Hadis Pilihan (Menasihati Anak-anak)

عن عبدالله بن عباس رضي الله عنها قال: كنت خلف النبي صلى الله عليه وسلم يوما فقال: يا غلام إني أعلمك كلمات:احفظ الله يحفظك، احفظ الله تجده تجاهك، وإذا سألت فاسأل الله، وإذا استعنت فاستعن بالله، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك، رفعت الأقلام وجفت الصحف

Maksudnya:
Daripada Abdullah ibn Abbas r.a yang berkata: "Suatu hari ketika aku berada dibelakang Rasulullah saw, baginda bersabda: Wahai ghulam, sesungguhnya aku ingin mengajarkanmu perkataan-perkataan iaitu jagalah Allah sesungguhnya DIA akan menjaga kamu, jagalah Allah kamu akan dapati DIA menjagamu, apabila kamu ingin bertanya atau meminta sesuatu maka mintalah daripada-NYA. Dan ketahuilah bahawa sekiranya satu umat berkumpul untuk memberi manfaat kepadamu, tapi tidak mampu melaksanakannya jika ia tidak ditetapkan oleh Allah kepadamu. Begitu juga sekiranya satu umat berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak akan mampu melaksanakannya tanpa ketetapan daripada-NYA, telah terangkat qalam, dan telah tertulis dalam suhuf."

Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a, yang masih kanak-kanak ketika itu. Perkara-perkara yang disebutkan dalam hadis ini amat bersesuaian untuk kita ingatkan kepada anak-anak kita.

Jika kita lihat dalam hadis ini, Rasulullah saw menyebut 'ya ghulam' iaitu kanak-kanak bermula daripada mula makan hinggalah sembilan tahun. Jadi peringatan sebegini patut diberikan kepada anak-anak kita sebelum mereka meningkat remaja.

Diantara peringatan dalam hadis ini ialah:
1- "jagalah Allah, sesungguhnya DIA akan menjaga kamu" iaitu kita menjaga kewajiban kita, batas-batas dan melazimi ketaqwaan kepada-Nya serta menjauhi segala larangan-Nya. Apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah, maka Allah akan menjaga kita juga, keluarga kita, anak-anak kita serta urusan dunia dan akhirat kita.

2- Apabila bertanya atau meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah swt. Tanyalah apa-apa yang kita inginkan penjelasannya daripada Allah swt, nescaya kita akan beroleh penjelasan yang meyakinkan.

3- apabila meminta tolong, maka mintalah daripada Allah swt. Ini menunjukkan bahawa setiap hamba mestilah mengantung harapan sepenuhnya kepada Allah swt, serta bertawakkal kepada Allah dalam setiap urusannya. Elakkan daripada bergantung harap kepada manusia kerana hanya Allah swt Yang Maha Pemberi (al-mu'ti) segala sesuatu.

4- Ingatlah manfaat dan musibah yang berlaku telah ditetapkan oleh Allah kepada kita. Walaupun orang lain berkumpul untuk membantu kita, tetapi tidak akan mampu sekiranya tidak terdapat dalam catatan Allah swt, begitu juga orang yang ingin menghancurkan kita, tidak akan mampu melaksanakannya jika tidak tercatat dalam qada' dan qadarnya.

Hadis ini menjadi dalil betapa pentingnya pembentukan personaliti Muslim, mengingatkan anak-anak kita agar bersyukur menjadi orang Islam serta bersyukur di atas rahmat ini.

Juga tidak seharusnya seorang Muslim takut dengan kekurangan rezekinya, atau berputus asa dengan kesusahan hidup mereka. Ingatlah bahawa manfaat dan mudarat telah ditetapkan, jadi orang Islam yang hatinya sentiasa ingatkan Allah akan meredhai apa yang telah ditetapkan ke atas mereka, serta berusaha untuk melakukan yang terbaik dalam hidup mereka.



Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas