bisa tegal biasa', bagi penduduk tempatan di sini, cuaca panas adalah biasa bagi golongan tua, malah mereka tidak berminat untuk berada di dalam bilik-bilik berhawa dingin. Ini berbeza dengan generasi baru yang tidak semantap mereka, yang memang tidak sanggup keluar dari bilik yang dingin dalam keadaan sebegini. Itulah pengalaman berada dengan orang-orang Oman. Kagumnya melihat generasi tua yang begitu tabah menghadapi kepanasan ini.

Jadi bila bercerita tentang musim panas, ia berkaitan dengan kurma. Inilah waktu buah-buah kurma mulai masak serta memberi faedah kepada manusia. Inilah juga waktu 'rutob' dikeringkan menjadi 'tamar'. Apakah pengajaran yang dapat kita perolehi dari sini?

Bila kita membaca hadis, Rasulullah saw mengumpamakan mu'min seperti pohon kurma. Apakah mu'min juga mampu memberikan manfaat kepada makhluk lain pada musim panas seumpama kurma? Apakah mu'min juga mampu masak ketika menghadapi kepanasan? Inilah persoalan yang sentiasa difikirkan...

Memang inilah masanya mu'min menunjukkan kebaikan membantu sesama mereka dan makhluk lain. Bayangkanlah dalam keadaan panas begini, haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan juga memerlukan air. Di sana-sini kelihatan kucing-kucing yang kurus kering dan kepanasan, mu'min mana yang sanggup melihat haiwan ini kehausan. Burung-burung juga dahagakan air...beruntunglah mereka yang sanggup menyediakan bekalan air untuk haiwan-haiwan ini. Walaupun hanya sekadar menyediakan sedikit air untuk binatang-binatang ini di beranda rumah, ia cukup untuk membantu mereka meneruskan hidup di alam ini.

Malah bila berada dalam cuaca sebegini ia cukup mengingatkan kita tentang siapa kita. Apakah tujuan kita hidup di alam ini? Apakah persediaan yang telah kita buat untuk kehidupan kita di akhirat nanti?

Jadi peringatan buat diri....
Kepanasan di dunia ini mungkin tidak sepanas apa yang akan kita hadapi di akhirat nanti. Di dunia ini kita masih mampu melarikan diri daripada kepanasan alam sekeliling, tapi apakah yang dapat membantu kita diakhirat nanti? Bersedialah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas