7 Sifat Mukmin dalam Surah Al-Mu'minuun

Bila membaca Surah Al-Mu'minuun dalam Al-Quran, kita akan mendapat panduan tentang sifat-sifat orang-orang Mu'min, iaitu orang-orang yang beriman. Allah swt telah menjelaskan tentang 7 sifat Mu'min dalam surah tersebut, yang mana sekiranya mampu kita amalkan ia akan membantu kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt.

Menurut ahli tafsir, surah Al-Mu'minuun adalah termasuk golongan surah-surat makkiyyah. Ia dinamakan Al-Mu'minuun kerana permulaan surat ini menerangkan bagaimana seharusnya sifat-sifat orang Mu'min yang menyebabkan keberuntungan mereka di akhirat dan ketenteraman jiwa mereka di dunia. Begitulah tingginya sifat-sifat ini, hingga ia telah menjadi akhlak Nabi Muhammad saw.

Surah Al-Mu'minuun sekiranya selalu dibaca dan dihayati akan memandu hidup kita ke arah kejayaan sejati, kerana isi penting dalam surah ini mengingatkan kita tentang:

1) keimanan, iaitu kepastian hari akhirat dan hal-hal yang terjadi pada hari tersebut, dan Allah tidak memerlukan anak atau sekutu
2) hukum-hukum, iaitu manusia dibebani sesuai dengan kesanggupannya, Rasul-rasul semuanya menyuruh manusia memakan makanan halal lagi baik, pokok-pokok agama yang dibawa para nabi adalah sama, hanya syariatnya yang berbeza
3) kisah-kisah iaitu kisah nabi Hud, Musa,Harun dan Isa alaihumussalam
4) lain-lain iaitu tujuh perkara yang harus dipenuhi oleh seorang Mu'min yang ingin mendapat keberuntungan hidup didunia dan diakhirat. Proses kejadian manusia, tanda-tanda orang yang bersegera kepada kebaikan dan ni'mat Allah yang wajib disyukuri.

Jadi apakah tujuh sifat tersebut yang dijelaskan secara ringkas dalam surah ini?

Bermula dengan penjelasan bahawa beruntunglah orang-orang yang beriman, satu demi satu sifat tersebut dinyatakan seperti berikut:

1) Orang-orang yang khusyu' dalam solatnya.
Bermula dengan khusyu' dalam solat, kerana bila kita mampu khusyu' dalam solat kita banyak perkara lain akan mampu kita tunaikan dengan baik. Khusyu' dalam solat mampu memberi ketenangan kepada kita, juga mampu mencegah kita daripada melakukan perkara mungkar.

Namun sekiranya kita masih belum mampu untuk khusyu', berusahalah mencari jalan untuk memantapkan solat kita itu. Ini kerana Allah swt menjelaskan apabila kita khusyu' dalam solat maka kita akan tergolong ke dalam golongan orang-orang yang beruntung.

Sekiranya solat kita masih lagi pada peringkat "mampu menjumpai barang yang hilang dalam solat", "menyelesaikan masalah", mampu ketawa dengan aksi kelakar disebelah kita, maka fikir-fikirlah untuk mengatasinya.

2) Orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna.
sifat kedua ialah menjauhkan diri dari perkara-perkara yang melalaikan dan tidak berguna kerana semakin kita layan sikap-sikap sebegini maka kitapun akan terbawa-bawa dengan sikap tidak serius ini yang akhirnya menyebabkan kegagalan kita.

Ini kerana orang-orang yang berjaya sentiasa serius dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja mereka. Bila kita mampu menumpukan sepenuh perhatian kepada kerja-kerja kita, maka insya Allah kejayaan akan menjadi milik kita.

Biasanya orang-orang yang khusyu' dalam solat, tidak melakukan perkara-perkara sia-sia, malah setiap masa dalam hidup mereka akan diisi dengan perkara bermanfaat. Ini kerana
mereka memahami tujuan hidup mereka, dan sentiasa berusaha untuk menjadi Muslim yang terbaik.
Begitu juga jauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kurangkanlah lawak-lawak bodoh kerana ia tidak akan ke mana, malah makin menjauhkan kita dari keuntungan hidup di dunia dan di akhirat.

3) Orang-orang yang menunaikan zakat.
Sifat ketiga adalah menunaikan zakat. Ini kerana setelah kita mampu mengawal dan menjaga hubungan kita dengan Allah, maka Allah swt menyuruh kita membantu orang lain. Inilah kecantikan Islam "hablun minnallah" dan "hablun minnan nas". Bila hubungan dengan Allah dah sempurna maka kita mesti juga menunaikan hak harta kita, dengan memberi kepada yang berhak menerimanya.

