Selamat Hari Guru

Hari ini dah 16 Mei, tarikh sambutan hari Guru di Malaysia...jadi saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru buat Semua Guru-guru termasuklah guru-guru saya di Mentuan, Maahad dan UIA. Juga buat kakak dan adik suami isteri yang menjadi guru...profession yang amat hebat di mata saya. Tanpa guru siapalah kita.

Juga buat guru pertama iaitu ibunda tercinta...memang banyak ilmu yang saya pelajari daripada beliau seperti memasak, menjahit, mengaji al-quran serta pelbagai lagi ilmu yang tidak didapati dari tempat lain.

Bila tiba tarikh ini teringat juga kisah lama sewaktu saya menjadi guru sandaran di Johor suatu ketika dulu, alhamdulillah sempat juga saya menyambut hari Guru ketika itu, sekali seumur hidup. Ini kerana bila berpindah ke UIA, tiada sambutan hari guru diadakan...pensyarahpun guru tetapi tiada siapa yang mengingati pensyarah sebagai guru-guru mereka, kesian pensyarah U.

Namun kenangan mengajar setahun setengah di situ akan tetap saya kenang, maklumlah mengajar dalam keadaan tak serupa sekolah. Nasib guru agama ketika itu yang terpaksa mengajar pelajar dalam jumlah yang begitu ramai (lebih kurang 90 orang satu kelas) kerana masalah tidak cukup guru-guru agama. Jadi kelas terpaksa diadakan di dalam dewan solat, dalam keadaan duduk, macam ceramah agama je. Nasibku...bila pelajar dah kepenatan mereka minta untuk menulis sambil meniarap...hahaha, terpaksalah menerima permintaan mereka kerana kesian.

Sememangnya airmata adalah teman ketika itu memikirkan nasib anak bangsa. Rupa-rupanya dah bertahun-tahun pelajar sekolah tersebut terpaksa belajar agama dalam keadaan sebegitu sebelum saya ditempatkan ke situ. Malah guru-guru agama sudah jemu mengajukan permintaan untuk ditambah guru-guru agama, kerana permintaan mereka tidak dilayan pihak atasan.

Bayangkan apa akan jadi bila pelajaran agama dianggap tidak sepenting matapelajaran lain? Apakah bentuk masyarakat Islam yang akan terhasil? Entah kenapa saya tidak terasa malu untuk bercakap setiap kali mesyuarat memohon agar pelajaran tersebut diberi perhatian, memang setiap kali bercakap, air mata turut sama mengalir. Itulah kenangan lama yang akan terus kekal dalam memori diri ini sebagai guru.

Alhamdulillah, perjuangan itu tercapai dengan dilakukan perubahan jadual sebagai permulaan, yang mana jumlah pelajar diperkecilkan, kemudian setahun selepas saya meninggalkan sekolah tersebut, jumlah guru-guru agama ditambah. Moga-moga kelas agama tidak dianggap membebankan pihak sekolah seperti yang pernah berlaku suatu ketika dulu.

Begitulah kisah guru-guru agama...apakah kedudukan mereka dimata masyarakat kini? Selamat Menyambut Hari Guru 2009. Keikhlasan guru menabur bakti akan memandaikan bangsa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas