Selamat Hari Ibu...Jazakillahu khairan

Bulan ini adalah bulan sambutan hari ibu, tapi di Oman ia diraikan pada bulan Mac setiap tahun. Malah dalam TV Arab promosinya diadakan pada setiap kali bulan Mac. Masa tu itu lagu-lagu tentang ibu disiarkan setiap hari menyebabkan anak-anak mengingati hari ibu.

Namun apakah sambutan hari ibu hanya khusus pada waktu tersebut saja? Apakah pada waktu itu saja kita menunjukkan kasih kita kepada ibu kita? Sama-samalah kita fikirkan kembali. Bak kata seorang penceramah: "Sepatutnya kita raikan ibu kita setiap hari, tapi bila dah dijadikan tradisi sebegini, kita seolah-olah terikat dengan sambutannya, malah ibupun ternanti-nanti apakah hadiah yang akan diberikan padaku kali ini".

Alhamdulillah pada sambutan tahun lepas saya dijemput menghadiri sambutan hari ibu peringkat sekolah anak-anak. Jadi saya berpeluang melihat pelbagai persembahan sempena hari ibu dipersembahkan oleh kanak-kanak sekolah termasuk anak sulung saya. Sebagai penutupnya acara penyampaian hadiah dilakukan, tiba-tiba nama saya disebut untuk menerima hadiah, 3 orang anak saya yang bersekolah disitu amat seronok. Terfikir pula saya apakah sumbanganku hingga diberi hadiah sebagai 'ibu contoh' disini?.

Apa-apapun alhamdulillah, terima kasih kepada pihak sekolah atas anugerah itu. Suami saya cakap: "dok rumahpun berpeluang dapat hadiah, bila nak bagi hadiah hari bapa pula?"

Bila pulang ke kampung semasa cuti musim panas tahun lepas pula, saya terkejut melihat "Sijil Anugerah Ibu Mithali" tergantung diruang tamu rumah saya. Alhamdulillah rupa-rupanya mek (mak saya) terpilih sebagai salah seorang pemenang anugerah ibu mithali di negeri Kelantan. Bila korek-korek cerita, rupa-rupanya ramai yang dicalonkan oleh kerajaan negeri Kelantan untuk anugerah ini sebagai penghargaan kepada ibu.

Menurut ibu, dia bukan mengharapkan sangat anugerah itu, memandangkan tugas mendidik anak-anak dah tugas asasi. Malah kejayaan 7 orang anak beliau melanjutkan pelajaran di universiti dalam pelbagai bidang, adalah hasil susah payah beliau selama ini.

Alhamdulillah, begitulah penghargaan yang diberikan kepada ibu-ibu hari ini. Moga penghargaan kepada ibu-ibu ditunjukkan setiap waktu bukannya menunggu sambutan hari ibu saja.

Memang kehidupan kami sekeluarga amat susah, tapi ketabahan Mek menghadapi semua itu menjadi dorongan kepada saya agar lebih kuat berusaha. Apa yang paling saya kagumi ialah kebijaksanaan beliau mengurus kewangan keluarga walaupun tidak pernah belajar ilmu pengurusan. Sikap berjimat-cermat dan berdikari adalah keistimewaan beliau.

Itulah kelebihan beliau yang tidak mampu saya tandingi. Teringat komen seorang bapa saudara: "cakap susah tapi dapat bayarpun yuran peperiksaan anak-anak". Memanglah dulu-dulu nak bayar yuran peperiksaan SPM dan SPTM adalah satu jumlah yang besar bagi sebuah keluarga yang daif, tapi kebijaksanaan mek menabung membantu kami semua. Alhamdulillah.

Jika nak diimbas kembali kenangan masa lalu, memang terlalu banyak, tetapi kesusahan itulah yang mengajar kami berdikari. Kesempitan hidup juga yang menghadiahkan kejayaan kepada kami adik-beradik hari ini. Alhamdulillah.

Satu kelebihan mek ialah beliau amat mementingkan didikan agama. Memandangkan beliau tidak memiliki pelajaran tinggi, beliau amat menekankan agar anak-anak dihantar ke sekolah Arab supaya dapat belajar ilmu agama. Bagi beliau:"sekiranya tidak berjaya masuk U sekalipun anak-anak yang belajar sekolah Arab akan mampu berjaya dalam hidup kerana memiliki ilmu agama". Itulah prinsip yang dipegang kuat oleh Mek selama ini, hinggakan semua anak-anak beliau belajar sekolah Arab.

Moga Allah merahmati Ibu (Mek) dan semua Ibu yang ikhlas mendidik anak-anak agar menjadi insan berguna. Selamat Hari Ibu...Jazakillahu khairan.

Ulasan

Rosnah berkata…
wah.wah.. saing aku, anugerah mithali.. tahniah! nah disini tak lah rasa sgt haribu. lagipun hari ibu dekat-dekat dengan tarikh hari guru.. anyway tahniah2,,,
aliza berkata…
Terima kasih,
Tu la terkejut, entah apa sebab cikgu pilihpun tak tahu. Anak 3 orang di situ kot, semua mahir menulis khat.

Cuma peringkat sekolah rendah anak-anak je...malu pulak nak terima.

Tapi di sekolah memang ada sambutan tiap-tiap tahun,lebih hebat daripada sambutan hari guru.

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016