Solat dan zakat adalah amalan yang sentiasa berjalan bersama-sama, tidak sempurna keimanan seorang yang memilih untuk melakukan salah satu saja. Tidak dapat tidak kita mesti menunaikan kedua-duanya. Adakah agama lain didunia ini yang mengajar penganutnya berbuat sebegini?

4) Orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki.
Sifat seterusnya ialah menjaga kemaluannya kecuali terhadap isteri atau hamba mereka. Allah swt menjelaskan bahawa orang yang melakukan sebegitu tidak tercela.

Sebaliknya DIA mengingatkan kita agar menjaga daripada perbuat keji dan mengingatkan kita agar tidak mencari dibalik itu (zina, homoseksual dan lain-lain) kerana mereka akan termasuk ke dalam golongan yang melampaui batas.
Jadi peringatan ini penting kerana menjaga sifat ini akan menjamin keberuntungan kita didunia dan diakhirat.

5) Orang-orang yang memelihara amanat-amanat.
Kemudian Allah swt juga menceritakan tentang sifat seterusnya iaitu orang yang memelihara amanat-amanat dan tanggungjawab yang dipikulnya. Bukan senang nak memastikan tugasan ini ditunaikan dengan betul.

Amanat-amanat Allah amat banyak, maka pastikan kita mampu menunaikannya satu persatu, diri, keluarga, masyarakat dan negara. Sekiranya kita mampu melaksanakan dengan betul maka kita akan tergolong ke dalam golongan yang beruntung.

6) Orang-orang yang menunaikan janjinya.
Dalam ayat yang sama, Allah menyebut juga tentang menunaikan janji-janji kita. Ini kerana menunaikan amanat dan janji biasanya berkait. Orang yang mampu menunaikan amanat, akan mampu menunaikan janji kepada orang lain.

Tapi ramai yang tidak mampu menunaikan janji. Sekiranya susah untuk menunaikan janji, maka kurangkan berjanji. Bila kurang berjanji maka tiada janji yang tak tertunai. Masalahnya mulut senang untuk mengeluarkan kata-kata, tapi nak menunaikannya amat berat.

7) Orang-orang yang memelihara sembahyangnya.
Sifat ketujuh adalah orang-orang yang memelihara sembahyangnya. Mengapa solat diulang dua kali? Apakah khusyu' dalam solat tidak menjamin orang tersebut menjaga solatnya?

Di sini kita dapat melihat kepentingan solat, hinggakan Allah mengulangkannya dua kali pada permulaan ayat ini. Ini kerana Allah swt juga menjelaskan bahawa "Solat akan mampu mencegah kita daripada melakukan perkara keji dan mungkar".

Namun solat tidak semudah yang kita sangka, ramai yang tidak mampu menjaga solat mereka walaupun kadang-kadang mampu khusyu' masa solat. Oleh sebab itulah Allah mengingatkan kita agar menjaga solat kita untuk beroleh keberuntungan hidup di dunia dan di akhirat.

Sekiranya kita mampu menjaga solat kita maknanya asas-asas penjagaan masa kita telah berada dijalan yang betul, maka teruskan mengisi masa dengan perkara-perkara berfaedah yang lain.

Akhirnya, Allah swt menjelaskan bahawa orang-orang yang memiliki sifat-sifat yang disebutkan (7 sifat) itulah orang-orang yang akan mewarisi syurga firdaus dan kekal didalamnya.

Dalam surah ini juga Allah swt menceritakan sifat-sifat seorang Muslim yang mukhlis iaitu "orang-orang yang berhati-hati kerana takut akan azab Tuhan mereka, dan orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Tuhan mereka, dan orang-orang yang tidak mempersekutukan dengan Tuhan mereka (suatu apapun)".

Begitulah panduan untuk kita beroleh keberuntungan di dunia dan di akhirat berpandukan Surah Al-Mu'minuun. Dan sebagai penutup surah ini Allah swt mengingatkan lagi bahawa DIA menciptakan kita bukanlah dengan percuma.

Malah mengingatkan kita lagi bahawa
"barangsiapa menyembah tuhan yang lain di samping Allah, padahal tidak ada satu dalilpun baginya tentang itu, maka sesungguhnya perhitungannya di sisi Tuhannya.Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu tiada beruntung. Dan katakanlah : Ya Tuhanku berilah ampun dan berilah Rahmat dan Engkau adalah Pemberi Rahmat yang Paling Baik".

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Surat Rasulullah SAW kepada Raja Oman