Membaca atau Berfikir?

Membaca memang menyeronokkan, kerana kita dapat menambahkan maklumat kita menerusi pembacaan. Maka baca dan bacalah...dulu-dulu saya selalu baca suratkhabar pembungkus nasi kadang-kadang dapat isu yang bagus habis belakang depan kertas tu kita baca sebelum dibuang.

Itu cerita lama dan itulah yang seronoknya bila makan nasi bungkus, sekarang dah tak boleh baca lagi sebab dah tak beli nasi bungkus. Lagipun trend orang zaman sekarang makan dalam bungkusan polisterin, jadi tak ada kesempatan untuk membaca lepas makan. Trend berubah, sikap manusia juga makin berubah.

Alhamdulillah orang zaman sekarang lebih giat membaca dan menulis. Mungkin itulah kelebihan kanak-kanak yang diajar membaca semenjak kecil. Mereka membesar dengan minat suka membaca. Namun begitu adakah mereka suka berfikir? Ataupun hanya sekadar membaca dan menerima segala idea yang dibaca tersebut tanpa berfikir lanjut.

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah ialah mengenai membaca. Iqra' iaitu bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan. Cuma isunya apakah bahan yang dibaca sehari-hari?

Ada orang memastikan membaca suratkhabar setiap hari, mereka tidak dapat duduk tenang tanpa membaca suratkhabar kegemaran mereka. Ada pula yang suka buku-buku atau majalah-majalah tertentu mengikut minat mereka. Disebabkan minat sebegini kedai buku dan syarikat percetakan mampu berdiri teguh. Alhamdulillah.

Bacalah apa-apapun kerana makin banyak kita membaca makin banyaklah maklumat yang diperolehi. Namun begitu janganlah kita lupa membaca kitab suci kita Al-Quran, kerana kita akan beroleh banyak ilmu yang tidak dapat diperolehi dari tempat lain. Mengaji al-Quran kemudian membaca terjemahannya akan memberi ketenangan kepada kita.

Sekiranya mampu kumpulkan ayat-ayat yang menceritakan kisah yang sama dan cubalah hayatinya. Ini kerana Allah swt mengulang-ulang kisah yang sama dalam surah-surah yang berbeza, dengan maklumat yang lain pula. Itulah kehebatan Al-Quran yang membuktikan bahawa ia datang daripada Allah yang Maha Esa.

Perhatikanlah teknik ini yang ternyata mampu menambahkan minat kita untuk mengaji al-Quran. Sebab itu kita dinasihatkan agar mengaji al-Quran untuk beroleh ketenangan. Bukalah al-Quran dimana-mana saja dan bacalah dengan penuh tadabbur, nescaya kita akan beroleh sesuatu idea yang kita amat perlukan ketika itu. Itulah kehebatan Kalam Allah yang tidak mampu kita perolehi dalam mana-mana buku lain.

Pada suatu ketika datanglah seseorang kepada Ibn Mas'ud, sahabat Rasulullah dan berkata: "Wahai Ibn Mas'ud, berilah nasihat yang dapat ku jadikan ubat bagi jiwaku yang sedang gelisah. Dalam beberapa hari ini aku merasa tidak tenteram, jiwaku gelisah dan fikiranku kusut, makan tidak enak, tidurpun tidak nyenyak"

Maka Ibn mas'ud menasihatinya dengan berkata: "Kalau penyakit itu yang menimpamu, maka bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, iaitu ke tempat orang mengaji al-quran, engkau mengaji al-quran atau engkau mendengar baik-baik orang yang membacanya. Atau engkau pergi ke majlis pengajian yang mengingatkan hati kepada Allah, atau engkau cari waktu dan tempat yang sunyi, di sana engkau berkhalwat menyembah Allah, umpama diwaktu tengah malam, di saat orang sedang tidur nyenyak, engkau bangun mengerjakan solat malam, meminta dan memohon kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kemurnian hati. Seandainya jiwamu belum juga terubat dengan cara ini, engkau minta kepada Allah agar diberi-Nya hati yang lain, sebab hati yang kamu pakai itu bukan lagi hatimu."

Setelah orang itu kembali ke rumahnya,diamalkannya nasihat Ibn Mas'ud itu. Dia pergi mengambil wuduk kemudian diambilnya Al-Quran, lalu membaca dengan hati yang khusyuk. Selesai mengaji Al-Quran, berubahlah kembali jiwanya, menjadi jiwa yang tenang dan tenteram, fikirannya jernih, kegelisahannya hilang sama sekali. Itulah kelebihan mengaji Al-Quran.

Sebenarnya mengaji Al-Quran dan memahami maknanya melatih kita berfikir. Alangkah eloknya kita membaca dan berfikir dalam masa yang sama kerana ia memantapkan aqal kita. Malah terlalu banyak ilmu yang boleh kita dapati daripada Al-Quran.

Kadang-kadang kita menjadi pembaca senyap blog-blog orang lain. Dari penulisan mereka saya dapat menilai sikap penulis tersebut, ramai yang menulis dari hati, menceritakan kegembiraan dan kesedihan mereka untuk dikongsi bersama-sama pembaca.

Namun begitu ramai juga yang memilih untuk menyalin tulisan orang lain untuk diletakkan dalam blog mereka. Kadang-kadang tulisan yang sama kita boleh dapati dari pelbagai blog. Mengapa mereka tidak cuba berfikir dan menulis sendiri idea-idea yang mereka sukai tersebut? Sekiranya mereka melatih diri untuk menulis balik idea tersebut ia akan menjadi hasil tulisan mereka, maka akan berkembanglah pemikiran mereka. Fikir-fikirkanlah...

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Alam Bermusim

Tujuan Belajar Khat

Ilmu Allah itu Sangat Luas