Bulan Tak Produktif

Entah kenapa ye, malas je rasa nak menulis walaupun pelbagai peristiwa yang meninggalkan kenangan berlaku bulan ini.

Alhamdulillah bulan ini kami banyak menghabiskan masa diluar, melawat tempat-tempat yang belum pernah dikunjungi sebelum ini. Walaupun dah dekat 4 tahun berada di Oman tapi kami lebih banyak menghabiskan masa di Muscat saja, memang belum pernah ke Muhafazah lain. Walaupun begitu ia sudah cukup menyeronokkan kami sekeluarga.

Bila banyak berjalan maka tugasan pun agak lebih daripada biasa. Maklumlah kami dah terbiasa memakan makanan dari rumah, jadi bila ada program sebegini, kenalah menyiapkan bekalan untuk dimakan diluar. Sememangnya kami belum pernah makan dimana-mana kedai makan semenjak berada di Oman kecuali atas jemputan teman-teman. Buat kami sekeluarga, biarpun masakan dari rumah agak biasa, tapi ia tetap sedap bila dibawa untuk dimakan bersama-sama diluar rumah.

Kadang-kadang terfikir nak mengambil cuti memasak dan makan diluar, tapi bila mengenangkan suami yang begitu menekankan kebersihan makanan, serta menghargai masakan isterinya, semangat untuk memasak kuat kembali.

Malah bila bersembang dengan surirumah Arab, begitu juga sikap suami mereka. Ramai yang lebih rela berlapar diluar, semata-mata untuk balik makan bersama-sama keluarga di rumah. Jadi kenalah redha dengan keadaan ini.

Sebenarnya kita (orang Malaysia) dah terbiasa untuk makan diluar, tambahan lagi dengan wujudnya pelbagai restoran dan kedai makan, tunjuk aje makanan dah siap. Kadang-kadang kita kurang mengambilkira tentang penyediaan makanan tersebut, yang penting ia sedap dimakan. Malah ramai yang ambil mudah walaupun ada orang memberitahu tentang tahap kebersihan makanan diluar yang rendah. Yang penting bagi kita ialah perut kenyang.

Alhamdulillah bila berkahwin dengan warga Arab ni kenalah mendidik diri untuk menyediakan makanan yang terbaik untuk keluarga. Banyak hikmahnya bila kita menyediakan sendiri makanan untuk ahli keluarga kita.

Jadi bulan ini surirumah ini agak kurang produktif dalam penulisan, tetapi produktif dalam urusan memasak. Banyak masa dihabiskan didapur alhamdulillah....

Jadi nak berkongsi resepi terbaru ke? Ada satu resepi ringkas dan baik untuk keluarga yang saya perolehi semasa Mahrajan Muscat awal tahun ini. Boleh la sesiapa yang berminat mencubanya.

Kek Tanpa Telur
Bahan-bahannya:
2 cawan tepung gandum
1/2 cawan minyak (minyak zaitun @ minyak bunga matahari)
1/2 cawan jus oren
3/4 cawan susu cair
1/2 cawan madu kurma (dabas)
beberapa titik esen limau
2 sudu kecil baking powder
sedikit garam

Untuk hiasan:
1/4 cawan madu kurma
2 sudu koko

Cara membuatnya:
Campurkan kesemua bahan-bahan diatas sehingga sebati, kemudian dibakar didalam oven selama 30 minit dengan suhu 180 darjah celsius.

Bagi yang inginkan rasa yang lebih manis sapukan madu kurma dan koko di atas kek tersebut.

Cubalah...anda pasti terpikat dengan rasa manis madu kurma tersebut, tambahan lagi ia tidak menggunakan gula dan telur.

p/s - Kebanyakan resepi Arab menggunakan minyak menggantikan penggunaan mentega @ margerin, yang mana ini lebih baik untuk keluarga kita, malah kita boleh menggantikan dengan minyak zaitun yang lebih menyihatkan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas