Surirumah dan Seni Khat

Alhamdulillah saya telah berkesempatan menghadiri kursus Seni Khat khusus untuk surirumah anjuran Yayasan Restu dan Kementerian Wanita pada sesi 2003/2004. Ketika itu Yayasan Restu masih lagi bertempat di Sungai Buluh, Selangor. Tujuan utama saya menghadirinya adalah untuk mengimbas kembali ilmu yang pernah dipelajari ketika sekolah menengah, rupa-rupanya kursus itu memberikan sedikit sebanyak teknik menulis khat, kemudian difokuskan kepada penulisan khat dengan anak-anak.

Memang banyak perkongsian yang diperolehi dari situ. Walaupun ketika itu anak-anak masih kecil tapi alhamdulillah ia banyak menjadi panduan kepada saya untuk mempraktikkannya hari ini.

Sememangnya menulis khat boleh dijadikan aktiviti keluarga yang menarik, yang mana kita bersama-sama menulis dengan anak-anak. Biasalah kanak-kanak amat seronok apabila melakukan aktiviti bersama-sama dengan ibubapa, jadi ia akan membantu mereka mempelajarinya dengan lebih mudah.

Saya cuma menjadikannya sebagai satu latihan bersama-sama mereka, apabila salah seorang daripada anak-anak saya meminta diajarkan cara menulis huruf yang betul. Biasanya kesemuanya ada berhimpun untuk menunjukkan kemahiran masing-masing, membetulkan mana yang kurang.

Anak yang sulung memang betul-betul berminat untuk belajar khat, malah itulah kegemaran yang selalu disebutkannya. Alhamdulillah anak pertama dan kedua telah mampu menulis lebih baik dengan sedikit teknik yang saya pelajari dari situ.

Di antara panduan yang saya dapat semasa kursus tersebut ialah kita boleh menjadikan aktiviti menulis al-quran keluarga yang mana ia satu idea yang amat menarik jika kita dapat lakukan bersama-sama ahli keluarga kita. Ini kerana apabila kita ingin menulis al-quran, kita mestilah memastikan kita suci daripada hadas kecil dan besar ataupun berwuduk. Jadi anak-anak akan terlatih menjaga wuduk mereka sepanjang masa, seterusnya menghindarkan mereka daripada masalah lain.

Buat kami, baru pada peringkat permulaan, anak-anak baru belajar menulis dengan sedikit teknik asas. Insya Allah apabila kesemua dah mahir menulis barulah idea menulis al-quran keluarga sebagaimana dianjurkan oleh Yayasan Restu mampu dilaksanakan. Moga Allah memudahkan segala-galanya. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas