Ilmu atau Harta?

Alhamdulillah, saya terjumpa satu peringatan tentang perbezaan antara mengejar ilmu dan mengejar harta. Jadi di sini saya ingin berkongsi penjelasan tersebut buat peringatan kita semua.

Ia berpandukan kisah sepuluh orang lelaki terpelajar, bertemu Saidina Ali dan bertanya bagaimana ilmu lebih baik daripada harta. Mereka meminta agar diberikan jawapan yang berbeza bagi setiap orang.
Jadi Saidina Ali menjawab seperti berikut:

1. Ilmu adalah warisan para Nabi-nabi, sedangkan harta ialah warisan Firaun. Oleh kerana Nabi-nabi adalah lebih hebat daripada Firaun, jadi ilmu lebih baik daripada harta.

2. Anda mesti menjaga harta anda, tetapi ilmu menjaga anda. Oleh sebab itu ilmu lebih baik daripada harta.

3. Apabila ilmu disebarkan ia akan bertambah, sedangkan harta akan berkurang apabila dibahagi-bahagikan. Oleh sebab itu ilmu lebih baik daripada harta.

4. Lelaki yang memiliki banyak harta mempunyai ramai musuh, sedangkan lelaki yang memiliki ilmu yang banyak memiliki ramai sahabat. Oleh sebab itu ilmu lebih baik daripada harta.

5. Orang terpelajar mempunyai pandangan luas dan lebih pemurah, sedangkan orang kaya, disebabkan cinta mereka kepada harta, biasanya lebih kedekut. Oleh itu ilmu lebih baik daripada harta.

6. Ilmu tidak boleh dicuri, sedangkan harta sentiasa terdedah kepada bahaya dicuri orang. Jadi jelaslah ilmu lebih baik daripada harta.

7. Semakin lama masa berlalu, ilmu akan mendalam dan berkembang. Sedangkan duit akan berkarat ataupun hilang harganya. Jadi ilmu adalah lebih baik daripada harta.

8. Anda boleh menyimpan akaun harta anda kerana ia terhad dan boleh dikira, tetapi anda tidak dapat membuat akaun ilmu anda kerana ia tidak ada batas. Oleh sebab itulah ilmu lebih baik daripada harta.

9. Ilmu mampu memberi cahaya kepada aqal kita, akan tetapi harta boleh menggelapkan lagi minda kita. Oleh sebab itu ilmu lebih baik daripada harta.

10. Ilmu lebih baik daripada harta kerana ilmu mendorong sifat kemanusiaan sebagaimana sifat Nabi-nabi, sedangkan harta amat bahaya, yang menyebabkan Firaun dan Namrud mengaku bahawa mereka adalah Tuhan.

Inilah sepuluh kelebihan ilmu daripada harta. Sebenarnya ia banyak mengingatkan kita betapa pentingnya mengisi hidup kita dengan menuntut ilmu. Walau berpuluh kali membacanya ia tetap satu peringatan yang hebat untuk kita dalam mengatur hidup didunia ini.

Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad, sesungguhnya ilmu itu tidak akan habis sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Kahfi: 109 yang bermaksud;
"Katakanlah: sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, nescaya habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimah-kalimah Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu pula."

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
The most powerful reminder of all.Thanks

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas