Menonton TV - Pro dan Kontra

Tiba-tiba teringat tentang menonton TV, elok ke tidak? Ramai yang melihat TV sebagai punca terjadinya akhlak-akhlak negatif kepada masyarakat hari ini.

Sayapun dulu-dulu berfikiran begitu, malah semenjak menjejakkan kaki ke Matrik UIA 1989, saya cuba melupakan TV sebagai sumber informasi. Memang saya jarang sangat menonton TV, tambahan lagi kesibukan belajar dan aktiviti-aktiviti luar menjadikan saya terlupa tentang TV. Entah kenapa terasa malu nak menjejakkan kaki ke bilik TV di asrama, sedangkan ramai kawan-kawan menghabiskan masa di situ sambil membaca suratkhabar.

Kemudian bila berkahwin, keadaan yang sentiasa sibuk dirumah, menyebabkan memang tak cukup masa untuk duduk-duduk didepan TV. Akan tetapi kami sekeluarga akan meluangkan masa menonton National Geographic, anak-anak cakap 'cerita binatang'. Dah ditakdirkan kami sekeluarga sukakan program sebegini, malah suami akan tambah pelbagai informasi yang dia tahu tentang binatang tersebut. Seronok juga...

Namun bila balik bercuti setiap tahun saya agak kecewa dengan program-program yang disiarkan di TV tempatan, tidak banyak yang menyediakan informasi yang bermanfaat. Seingat saya setiap saluran ada menyiarkan cerita-cerita bersiri Indonesia, terasa seolah-olah berada di Indon bukan negara sendiri. Sayangnya...tapi orang yang berada di tanahair lebih tahu tentang isu ini.

Bila berada di sini, pada awalnya saya cuma menonton TV Oman sekadar ingin melihat adat dan budaya mereka, serta mengikuti perkembangan semasa di Oman. Tapi kemudian minat saya berubah bila berpeluang menonton pelbagai program di saluran-saluran agama. Malah terasa rugi bila terlepas program-program tertentu.

Alhamdulillah terasa bertuah bila dapat menonton siri kuliah Syeikh Tantawi, Syeikh Said Ramadhan Al-Bhuti, Syeikh Al-Nabulsi serta pelbagai lagi siri kuliah yang disiarkan. Malah terdapat begitu banyak program-program yang bermanfaat disediakan setiap masa. Inilah peluang untuk mendapat sedikit-sebanyak ilmu daripada ulama-ulama terkenal, walaupun cuma menonton TV.

Program-program sebegini telah mengubah perspektif saya yang negatif tentang TV suatu ketika dulu. Sebenarnya TV boleh dijadikan sumber ilmu jika digunakan sebaik-baiknya. Malah anak-anak saya banyak belajar bahasa Arab daripada TV, ini kerana kami meletakkan syarat bahawa mereka cuma boleh menonton program yang menggunakan bahasa Arab fushah sahaja. Jadi pelbagai perkataan, dan ayat-ayat yang mereka perolehi daripada TV.

Sama ada TV memberikan kesan positif atau negatif ia terpulang kepada cara kita memilih program. Sekiranya kita memilih program-program yang baik kita akan mendapat manfaat, begitu juga jika kita cuma menonton siri-siri yang tidak memberi input positif, maka negatiflah kesannya. Fikir-fikirkanlah....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas