Bunga Memberi Ketenangan



Alhamdulillah hari ini terbuka hati ini untuk berkongsi sedikit maklumat yang telah dipelajari selama ini tentang bunga dan kita. Apakah ada perkaitan antara kita dan bunga? Mengapa setiap orang menyukai bunga-bunga yang berbeza? Bunga yang cantik di mata A tidak cantik pada pandangan B, mengapa begitu?

Begitulah hebatnya kejadian Allah di alam ini. Setiap kejadian-Nya memberi manfaat kepada insan dan makhluk lain.


Bila kita berada dalam satu kawasan yang kering-kontang maka pokok-pokok dan bunga-bungaan akan memberikan sejumlah ketenangan kepada kita. Malah jika kita ingat dalam perbincangan lalu, Rasulullah saw mengumpamakan manusia seperti pohon kurma. Mengapa Rasulullah memilih tumbuh-tumbuhan bukannya binatang? Bila kita fikirkan balik ada banyak ilmu yang mampu perolehi dari situ. Betapa pohon kurma memberi pelbagai manfaat kepada manusia, begitu juga tumbuh-tumbuhan lain.

Malah bila berada di bumi Oman ini, memang amat terasa keinginan untuk menatap kehijauan taman dan pokok, sedangkan semasa di Malaysia perasaan ini tidak pernah timbul. Mungkinkah kehijauan alam sekeliling yang boleh dilihat dimana-mana sentiasa memenuhi keinginan hati. Jadi kita tidak sedar kepentingannya dalam hidup kita. Begitulah manusia.

Barulah tersedar betapa pentingnya tumbuh-tumbuhan dalam hidup manusia, bukan sekadar membekalkan oksigen tetapi lebih dari apa yang mampu kita gambarkan.

Menurut kajian CVT, setiap bahagian pokok mempunyai perkaitan dengan kita, malah mampu dijadikan ubat untuk menyembuhkan penyakit kita. Ini kerana kita dan tumbuh-tumbuhan adalah sebagai pengguna tenaga dari sumber yang sama. Jika kita telah mengalami kekurangan tenaga, dari manakah kita harus mencari sumber gantinya?

Begitulah sebatang pokok secara keseluruhannya mempunyai tenaga yang berlainan getarannya seperti berikut:
Bunga - mempunyai kuasa spirit
Kelopak- bertindak untuk menstabilkan emosi dan mental dalam keadaan yang mendadak.
Buah-buahan - untuk kestabilan bahagian pernafasan dan penghadaman
Kulit pokok atau berbagai kulat - mempunyai peranan untuk penyembuhan berbagai penyakit kulit.
Akar - untuk penyakit yang menguasai bahagian saraf fizikal seperti tulang, darah dan usus
.
Memang kehijauan rumput sudah cukup menenangkan hati sesiapa yang memandangnya, apatah lagi sekiranya kita dapat melihat bunga-bunga yang berwarna-warni. Subhanallah.

Mengkaji bagaimana tumbuh-tumbuhan menggunakan cahaya matahari untuk membuat makanan adalah sesuatu yang unik. Tenaga dari tumbuhan ini memberi tenaga untuk hidup malah bertanggungjawab mengatur keceriaan dan kasih-sayang. Apabila tumbuh-tumbuhan tidak lagi wujud, maka apakah akan ada lagi kehidupan dialam ini?

Jika kita perhati...setiap kali kita memandang kehijauan tumbuh-tumbuhan, kita akan mendapat ketenangan yang tidak ada bandingannya. Maka tidak hairanlah jika tumbuh-tumbuhan itu diperlukan untuk menstabilkan ketidakharmonian dalaman yang kita alami.

Tumbuhan walaupun dicemari tetap dapat menyesuaikan diri dengan alam sekitar untuk terus hidup dengan penuh bertenaga. Malah ia membantu membersihkan karbon dioksida daripada udara disekeliling kita, serta menghasilkan udara bersih untuk kegunaan manusia. Subhanallah.


Apakah perkaitan manusia dan bunga? Mengapa kita memilih bunga-bunga tertentu? Mengapa bunga mawar yang dipilih untuk meluahkan kasih sayang kita? Apakah yang ada pada sekuntum bunga mawar?

Memang menarik persoalan ini...jawapannya juga ada pada misteri mandi bunga. Mengapa amalan ini menjadi pilihan ramai orang di alam ini? Apakah manusia zaman dulu berpakat untuk sama-sama mengamalkan amalan ini walaupun tidak pernah bertemu ataupun sememangnya bunga mempunyai unsur-unsur tertentu yang sesuai dengan kita? Sama-samalah kita fikirkan...

Apakah yang ada pada sekuntum bunga pink? bunga merah? bunga putih dan pelbagai warna lagi. Itulah kelebihan bunga yang tidak pernah disedari oleh kita. Sebenarnya bunga-bungaan berkaitan dengan rohani kita, bila tenaga spirit bahagian tersebut kurang maka kita akan tercari-cari bunga yang akan mengimbangi kelemahan tersebut.

Kadang-kadang kita menyukai bunga ros tanpa menyedari itulah kelemahan dalaman kita, jadi apabila melihat bunga tersebut kita mendapat kekuatan tersebut. Subhanallah.

Bila bercerita tentang bunga maka ia berkaitan dengan warna. Warna-warna inilah yang memberi cahaya kepada kita, sebab itulah kita dapati seorang yang mantap dalamannya akan memiliki wajah yang bercahaya.

Namun apakah ada orang yang tidak menyukai bunga? Mengapa?

Banyaklah ilmu yang mampu kita perolehi hanya sekadar berfikir tentang bunga-bungaan. Jenis bunga, bilangan kelopak bunga dan warnanya semuanya ada maksudnya yang hanya didapati oleh orang yang ingin berfikir.

Satu persoalan lagi ialah mengapa Allah menjadikan bunga-bungaan hanya sekadar hiasan bukan latar belakang alam ini? Apakah putih, hijau dan biru lebih dominan dalam diri manusia, sama-samalah kita berusaha mencari jawapannya...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas