APA NIAT ANDA HARI INI?

Niat adalah perkara penting untuk diamalkan dalam kehidupan seharian kita, kerana setiap kerja bergantung kepada niat. Ia dapat membantu kita menyempurnakan segala urusan kita dangan ikhlas dan penuh bertanggungjawab.

Allah swt berfirman dalam surah Al-Bayyinah:5
وما أمروا إلا ليعبدوا الله مخلصين له الدين حنفاء ويقيموا الصلوة ويؤتوا الزكوة

yang bermaksud;
"dan mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan yang demikian itulah agama yang lurus"

Rasulullah bersabda: "sesungguhnya setiap perbuatan itu dimulai dengan niat..."

Jadi, amat perlu kita memulakan setiap hari kita dengan berniat, dan sentiasa mengingati niat tersebut. Berniat untuk melakukan perkara-perkara baik sahaja, agar kita beroleh keredhaan Allah sepanjang masa.

Diantara cara terbaik untuk berniat:
1. Niat setiap pagi sebelum memulakan apa-apa kerja.
Niatkanlah segala kerja kita sebagai ibadah kepada Allah swt agar kita dapat beroleh pahala. Ia juga dapat membantu kita mencapai ketenangan kerana kita tahu apa yang kita kerjakan itu adalah satu bentuk ibadah kepada Allah swt.
Bagi suriumah, niat kita berada dirumah adalah untuk keharmonian keluarga kita.

2. Sentiasa mengingati niat tersebut.
Bila kita sentiasa ingat apa niat kita segala urusan akan lebih terancang dan beroleh keberkatan Allah swt. Ingatlan syaitan dan iblis akan selalu berusaha agar kita lupa apa niat sebenar kita. sebab itulah apabila kita sentiasa mengingati niat tersebut, gerak kerja kita sehari-hari akan lebih mantap.

3. Imbas kembali apa niat kita sekiranya terlupa.
Cara terbaik ialah dengan menulis agar kita tidak terlupa niat tersebut, biarlah ia sentiasa diperbaharui agar ia merangkumi setiap keinginan kita.

4. Niat mestilah ikhlas dan specific.
Pastikan niat kita dilakukan dengan ikhlas kerana Allah swt. Sebaik-baiknya ia dipecah-pecahkan kepada niat-niat kecil yang lebih menjurus kepada apa yang ingin kita capai dalam hidup kita.

5. Niat dalam hati, bukan dilafazkan dimulut.
Ini kerana Allah swt lebih mengetahui apa niat kita, disamping itu ia dapat mengelakkan diri kita daripada gangguan unsur-unsur luar (jin,iblis, syaitan dan qarin) yang sentiasa berniat jahat kepada kita. Bila ia berada dalam hati kita, unsur-unsur tersebut tidak berdaya untuk mengacaunya kerana itu diluar pengetahuan dia.

Niat juga lebih kurang sama dengan planning, yang mana apabila kita mempunyai planning setiap hari maka masa kita berlalu dengan melakukan perkara yang bermanfaat, sedangkan sekiranya kita tidak mempunyai planning maka hari tersebut berlalu tanpa dapat menyempurnakan tugasan kita.

Apabila kita merangka tugasan seharian, dan menghadirkan niat bersama-sama, jadilah urusan tersebut sebagai ibadah kita. Ia bukan sekadar planning, bahkan lebih dari itu.

Sebagai Muslim, kita diingatkan untuk berniat dalam setiap ibadat wajib dan sunat yang kita lakukan iaitu solat, zakat, puasa, umrah dan haji. Malah niat merupakan rukun, dan syarat sah ibadat-ibadat tersebut, tanpa niat sia-sialah amalan itu.

Begitulah pentingnya niat dalam kehidupan kita, jadi apa salahnya kita jadikan ia sebagai amalan seharian kita agar setiap detik waktu kita diberkati Allah swt.

Bila kita mengkaji balik semasa bulan Ramadhan kita dapat melakukan banyak perkara yang bermanfaat sepanjang hari, kerana kita berniat di malam hari dan kita sentiasa menjaga niat tersebut. Niat dan doa selalu kita amalkan sepanjang bulan Ramadhan, akan tetapi ia selalu terhenti apabila berakhirnya ramadhan.

Sekiranya kita lihat sepanjang sebulan bulan Ramadhan kita dilatih untuk berniat, kerana puasa kita tidak sah tanpa niat. Kita juga diajarkan supaya sentiasa mengingati niat tersebut sepanjang hari terutama sekiranya ingin melakukan perkara yang membatalkan pahala puasa,kita dianjurkan supaya menyebut ”aku berpuasa”. Pernahkah kita berfikir kenapa dan mengapa niat adalah antara syarat-syarat sah puasa?

Inilah kepentingan niat dalam kehidupan seharian kita. Sesetengah orang menganggap niat tidak penting terutama apabila kita melakukan perkara yang sama secara rutin, secara otomatik kita boleh menyiapkan tugasan tersebut. Akan tetapi sebagai seorang Muslim, untuk menjadikan perbuatan kita dikira ibadah dan mendapat balasan yang sewajarnya daripada yang Maha Esa, kita perlu kepada niat.

Ini berpandukan kepada hadis Qudsi daripada Rasulullah saw;
إن الله كتب الحسنات والسيئات، ثم بين ذلك: فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله تبارك وتعالى عنده حسنة كاملة، وإن هم بها فعملها كتبها الله عنده عشر حسنات إلى سبعمائة ضعف إلى أضعاف كثيرة، وإن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله عنده حسنة كاملة، وإن هم بها فعملها كتبها الله سيئة واحدة

Yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah swt mencatat segala kebaikan dan keburukan. Kemudian DIA menjelaskannya. Apabila seseorang hamba-Ku berniat untuk melakukan kebaikan dan tidak dikerjakannya, maka Allah mencatat disisi-Nya satu kebaikan. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kebaikan dan melakukannya, maka dicatat-Nya sepuluh hingga tujuh ratus kali kebaikan yang amat banyak. Dan apabila hambaku bermaksud hendak mengerjakan suatu keburukan tetapi tidak dilaksanakannya, maka Allah swt menulis disisi-Nya satu kebaikan yang sempurna, dan sekiranya dia bermaksud melakukan keburukan dan melaksanakannya, maka Allah swt mencatat satu keburukan."

Jadikanlah niat sebagai satu cara kita menghampirkan diri kepada Allah swt, agar setiap masa kita dikira sebagai ibadah kepada Allah swt. Di samping itu ia dapat membentuk diri kita sebagai seorang Muslim yang fokus dalam kerja-kerja kita, malah ia juga dapat membenteng diri kita daripada melakukan perkara-perkara mungkar dan keji.

Berniatlah dari sekarang untuk memasang niat dalam setiap urusan kita, untuk kejayaan sejati didunia dan diakhirat.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kesan Perang Gaza

'Ammi atau Fushah?

Muscat Festival 2016